Bagaimanapun MENTERI BESAR PAHANG, DATUK SERI ADNAN YAAKOB amat memahami cabaran yang menanti dalam PRU-14 apatah lagi Pakatan Harapan dan Pas menyasarkan untuk menumbangkan BN di negeri itu. Salah satu kawasan sasaran utama mereka ialah tanah rancangan Felda. Namun Adnan mempunyai pandangan tersendiri dan tetap yakin BN bukan sahaja mampu bertahan di Pahang tetapi juga terus memerintah negara.
Apakah asas keyakinan beliau?
Ikuti wawancara lebih sejam dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR, HERMAN HAMID, MOHD. SHARIZA ABDULLAH dan jurufoto NOORADZRENE MOHAMED NOOR di Kuala Lumpur, Selasa lalu.

 

MINGGUAN: Datuk Seri mengetuai empat PRU sejak 1999. Berbanding Terengganu yang pernah jatuh ke tangan pembangkang dan Kelantan yang kini dikuasai Pas, apa rahsia BN terus bertahan di Pahang?

ADNAN: Sejak dulu rakyat Pahang boleh dikatakan mematuhi undang-undang, menurut perintah dan berpegang kepada adat resam.Bahasa mudahnya, orang Pahang setia kepada pemimpin, lebih-lebih lagi kepada raja. Faktor utama kerana adanya institusi raja yang prihatin terhadap rakyat dan pada masa sama, pemimpin Pahang tidak berlagak kerana kita sentiasa rapat dengan rakyat. Itulah tradisinya.

Saya percaya semua itu menjadi salah satu kekuatan mendorong rakyat Pahang terus setia bersama BN. Kita kalah di kerusi Parlimen Kuantan, Indera Mahkota, Temerloh dan Raub disebabkan tsunami politik yang berlaku di seluruh negara pada 2008 dan 2013. Jika disebut tsunami, semua bukit dan gunung akan ditenggelami air, tetapi di Pahang kawasan bandar sahaja terlibat.

Selain itu asakan digital melalui media-media sosial turut menyumbang kepada kekalahan tersebut. Melalui medium berkenaan, segala perkara disebarkan sama ada kebenaran, fitnah atau pembohongan sehingga menyebabkan semua ia tidak lagi menjadi seperti biasa, sebaliknya luar biasa. Kesimpulannya, kekuatan Pahang disebabkan sikap rakyatnya yang taat kepada raja, setia kepada kerajaan dan memegang adat, selain itu orang Pahang juga banyak bersikap mengalah.

Asakan digital atau teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dijangka lebih hebat pada pilihan raya umum akan datang. Apakah persiapan BN?

ADNAN: Kadangkala sesuatu perkara itu bukannya isu sangat, tetapi diuar-uarkan sebagai isu besar. Contohnya, cukai barang dan perkhidmatan (GST). Mungkin pada permulaannya, kita tidak memberi tumpuan sepenuhnya kepada penerangan yang cukup lengkap dan jelas kepada rakyat, malah ada keterangan nampak bercanggah dengan apa yang berlaku.

PRU-14 akan memberi tekanan cukup hebat. Ibarat dalam perlawanan bola sepak, 10 pemain pasukan lawan berkampung dalam kawasan penalti kita, namun saya yakin isu-isu besar yang melanda negara, insya-Allah tidak akan menjejaskan Pahang (kedudukan BN). Saya difahamkan, satu kajian yang dijalankan mendapati isu 1MDB berada di nombor 17 dalam kalangan rakyat, bagaimanapun oleh kerana adanya asakan digital, saya berpendapat pilihan raya umum akan datang paling sengit.

Sekiranya tanya saya apakah peluang Pahang, insya-Allah rakyat tidak akan berubah fikiran untuk menukar kerajaan. Parti pembangkang boleh kata apa sahaja termasuk bertanding di semua tempat tetapi ia sekadar propaganda mereka untuk menghadapi pilihan raya.

Apabila Datuk Seri turun padang bertemu rakyat, apa isu yang sering mereka bangkitkan?

