Hasil karya sastera terutamanya karya sasterawan negara sudah diakui mampu membangun akal budi bangsa. Lantaran itu, kerajaan disaran membeli karya sasterawan negara dan karya sastera yang bernilai untuk perpustakaan sekolah, jabatan kerajaan, universiti dan juga perpustakaan awam.

Langkah kerajaan memberikan elaun RM5,000 sebulan sepanjang hayat  kepada tujuh sasterawan negara baru-baru ini adalah langkah awal dan petanda terbaik dalam meran­cakkan budaya mengarang dan menulis dalam kalangan sasterawan negara dan sasterawan lain yang masih ada serta menghargai sumbangan mereka selama ini dalam memartabatkan bahasa dan sastera Melayu.

Lantaran itu, golongan peminat karya sastera terutamanya novel, cerpen, sajak, dan drama akan membaca dan mencari karya sasterawan negara dan sasterawan lain di tanah air bagi mengisi minda dan juga jiwa dengan keindahan dan kemanfaatan hasil karya sastera yang indah dan bernilai.

Sastera terbukti berjaya membentuk akal budi manusia ke arah kesopanan dan kesantunan melalui pembaca hasil karya baik.

Berikutan itu,  penerbitan karya sastera melalui penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd. dan penerbit lain dapat dirancakkan melalui bantuan dan saranan kerajaan yang berterusan.

Hal ini akan menyumbang kepada penerbitan yang lebih rancak  terutama karya sastera yang masih segar dan terus berkembang dengan sihat  di negara ini dan para penulis akan terus menyumbang ke arah kebaikan bagi menyuburkan akal budi masyarakat pembaca.

Apa yang paling penting, hasil karya sastera seperti novel, cerpen, puisi dan drama ini hendaknya dibaca oleh kalangan pelajar, masyarakat dan orang awam bagi membentuk akal budi yang berseni sebagai santapan jiwa dan rohani ke arah membentuk nilai kemanusiaan yang tinggi.

Menurut kajian pakar psikologi, kalangan yang minat membaca novel dan bahan sastera yang bernilai dan bermutu akan memandang dunia ini penuh dengan keindahan dan kehidupan manusia yang aman, mencintai nilai kemanusiaan dan juga menjauhi sifat kasar, bengis dan kejam.

Malahan membentuk sikap kritis dan adil dalam sebarang tindakan dan keputusan yang diambil. Jelaslah, sastera adalah cerminan kehidupan.

Melalui penulisan novel yang baik, berkesan dan mempunyai falsafah untuk dihayati oleh pembaca akan membentuk seni akal budi yang tinggi dalam kalangan peminat khusus pembacanya dalam kehidupan bermasyarakat.

Tema dan persoalan yang diungkapkan dalam novel lebih luas dan rencam, mengandungi pendidikan dan pengajaran, terdapat falsafah yang dapat membentuk budaya tinggi.

Dalam novel yang baik pengarang mampu mengemukakan satu persoalan utama di samping pelbagai persoalan lain juga tentang kehidupan masa kini dan akan datang.

Nilai-nilai baik dalam sesebuah novel, cerpen dan drama dapat mendidik pembaca ke arah sifat kasih sayang, keberanian, berbudi bahasa dan bersopan santun dalam kehidupan.

Dalam hal ini setiap pembaca tentunya sudah ada asas dan minat membaca novel sejak di sekolah rendah dan menengah lagi.

DR. AMINUDIN MANSOR ialah aktivis sastera.