MD. ISA PUTEH
MD. ISA PUTEH 

Begitu lirik lagu kumpulan muzik Tropika, Cinta Pantai Merdeka yang pernah menjadi siulan anak-anak muda suatu ketika dahulu.

Terletak kira-kira 30 kilometer dari Sungai Petani, Tanjung Dawai dan Pantai Merdeka dipisahkan oleh muara Sungai Merbok. Pada musim cuti sekolah atau hujung minggu, kedua-dua lokasi itu dipenuhi pengunjung. Di Pantai Merdeka, mereka berkelah, mandi-manda atau sekadar bersiar-siar manakala di Tanjung Dawai pula adalah pusat jualan hasil laut yang diproses seperti ikan masin, bilis mahu pun belacan. Selain produk tersebut, Arked Tanjung Dawai yang bersebelahan Jeti Tanjung Dawai itu juga ada menjual ikan kering, keropok udang, keropok lekor, telur masin dan yang paling popular ialah ikan masin talang padi.

Keindahan Tanjung Dawai ini pernah menjadi lokasi percutian Sultan Kedah, Almarhum Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah suatu ketika dahulu. Setiap kali ingin berehat, di Tanjung Dawailah menjadi tempat kegemaran Almarhum ayahanda baginda. Maka sebab itu, Sultan Sallehuddin begitu arif keadaan di pusat peranginan ini. Namun sayangnya, pulau-pulau yang cantik itu dan pantai yang putih bersih tidak diteroka sepenuhnya. Tidak banyak yang berubah, meskipun ramai penduduk luar yang sanggup memandu beratus-ratus kilometer untuk ke situ.

JAMALUDIN HASHIM
JAMALUDIN HASHIM 

Baginda turut menzahirkan betapa kawasan itu jika dibangunkan mampu menambah sumber pendapatan penduduk dan nelayan setempat. Hasil tinjauan mendapati faktor kebersihan mencacatkan pemandangan selain terdapat kemudahan awam yang rosak dan terbiar. Terdapat bangunan dua tingkat yang menempatkan beberapa buah kedai makan tetapi persekitaran yang kotor menyebabkan pelanggan berasa kurang selesa. Kemudahan jeti Tanjung Dawai dan Pantai Merdeka yang disediakan untuk pelancong yang ingin ke kedua-dua tempat itu dengan menaiki bot penambang juga didapati telah uzur. Malah ada bumbung jeti yang pecah.

Menurut pengusaha bot penambang, Jamaludin Hashim, 68, yang sudah 40 tahun menjalankan perkhidmatan itu, keadaan bertambah buruk ketika musim tengkujuh.

“Ada penumpang yang tidak jadi menaiki bot apabila melihat keadaan jeti yang uzur,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Peniaga hasil makanan laut di arked niaga, Ruhana Mohamad, 50, pula berpendapat, kawasan pelancongan di situ perlu disediakan kemudahan mesin juruwang automatik (ATM).

RUHANA MOHAMAD
RUHANA MOHAMAD 

“Nampak seperti perkara kecil tetapi boleh menjejaskan keselesaan pelancong. Lokasi paling dekat yang menempatkan ATM adalah kira-kira 20 kilometer dari sini,” kata penduduk Kampung Kepala Tanjung itu.

Di Pantai Merdeka pula, kewujudan gerai-gerai makan yang tidak teratur dan berdekatan pantai turut menjejaskan keindahan kawasan itu.

Pengunjung, Md. Isa Puteh, 69, berkata, Pantai Merdeka sering menjadi tempat keluarganya berkumpul ketika musim cuti sama ada untuk berkelah atau bersantai pada sebelah petang.

“Lokasi ini dipenuhi orang ramai terutamanya pada cuti hujung minggu. Ada yang bermalam di calet-calet di sini dan berkunjung ke arked niaga untuk membeli hasil laut,” katanya yang berasal dari Guar Chempedak.

Justeru, dia bersetuju sekiranya kawasan berkenaan dinaik taraf agar menjadi salah satu produk pelancongan kerajaan negeri dan meningkatkan pendapatan penduduk setempat.

TANJUNG DAWAI

  • Nama Dawai dipercayai berasal daripada bahasa Siam iaitu Than Wai yang bermaksud tempat pertahanan awal.
  • Terletak di daerah Kuala Muda.
  • Majoriti penduduk bekerja sebagai nelayan dan petani.
  • Tempat jualan hasil makanan laut, ikan kering.
  • Lokasi untuk ke Pantai Merdeka dengan menaiki bot penambang.