ADNAN: Kos sara hidup termasuk harga barang mahal dan di luar kawalan serta GST, maknanya perkara berkaitan ‘perut’ mereka. Dua perkara ini bukan boleh ditangani dalam sekelip mata, kita perlu mempertimbangkan buruk dan baiknya. Contohnya, kalau kita menghapuskan GST, apakah punca pendapatan kerajaan? Sedangkan pendapatan daripada hasil petroleum merosot, oleh itu kutipan GST digunakan untuk mentadbir urus negara termasuk membina hospital dan sekolah demi kebajikan rakyat.

Bagaimana mahu menjelaskan kepada rakyat supaya mereka faham?

ADNAN: Kita perlu menerangkan dengan cara mudah kelebihan dan keperluan pelaksanaan GST. Berdasarkan reaksi yang kita kumpul, jika kita beri penerangan yang terang dan jelas mereka akan berpuas hati. Saya percaya pada tahun akan datang ia tidak akan menjadi isu kerana rakyat sudah biasa. Apa yang penting, dalam apa juga isu berkaitan dasar yang dilaksanakan, rakyat mesti diberi penerangan yang pantas dan jelas. Dalam politik kalau kita lambat dan tidak jelas dalam memberi jawapan, kita tidak akan mampu menyakinkan rakyat.

Begitu juga dengan soal rakyat. Di Pahang, saya mengarahkan ADUN BN supaya sentiasa menjaga kepentingan dan mengatasi masalah rakyat di kawasan mereka. Bagi tujuan itu, kita memberikan peruntukan bagi membolehkan mereka menjalankan kegiatan melibatkan kebajikan rakyat. Jika semua ADUN menjalankan tugas dengan baik, sudah pasti orang suka, oleh itu tiada salahnya jika dia bertanding lagi kerana kita memerlukan calon boleh menang.

Sebab itu saya mengingatkan rakan parti komponen jangan pilih calon yang kita mahu, tetapi pilihlah calon yang orang ramai mahu. Sudah 18 tahun saya menjadi Menteri Besar dan 31 tahun sebagai ADUN, sepatutnya saya pencen, tetapi kalau orang mahu saya juga, daripada parti kalah, lebih baik bertanding lagi walaupun masuk penggal kelapan. Tetapi kalaulah saya berhenti boleh memenangkan parti, biarlah saya berhenti.

Apapun saya yakin di Pahang dan seluruh negara, BN boleh mempertahankan penguasaan jika semua ahli Parlimen BN bekerja bersungguh-sungguh di kawasan masing-masing. Walau apapun isu yang mendatang, jika kita menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat, insya-Allah kita akan menang.

Pembangkang menjadikan kawasan Felda sebagai sasaran mereka, bagaimana BN mahu menghadapinya?

ADNAN: Apabila saya sebut isu 1MDB jatuh ke tangga 17, maknanya ada isu lain seperti kos sara hidup. Di tanah rancangan Felda, ia isu besar kalau kita tidak menanganinya. Bagaimanapun kita lihat peneroka berasa lega apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan enam insentif untuk mereka baru-baru ini.

Walaupun bagi warga Felda, isu Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) adalah isu besar tetapi apabila Perdana Menteri mengumumkan enam insentif berkenaan, nampak mereka lega. Oleh itu saya berpendapat ia berkaitan isu kewangan.

Jika ada sedikit sebanyak pemberian daripada kerajaan, langkah itu akan melegakan rakyat dan mereka akan tertarik dengan kita. Memang Felda adalah tulang belakang politik BN di Pahang khususnya untuk UMNO.

Ia bermakna Felda dan kerajaan mesti bersama. Apa pun kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan kehidupan peneroka Felda terbela. Jika pemberian seperti enam insentif itu dilakukan dari semasa ke semasa, insya-Allah sokongan warga peneroka terhadap BN tidak terjejas. Kalau terjejas pun mungkin sedikit melibat sokongan daripada generasi X atau Y, tetapi secara keseluruhan sokongan tidak akan lari.

Bagaimana Datuk Seri melihat cabaran Pakatan Harapan dalam PRU-14 nanti?

ADNAN: Pada saya, Pakatan Harapan sama seperti gabungan pembangkang sebelum ini. Kalau nak kira jatuhnya kerajaan kerana pakatan pembangkang, 1999 kita dah jatuh, maknanya 1999 cukup hebat tetapi kerajaan tidak jatuh. Saya ikuti PRU sejak tahun 1959, masa arwah ayah saya jadi ketua cawangan dan kemudiannya Setiausaha Bahagian. Kalau BN nak jatuh, 1999 boleh jatuh begitu juga pada tahun 2013.

