Beberapa kali jadual penghantaran tertunda, dan ia menjadi isu menarik untuk dijaja oleh pembangkang tentang kelewatan itu serta kewajaran pembelian dengan kos lebih RM3 juta, di samping membuat laporan polis.

Malah kerajaan negeri juga bagaikan mulai hilang sabar untuk terus menunggu, dan akhir tahun lalu mengumumkan telah mulai mengambil tindakan perundangan bagi menamatkan kontrak pembekalan dan tuntutan ganti rugi.

Pembekal mengaitkan penghantaran yang tertunda itu ekoran berdepan dengan masalah teknikal, penyesuaian dengan spesifikasi yang ditetapkan selaras dengan terma perjanjian di samping soal cuaca, masalah transit dan persijilan.

Namun akhirnya kelibat kenderaan mewah bagi kegunaan di darat dan air yang diperbuat oleh sebuah syarikat di Malta secara 'custom made' iaitu melalui tempahan khas dan disesuaikan dengan spesifikasi tertentu untuk dipertingkatkan, mulai kelihatan oleh umum di sekitar bandar raya Kuala Terengganu pada pertengahan Febuari lalu.

Justeru soal awal dikira selesai, dan kenderaan unik, sebagai salah satu produk tarikan terbaharu bagi menyemarakkan industri pelancongan negeri ini, dipandu uji dengan menyusuri sungai Terengganu dan mengelilingi Pulau Wan Man yang menempatkan produk ikonik Taman Tamadun Islam (TTI).

Kemunculannya yang meluncur tenang di dalam air dengan membawa bersama beberapa penumpang daripada jabatan tertentu termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Laut, Polis dan pasukan Bomba menarik perhatian ramai dengan liputan meluas.

Berukuran lebih 12 meter panjang, yang boleh menampung 47 penumpang dengan kelajuan 110 kilometer sejam di darat, ia digerakkan oleh enjin jenis MAN berkapasiti 300 kuasa kuda dengan jet marin berkembar mencapai kelajuan maksimum sehingga 8 knot di dalam air.

Sesi pandu uji pertama beberapa hari selepas ketibaannya, selama hampir sejam dikendalikan Pengurus Besar Ultimate Technology Ltd., Stephen Morrison Smith, syarikat pengeluar bas amfibia jenama Amphicoach yang berpengkalan di Malta sejak 2010.

Ia mengapung dan bergerak seakan catamaram dengan stabil, malah ada yang menyifatkan ia meredah air lebih lancar berbanding bot biasa yang memberikan lebih keselesaan kepada penumpang.

Tempahan pengangkutan itu yang dibuat oleh kerajaan negeri mencerminkan kesungguhan untuk terus meneroka pendekatan baharu dalam menjana sektor pelancongan agar dapat menjadi sandaran utama ekonomi negeri.

Awalnya pengangkutan itu disasarkan bagi kegunaan di Tasik Kenyir selain untuk dimanfaatkan pada musim banjir, namun kerajaan negeri memutuskan untuk kegunaan di di Sungai Terengganu bagi mewarnai latar muara di bandar raya warisan pesisir air (Kuala Terengganu).

Ada pro dan kontra mengenainya termasuk dalam aspek keselamatan, juga pemindahan teknologi, dan amphiocach suatu bentuk pengangkutan yang baharu tentunya memerlukan beberapa siri pengujian untuk jabatan dan agensi yang mempunyai kaitan sebelum mendapat kelulusan untuk mula beroperasi.

Malangnya, Amphicoach, kenderaan pertama seumpamanya di rantau ini dan yang ke-13 di dunia itu tiba bukan pada masa yang sesuai iaitu pada musim pilihan raya, dan ia seakan dituding seperti cacat cela seorang calon, yang diserang untuk membunuh karakternya, sekali gus untuk memburukkan kerajaan.

Dalam sesi pandu uji awalnya, sudah ditularkan ia mengalami kerosakkan hanya kerana sekeping gambar beberapa pegawai sedang mengendap ruang engin sebagaimana kereta baharu di bilik pameran.

Dan kelmarin, kepingan foto ia sedang ditunda oleh bot penyelamat dan penumpang dibawa keluar dari bas kembali tersebar dengan cerita lebih mengasyikkan tentang pembelian yang sia-sia dan pembaziran yang nyata kerana pengangkutan itu kononnya tidak dapat diguna.

Maka terpaksalah sekali lagi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menjawabnya, begitu juga Pengarah JKR negeri, Che Kamaruddin Bahar apabila ia sebenarnya satu operasi simulasi latihan kecemasan oleh pihak berkuasa dan ujian keupayaan badan bas serta laluan di dalam air.

Ahmad Razif dan isteri turut berada dalam bas berkenaan dan kesemua penumpang tidak diberitahu awal tentang apa yang diaturkan petang itu, apabila engin bas tiba-tiba dimatikan.

"Reaksi 45 penumpang di dalamnya tenang dan apabila peserta diarah bergilir keluar dan masuk ke dalam bot penyelamat, proses itu cuma mengambil masa 10 minit, apabila pintu kecemasan menggunakan sistem angin dapat dibuka sepenuhnya.

"Dan dalam keadaan kira-kira sejam, bas masih terapung sebelum ditarik dengan mudah menggunakan seutas tali oleh sebuah bot kecil menuju ke 'slipway' terdekat," ujar Che Kamaruddin tentang ujian yang membuktikan Amphicoach ini berada dalam tahap keselamatan tinggi ketika di air dan di darat.

Itu jawapan awal tentang aspek keselamatan, dan beberapa lagi ujian akan dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Laut minggu depan, dan Amphicoach mungkin akan tetap menjadi bahan cerita yang menarik untuk dijual sepanjang musim pilihan raya. - UTUSAN ONLINE