Ahli Parlimen Pasir Salak itu yang dikenali sebagai seorang yang gemar berterus terang biarpun pahit untuk diterima, terpanggil bercakap hal ini apabila ada ura-ura enam Parlimen UMNO akan kembali semula menyertai parti itu.

Bukan mempersoalkan sesiapa, tetapi Tajuddin memberitahu wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL menerusi perbualan telefon semalam bahawa rakyat dalam Malaysia Baharu hari ini berkehendakkan ahli Parlimen yang benar-benar memperjuangkan nasib rakyat.

Apatah lagi UMNO yang memiliki 38 kerusi Parlimen, seharusnya berfungsi sebagai pembangkang yang kompetitif dan berwibawa. Dan bukannya seperti mana pelompat parti melakukan tindak tanduk ‘menyakitkan mata’ demi menyelamatkan ‘tengkuk sendiri’.

Ikuti apa yang dikongsi dalam temubual 15 minit ini:
 

Rintihan rakyat

Mengapa ada sesetengah Ahli Parlimen tidak datang ke sidang Dewan Rakyat pun? Sedangkan pembangkang mesti aktif perjuangkan isu rakyat.

Malah kejatuhan hasil sawit dan banyak masalah rakyat yang ahli Parlimen pembangkang seperti UMNO bertanggungjawab bawa rintihan mereka ke Parlimen. Jadi, perlu ada check and balance. 

Peruntukan untuk bantu rakyat kepada golongan petani, pesawah dan pekebun kecil tertinggal dalam Bajet 2019 tetapi setelah dibangkitkan oleh pembangkang yang menegur Menteri Kewangan dan kementerian-kementerian lain, barulah mereka bangkit janjikan untuk tambah peruntukan menerusi bajet tambahan yang akan dibawa oleh kerajaan pada Mac dan Jun 2019.
  
Loncat meloncat

Ini bukan masanya untuk mana-mana ahli Parlimen sibuk atur perkara lain seperti loncat-meloncat tubuhkan blok itu blok ini. Itu bukan harga diri seorang ahli Parlimen. Ada yang sudah salah faham. 

Mereka (sebilangan ahli Parlimen) seolah-olah nak tentukan survival parti. Padahal ahli Parlimen mewakili parti, dengan mengikut arahan dan dasar parti. 

 Saya (Tajuddin) kadang-kala kesal sebab kepimpinan parti seakan-akan membiarkan ‘kelompok tertentu’ ini dengan idea mereka sendiri. 

Pandai-pandai pula sendiri nak jadi peneraju kebangkitan parti. Misalnya ahli Parlimen yang lompat, ini bukan caranya. Hendak jadi hero, sebaliknya melemahkan parti. 

Command

Sekarang (Datuk Seri) Mohamad Hasan ambil alih tugas Presiden UMNO. Saya harap parti melihat dalam framework yang betul, dasar dan pelan tindakan serta program mesti tersusun secara  terselaras dari ibu pejabat UMNO. Dari atas ke bawah jangan biarkan berterabur.

 PKR dahulu (2004) cuma ada seorang ahli Parlimen, (Datuk Seri Dr.) Wan Azizah (Wan Ismail)  tapi partinya terus berjalan sehingga hari ini memiliki jumlah terbanyak, 50 kerusi. Pas pun tidak haru-biru macam ini.

 Maka, pemimpin mesti ada dalam kedudukan yang boleh command atau arahan memantau dan pastikan perjalanan parti mengikut dasar yang telah dipersetujui parti. Jangan langkahnya sumbang, sekejap ke kiri, kanan, depan, belakang.

Followers

Pemimpin perlu ada pengikut (followers). Macam bintang filem ada followers seperti (Datuk) Siti Nurhaliza. Bila ramai peminat, akan ada ramai follower macam (Datuk) Rosyam Nor yang buka pasar raya ST Rosyam Mart Sdn. Bhd. sehingga berpusu-pusu orang pergi. Neelofa pula terkenal dengan jualan koleksi tudungnya. 

 Begitulah juga politik. Mesti ada tarikannya. Kalau politik, kita lihat perjuangan dan isu yang dibawanya. Tapi kalau silap pembawaannya, jadi kebencianlah pula.

 Najib “Raja Troll”

Sekarang ini Raja Troll (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) mesra dengan orang biasa. Komennya ramai yang ikuti sehingga membuatkan (Penasihat DAP) Lim Kit Siang seolah-olah ‘obses’ dengannya dan  hampir setiap hari terpaksa melayan Najib (dengan kenyataan Ahli Parlimen Iskandar Puteri menyerang bekas Perdana Menteri itu secara peribadi). 

Juga, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik pun tak terkata apa. Yang buat kerja-kerja begini dahulunya PH. Pergi berceramah sana sini (sebelum PRU-14). Cakap tidak betul dan betul pun semua orang terima.

 Najib saya lihat bergurau pun ada seninya. Bercakap yang ada fakta. Dia berhemah dan gunakan bahasa yang berpekerti. Tiada maki hamun atau ‘buang mikrofon’. Atau lemparkan ungkapan ‘si penyamun, perompak’. 

Saman

UMNO cukup  meragui keikhlasan mereka yang telah keluar UMNO ini sama ada nak terus tinggalkan parti atau kembali kepada kita.  Apa motif sebenar mereka untuk  kembali? Adalah untuk ukuhkan parti, bela nasib rakyat atau hendak selamatkan ‘tengkuk’ sendiri?

Kerana itu jugalah tindakan UMNO untuk saman mereka (Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali) yang telah keluar parti ini betul. Barangkali dalam mahkamah, bila peguam tanya apa motif keluar UMNO, kamu akan kata macam-macam alasan antaranya UMNO tidak ada hala tuju.

Tapi kami akan soal balik, apa yang kamu maksudkan hala tuju itu, sudah 72 tahun UMNO, tiada hala tuju lagikah?

Mereka ini boleh saja  bayar ganti rugi kepada UMNO atau nafikan motif lompat mereka. Tapi rakyat akan menilai keikhlasan itu sepanjang perbicaraan.