Keperibadian mulia baginda yang sering mengetepikan protokol setiap kali mencemar duli turun padang menjenguk kehidupan rakyat, menjadi bualan masyarakat.

Menyantuni rakyat yang susah, ditimpa musibah hatta penghuni tirai besi sanggup diredah tanpa menghiraukan kedudukan tinggi baginda dalam hierarki negara.

Baginda dan suaminya yang kini dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah tidak pernah lelah untuk bersama rakyat, lebih-lebih lagi sewaktu mereka ditimpa kesusahan. Setiap kali mendengar berita sedih rakyat tidak kira di ceruk desa mana pun, baginda berdua pasti di sisi rakyat.

Baginda tidak peduli meredah air banjir, memanjat trak tentera dan menaiki bot untuk bertemu sendiri dengan mangsa musibah bagi menghulurkan bantuan serta bertanya khabar. Tidak cukup sekadar itu, baginda turut menyingsing lengan mencemar duli memasak di pusat-pusat pemindahan banjir demi memastikan mereka tidak kelaparan kerana bencana itu. Kasih sayang dan keikhlasan baginda merasai denyut nadi rakyat cukup menyentuh perasaan sesiapa jua yang melihatnya.

Permata hati rakyat

“The position gives me power to deliver.” Itu luahan Tunku Azizah apabila diajukan pertanyaan berhubung sikap baginda yang memecah tembok pemisah antara raja dan rakyat. Tunku Azizah menganggap kedudukan baginda dalam takhta institusi raja memberi peluang dan ruang untuk membantu rakyat tanpa mengira darjat dan kedudukan untuk terus membantu sesiapa sahaja yang memerlukan semata-mata untuk memberi kekuatan kepada mereka. Baginda ibarat permata hati rakyat.

Tunku Azizah sentiasa berpegang kepada pesanan ayahandanya, Almarhum Sultan Iskandar supaya sentiasa mencontohi sifat padi, makin berisi makin tunduk. Sememangnya bukan mudah menjadi milik rakyat. Namun, kesibukan baginda menyantuni rakyat tidak menjejaskan tugas hakiki baginda membesarkan sembilan anaknya, apatah lagi memikirkan betapa sukarnya baginda untuk memiliki anak sendiri.

Hampir 10 tahun baginda menunggu untuk dikurniakan cahaya mata. Baginda terpaksa melalui sebanyak 16 kali proses rawatan kesuburan termasuk persenyawaan tabung uji (IVF) dan Intra-cytoplasmic Sperm Injection (ICSI) sebelum mengandungkan anak-anak. Sepanjang tempoh 16 kali melalui kaedah IVF dan ICSI itu, baginda mengalami detik paling sedih apabila enam kali keguguran.

Oleh sebab merasai keperitan sendiri memperoleh zuriat, baginda bertekad untuk membantu wanita lain yang mengalami nasib sama, sekali gus mendorong baginda menubuhkan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) sejak 2004. Dan sehingga kini sudah 154 bayi dilahirkan menerusi rawatan itu di bawah yayasan berkenaan.

Gemar memasak

Walaupun Tunku Azizah berdarah keturunan raja, naluri seorang wanita yang gemar memasak turut mengalir dalam jiwa baginda. Sejak berumur lima tahun lagi, baginda sudah menunjukkan minat memasak dan hobi itu diterjemahkan sebagai satu ‘kehidupan’. Baginda amat gembira jika rakyat dapat menikmati hasil air tangan baginda sendiri.

Demi berkongsi minat baginda dengan rakyat, dua buku resipi eksklusif, Air Tangan Tengku Puan Pahang – Masakan Tradisional Pahang dan Air Tangan Tengku Puan Pahang – Manisan Tradisional Pahang diterbitkan di samping mengutip dana untuk yayasan tersebut.

Sesungguhnya rakyat Pahang bertuah memiliki sultanah berjiwa rakyat. Daulat Tuanku!