Kalau semua wakil rakyat BN jaga kawasan masing-masing, tak ada sebab kita kalah. Tengok Pakatan Harapan, ramai tokoh besar, organisasi ada struktur, nampak hebat, tetapi saya tak bimbang, syaratnya kita jaga kepentingan dan berinteraksi dengan rakyat, insya-Allah mereka tak akan lari. Pembangkang mesti ada dan kita tidak boleh menafikan pembangkang juga kuat, tetapi kuat di kawasan mereka sajalah.

Sebenarnya kekuatan pembangkang hanyalah satu gambaran yang dilakukan oleh media sosial dan tentera siber mereka. Pada saya insya-Allah, di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, kita berada di landasan yang betul. Semua dasar awam yang dibuat bermula daripada 1Malaysia, Model Baru Ekonomi (MBE), Dasar Transformasi Nasional, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), semuanya berada di tempatnya. Kita hanya perlu mengukuhkannya sahaja. Apa yang penting Perdana Menteri perlu dibantu menteri-menteri, menteri besar, ketua setiausaha dan lain-lain dalam menangani isu semasa.

Selain itu kita perlu kembali kepada asas politik iaitu feel good factor. Saya percaya melalui inisiatif untuk rakyat seperti BR1M, enam inisiatif untuk peneroka Felda dan lain-lain serta disertai dasar yang nampak mesra ditambah tiada harassment di semua peringkat, insya-Allah BN akan menang.

Walaupun Pakatan Harapan meletakkan pemimpin PPBM dan PKR bagi jawatan utama, tetapi di belakang kita tahu DAP mempunyai peranan besar. Apa komen Datuk Seri?

ADNAN: Saya berpendapat di sebalik perkembangan dalam Pakatan Harapan yang disertai oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu, andainya mereka menang, pada pandangan saya, pemenang sebenarnya adalah DAP.

Apabila Lim Guan Eng, Kit Siang nampak bermain second fiddle sahaja, hati saya tak sedap. Ada orang ingat PKR, PPBM, PAN akan menguasai tetapi saya mempunyai pandangan berbeza. Jika Pakatan Harapan menang, yang untung adalah DAP. Walaupun kita (pemimpin Melayu) menjadi penasihat atau pengerusi, tetapi yang berkuasa adalah DAP. Merekalah yang akan mencatur dan mencorak segala-galanya.

Apa yang perlu kita faham, jika seseorang yang sering ke depan mencorak sesuatu tetapi tiba-tiba dia diam, ini semua prinsip Sun Tzu, godfather di belakang, bukan diam kosong. Ini memandangkan dari segi angka (kerusi Parlimen) DAP masih memiliki majoriti solid, yang lain berpecah-pecah. Keadaan ini sama seperti mana kedudukan UMNO dalam BN.

Kalau kita perhatikan DAP mempunyai banyak kepincangan. Kes mahkamah melibatkan Guan Eng memberi kesan kepada imej integriti. Isu-isu di Pulau Pinang pula membuktikan DAP bukanlah pentadbir yang cekap manakala pemilihan CEC gagal diurus dengan baik, apa komen Datuk Seri?

ADNAN: Saya berpendapat Guan Eng akan hadapi masalah. Bila ke mahkamah walaupun belum dibuktikan bersalah tetapi persepsi orang sudah berbeza. Semua ini menunjukkan mereka sebenarnya bukanlah pentadbir yang lebih baik daripada BN. Contoh-contoh yang melingkari DAP ini menunjukkan BN bukanlah seburuk digambarkan manakala DAP bukanlah sebuah kerajaan yang hebat sangat.

Saya percaya rakyat boleh menilai, yang penting kerajaan BN mesti konsisten. Di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib, banyak perkara dapat diselaraskan dan mengurangkan keresahan rakyat. Saya percaya Perdana Menteri mempunyai formula tersendiri dalam hal ini dan saya amat menghargainya.

Pembangkang mahu menjadi kerajaan Pusat, tetapi mereka berulang kali melakukan fitnah seperti menuduh kerajaan bankrap dan sebagainya. Jika itulah pendekatannya, apakah mereka boleh menjadi alternatif?

