Menurut Imam dan Bendahari masjid berkenaan, biasanya kutipan yang diperoleh menjelang Disember sekitar RM30,000 hingga RM40,000. Namun kutipan tahun ini hanya sekitar RM6,000.

Biasanya, tabung khas bantuan persekolahan ini dibuka pada Oktober dan November. Menjelang Disember, perolehan dari tabung itu akan diagih-agihkan kepada kalangan kumpulan sasar sekitar mukim masjid berkenaan. Sekitar 200 penerima bantuan amat bersyukur kerana ternyata dapat meringankan bebanan sara hidup yang terpaksa ditanggung.

Seorang pemilik kedai foto Cina yang agak terkenal juga di bandar ini mengeluh perniagaan di kedainya merosot kira-kira 65-peratus sejak enam bulan lalu. Tidak ramai pelanggan yang datang, baik untuk bergambar atau menempah bingkai foto.

Pengusaha beberapa rumah inap desa pula menceritakan tentang kekurangan bilangan pengunjung khususnya sepanjang musim cuti persekolahan ketika ini. Dibandingkan dengan tempahan pada musim-musim sebelum ini, kekurangannya agak ketara, iaitu mencecah 50 peratus.

Di bazar-bazar menjual pakaian batik, songket dan produk tempatan ternyata tidak ramai kelihatan pengunjung. Menurut penjual, biasanya di musim-musim cuti persekolahan begini ramai pengunjung luar datang secara rombongan ke Kelantan. Tetapi keadaannya agak berbeza pada tahun ini.

Perniagaan yang boleh dikatakan agak rancak sedikit ialah pengusaha restoran atau kedai makan. Itu pun yang bertaraf sederhana. Di hotel-hotel tertentu sudah tidak ada lagi disediakan hidangan secara bufet, memandangkan tidak ramai pelanggan yang datang.

Ditinjau secara umum, ramai yang berpendapat, apa yang dicatatkan ini memberi suatu manifestasi atau indikator tentang ‘kuasa beli’ ketika ini semakin merosot. Kos sara hidup semakin menghimpit. Suasana ini berbeza dengan apa yang mereka sangka atau ‘dijanjikan’ sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Kenyataannya, apa yang diutamakan oleh ramai orang ketika ini adalah untuk memenuhi keperluan dan terpaksa mengetepikan sebarang kemahuan. Mereka lebih utamakan soal ‘makan’ daripada membeli pakaian. Mereka perlu memikirkan soal pembiayaan pembelajaran anak-anak dari melancong atau ‘makan angin’.

Orang ramai tidak menghulur sumbangan untuk tabung-tabung bantuan di masjid atau di mana-mana, bukan kerana tidak mahukan pahala sedekah, tetapi disebabkan sumber kewangan yang ada di tangan semakin terhad.

Kemerosotan kuasa beli membabitkan banyak pihak. Tidak terkecuali golongan makan gaji mahu pun para petani, nelayan, pekebun kecil, penternak, juga kontraktor-kontraktor binaan serta lain-lain, yang rata-rata pendapatan mereka semakin berkurangan atau langsung sudah ‘terputus’.

Ekoran penurunan harga getah, lebih 52,000 penoreh di Kelantan terkesan dengan kemerosotan pendapatan. Sementara musim tengkujuh turut mempengaruhi kekurangan pendapatan lebih 2,000 nelayan. Mereka tidak lagi menerima sebarang bantuan. Hampir 20,000 penternak pula terjejas dengan berkurangnya permintaan.

Sekurang-kurangnya RM1 juta aliran tunai sudah ‘hilang’ setiap bulan di Kelantan sejak enam bulan lalu. Ini ekoran tindakan kerajaan Persekutuan menamatkan perkhidmatan seramai 3,075 petugas-petugas pendamping masyarakat termasuk para guru al-Quran, penyelia-penyelia mukim, pembimbing masyarakat dan penggiat sosial yang digaji di bawah pengurusan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) seluruh Kelantan.

Habuan yang diterima oleh setiap petugas ini adalah antara RM400 hingga RM1,900 sebulan. Setiap mereka berbelanja sepenuhnya untuk keperluan harian.

Ramai juga petugas dari beberapa agensi tertentu yang sudah ditamatkan perkhidmatan di ibu negara kini sudah pulang menetap di kampung. Sumber pendapatan mereka juga tidak menentu.

Ramai yang terkenangkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Sekurang-kurangnya menurut mereka, ada juga sumber untuk meringankan beban perbelanjaan, biar pun datangnya hanya berkala.

Khabarnya, keadaan yang serupa dialami oleh rata-rata penduduk seluruh negara. Rakyat semua kaum dan keturunan mahu hidup selesa, ada sumber pendapatan yang boleh mensejahterakan kehidupan. Mereka lebih mengharapkan kestabilan dan kemakmuran berterusan, tanpa terganggu oleh sebarang sentimen berbaur perkauman.

Tegasnya, kuasa beli berkait rapat dengan sumber pendapatan. Juga dengan kadar harga barangan keperluan di pasaran. Pendapatan hanya boleh dijana melalui peluang usaha dan pekerjaan. Dalam kata lain, persekitaran kehidupan perlu ada peluang pekerjaan, perlu disokong oleh prasarana dan kemudahan sesuai di samping kecaknaan yang berkesan dari pihak pemerintah.

Dalam pada itu, ada yang masih bertanya: “Apakah sistem percukaian di bawah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sekarang benar-benar meringankan kos sara hidup rakyat berbanding sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini?”.

Semoga ada cahaya baharu menyinari kehidupan...!

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.