Antara pelakon Malaysia yang diberikan peranan penting ialah Allahyarham Syed Alwi, bekas penerbit kanan RTM yang petah bertutur dalam bahasa Inggeris.

Sesuai dengan tajuknya, ia mengisahkan bagaimana Anna Leonowens bertindak sebagai pengasuh anak-anak King Mongkut, 160 tahun dahulu termasuk bakal King Chulalongkorn, dalam ragam untuk menjadikan Siam sebuah negara moden pada tarafan dunia.

Inilah permulaan Siam, kini Thailand, membuka pintunya kepada ciri-ciri tamadun dunia. Anna ialah seorang balu kulit putih di Singapura apabila ditawarkan jawatan itu.

King Chulalongkorn menterampilkan kebijaksanaannya dalam menangani British, justeru membawa implikasi mendalam kepada Semenanjung Tanah Melayu atau Malaya.

Dalam usia belasan, Putera Mahkota Chulalongkorn dibawa Anna melawat England, Perancis, Sepanyol, Belanda dan Itali bagi memperluaskan duniawinya.

Apabila beliau menjadi King, beliau menukarkan fesyen pakaian hari-hari dan istiadat keluarganya kepada yang kebiasaan di England dan Belanda.

Lantas beliau melaksanakan diplomasi halus untuk menyelamatkan Siam daripada tularan British dari Malaya dan Burma serta tularan Perancis dari utara dan timur.

Rusia menjadi pilihan utamanya kerana monarki Rusia diakui sebagai yang paling gah di Eropah. Tsar Nicholas bertalian darah dengan Queen Victoria, England, apalagi cucu Queen Victoria ialah Tzarina atau Permaisuri Rusia.

Apa mereka bincangkan di Moscow dilaporkan di akhbar-akhbar London. Chulalongkorn diberitakan meminta kerjasama Tsar memujuk Queen Victoria agar British tidak menusuk ke utara dari Malaya.

Walaupun ini menggelikan hati pegawai-pegawai tinggi Pejabat Kolonial British di London, namun ternyata sekali pegawai-pegawai kolonial British di Malaya akur saja kehendak Queen Victoria seperti yang dipohon King Chulalongkorn itu.

Thailand menaungi Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu sejak Perjanjian Burney 1824. Selepas Perang Dunia Pertama, wilayah-wilayah itu diserahkan kepada British pula.

Manakala Tongkah, Ujung Salang, Petani serta jajahan kecilnya – Sai, Ligeh, Jalor, Jering, Nongchik dan Reman – dipegangi Thailand hingga sekarang. Itulah sorong tarik Thailand dengan British.

Thailand menarafkan empat buah negeri itu sebagai wilayah memandangkan keempat-empatnya begitu lama mempersembahkan Bunga Emas dan Bunga Perak kepada Raja Siam setiap tiga tahun sekali sebagai balasan martabat dan penjagaan keselamatan.

Dalam pada itu King Chulalongkorn melagakan British dan Perancis, bukan tanpa pengetahuan King of England, sehingga tercapai persetujuan bahawa British tidak boleh bergerak ke utara dari Tanah Melayu; dari Burma di barat; sedangkan Perancis (dengan Vietnam, Laos dan Kemboja) tidak boleh merentas Sungai Mekong dari timur.

Kekallah Thailand sebagai negara yang tidak pernah dijajah. Di era King bersifat eksekutif, semua King di Eropah, Jepun dan China mengiktiraf kewibawaan King Thailand di Asia Tenggara.

Thailand berpenduduk kira-kira tujuh juta sedangkan Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis kesemuanya tidak melebihi suku juta waktu itu.

Apabila Sir Frank Swettenham dan Sir Hugh Clifford, dua orang Gabenor Malaya, dikatakan tidak tegas berunding dengan Thailand untuk mengembalikan bumi Melayu di Selatan Thailand, mereka agak kesal mengenangkan sikap Queen dan King di London yang rapat dengan Tsar Rusia – dan bermesra pula dengan King Thailand.

Begitulah jadinya apabila tiga King eksekutif bersatu hati. Bertolak dari situ, King Chulalongkorn menghantar ramai putera dan puterinya, yang berjumlah lebih 60 orang, termasuk Tengku Mahkota Vajiravudh, belajar di Universiti Cambridge dan Oxford di England.

Pada minggu lepas, King Vajiralongkorn, cantuman nama King Chulalongkorn, Rama V, dan puteranya King Vajiravudh, Rama VI, telah ditabalkan sebagai Rama X –selaku King berperlembagaan tulen.

TAN SRI ADAM KADIR ialah bekas Ahli Kabinet dan Presiden Senat.