ADNAN: Ini ada kaitan dengan propaganda. Itu sebabnya zaman dahulu tak panggil penerangan, panggil propaganda. Apa yang pembangkang lakukan betul-betul propaganda macam Joseph Goebbels.

Maka ia berbalik kepada persiapan jentera penerangan dan tentera siber kita. Kalau kita mampu buat macam pembangkang lakukan, kita boleh menghadapi serangan mereka dengan baik. Tetapi kita kena ingat juga, orang kita memang suka baca cerita pembangkang, ini tidak boleh dinafikan, sebab itulah orang suka tengok wayang walaupun bukan realiti. Ironinya, kita menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab tetapi apabila fitnah datang, kebenaran pun hilang.

Ini adalah satu perkara yang memerlukan semua pihak duduk bersama bagi memikirkan kaedah untuk berhadapan dengan fitnah pembangkang. Pandangan semua peringkat perlu termasuk di kampung. Asakan pembangkang memang kuat, tetapi kita yakin Perdana Menteri akan buat sesuatu.

Perdana Menteri akan menang dalam percaturan ini dengan mudahnya kerana beliau seorang yang sangat sabar. Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman : Dan mohonlah pertolongan (daripada Allah) dengan sabar dan sembahyang.” Dan dengan kebijaksanaan beliau (Najib) kita boleh hadapi ini semua dengan yakin. Kita di bawah pun wajib beri sokongan.

 

Masa depan politik dan hobi

Apakah perkara yang amat memberi makna kepada Datuk Seri selama menjadi Menteri Besar?

ADNAN: Sebenarnya bila saya mati, orang hantar ke kubur cukuplah. Kalau boleh dalam fail pejabat menteri besar ada nama saya dalam rekod jadi Menteri Besar, itu cukuplah. Saya tak nak dikenang-kenang. Yang penting keredaan Allah semata-mata.

Cumanya, menjawab soalan ini ada beberapa perkara yang ingin saya sentuh. Pertamanya, Yayasan Pahang (YP) dimulakan oleh Datuk Seri Najib pada 1983 dengan kewangan RM1.5 juta dan masa Tun Mohd. Khalil Yaakob bersara, bajet YP RM40 juta. Sekarang bajet YP antara RM150 juta-RM200 juta. Maknanya kerajaan negeri dapat memperbesarkan lagi YP dari segi holding termasuk ladang.

Pada 1999 luas ladang 10,000 ekar sekarang Ladang Yayasan Pahang yang mengeluarkan hasil ialah sebanyak 75,000 ekar dan Bank Tanah Yayasan Pahang ialah 45,000 ekar. Dahulu 100 peratus YP harapkan tender balak. Sekarang balak tak ada lagi dengan 70 peratus datang daripada hasil sawit. Itu satu kejayaan besar.

Keduanya, Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang bermula dengan titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. Baginda berkenan saya menjadi Pengerusi sejak awal penubuhannya iaitu pada tahun 1996.

Kejayaan kita bukan sekadar bina sebuah kompleks maahad tahfiz tetapi pencapaian akademik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengatasi kebanyakan sekolah berasrama penuh ternama seperti Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Pelajar kita cemerlang dalam kedua-duanya, akademik dan tahfiz. Bila tamat belajar ada yang kerja bank, Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) pada masa sama adalah hafiz. Itu kita rasa amat bangga.

Satu lagi projek perumahan PR1MA Pahang. Dalam manifesto kita sebut nak bina 15,000 rumah tetapi kita sudah mulakan pembinaan 37,000 buah . Yang dah siap 3,000 unit. Di Gambang cukup cantik rumahnya. Di Kerdau pun sama bahkan lagi cantik.

Kita jual pada harga mampu milik, RM150,000. Ini sedikit sebanyak kejayaan kita. Selain itu, projek berkaitan kebajikan dilakukan secara berterusan melibatkan peruntukan kerajaan untuk ADUN BN dari semasa ke semasa iaitu seorang RM20,000.

Saya minta mereka buat secara berjadual, bukan one off. Kita mahu bantuan disampaikan berterusan.

Datuk Seri diketahui cukup berminat dengan buku, boleh berkongsi minat tersebut?

ADNAN: Saya suka membaca dan mendengar lagu-lagu lama. Membaca ini amalan saya hari-hari, tak banyak sikit satu dua topik. Membaca akhbar pula memang dari kecil lagi, Allahyarham ayahanda saya beli Utusan Melayu (jawi) setiap hari. Saya masih ingat ruangan pojok di Utusan Melayu, BajanSg.

Lepas itu, saya juga ada baca buku yang ringan. Buku pertama saya baca pun saya masih ingat iaitu tulisan Hamka, Di Bawah Lindungan Kaabah. Saya masih ingat air mata saya menitis apabila Hamid tidak dapat berkahwin dengan Zainab, sepupunya akibat larangan adat.

Saya juga terdedah dengan semua akhbar termasuk New Straits Times dan Malay Mail ketika zaman sekolah. Ini atas ihsan pengurus syarikat bas. Setiap kali tunggu bas balik sekolah, kawan-kawan lain bermain tetapi saya akan ambil akhbar yang diletak di satu jaring di ruang pejabat untuk saya baca.

Habis baca, saya letak balik. Hasil dari situ, saya terdedah dengan isu politik termasuk antarabangsa. Perang Congo dan Perang Vietnam. Saya masih ingat tokoh-tokoh seperti Patrice Lumumba, Moise Tshombe, di Vietnam, Ngo Dinh Diem, Nguyen Cao Ky, Jeneral William Westmoreland.

Tapi, apa pun akhbar pertama yang saya baca Utusan. Kiranya hubungan love hate saya dengan Utusan dah lama (ketawa kecil). Saya doakan Utusan Melayu terus kekal untuk membela nasib dan institusi orang Melayu. Semoga Utusan terus maju.

Boleh berkongsi pengajian undang-undang Datuk Seri?

ADNAN: Ya, saya dalam semester tiga LLB (Ijazah Sarjana Muda Undang-undang) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Ia dikenali Special Accelerated Programme 2016-2018. Ini patut lama dah saya ikuti. Saya belajar pertamanya sebab saya minat undang-undang, keduanya saya minat membaca.

Ada kawan-kawan, saudara-mara kata apa lagi hendak tetapi saya jawab saya hendak otak saya berjalan. Dalam hati saya mahu menjadi contoh kepada anak cucu, walaupun umur 67 tahun datuknya masih belajar lagi dan takdir Allah saya sebagai menteri besar, mungkin ibu bapa boleh beritahu kepada anak mereka, ‘apalah kau ni malas belajar, Menteri Besar umur 67 belajar lagi’.

Sebenarnya saya tak tahu orang lain. Membaca, mengambil tahu, belajar dan belajar undang-undang adalah sesuatu yang sangat menyeronokkan dan memberi kepuasan kepada saya. Insya-Allah saya akan tamat tahun depan dengan LLB. Semester satu saya mengetuai Senarai Dekan dengan CGPA 3.94. Semua A kecuali satu subjek A-. Jika tidak four flat (ketawa).

Saya mencari masa untuk membaca, kadang-kadang ketika bersama-sama kawan, orang bersembang saya baca buku. Cuma otak dah tak tajam macam dulu, kena baca tiga empat kali. Tapi saya fast reader. Macam ketika nak peperiksaan kertas undang-undang perubatan, saya baca kes semua, Bolam, Bolitho, Rogers v Whitaker, Canterbury v Spence, macam mana tidak dapat A (ketawa).

Dengan tidak bermaksud berasa bangga, saya harap dapat jadi motivasi kepada pelajar. Itu sebab Yayasan Pahang kita majukan.

Sebelum ini Datuk Seri pernah menyatakan hasrat untuk tidak bertanding pada PRU-14. Boleh Datuk Seri jelaskan?

ADNAN: Apabila saya membuat pengumuman itu, semua ADUN BN di Pahang sepakat menyokong kepemimpinan saya. Ramai menyatakan pengalaman saya boleh menyatukan dan membimbing mereka. Faktor penyatuan sebab saya baik dengan semua orang.

Bukan kata saya tak boleh disentuh tetapi melibatkan faktor-faktor lain seperti soal masa yang tepat. Seperti yang saya katakan, kalau saya berhenti BN boleh menang, saya berhenti.