Semuanya gara-gara pembaca kini lebih gemar membaca, menonton dan melayari berita dalam talian. Demikian juga akhbar Utusan Melayu, akhbar yang diedarkan di Malaysia. Ia berformatkan tulisan jawi. Utusan Melayu ditubuhkan pada 29 Mei 1939. Ia diterbitkan di 64, Queen Street, Singapura dan dijual pada harga 10 sen senaskhah ketika itu.

Akhbar ini adalah sisipan akhbar nasional bagi Utusan Malaysia yang diedarkan setiap Isnin. Kandungan akhbar ini adalah bercirikan berita semasa dalam dan luar negeri, pendidikan jawi, cerpen, hiburan dan sukan.

Walaupun pernah mengalami zaman sulit yang membawa kepada penggantian daripada akhbar harian kepada mingguan mulai 1 Mei 2006, Utusan Melayu Mingguan turut melakukan transformasi era digital. Ini bagi memastikan ia tidak ketinggalan dalam arus perdana akhbar.

Mulai 11 Februari 2015 pula, Kerajaan Negeri Johor melalui Johor Corporatian (Jcorp) mengambil inisiatif menaja penerbitan semula akhbar Utusan Melayu Mingguan untuk melihat tulisan Jawi terus wujud, relevan dan tidak luput ditelan zaman.

Akhbar itu kini dicetak 5,000 naskhah setiap Isnin untuk diedarkan kepada 262 sekolah menengah di seluruh Johor, kaunter pejabat kerajaan, syarikat milik kerajaan (GLC) dan sebagai bahan bacaan di masjid.

Bagi memberi keselesaan dan kemudahan kepada pembaca, Utusan Melayu (M) Berhad membangunkan sebuah portal akhbar jawi pada 7 September 2016. Ia adalah portal yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Portal yang dikenali sebagai Portal Jawi Utusan Melayu itu boleh diakses secara percuma melalui www.utusanmelayu.com.my.

Ia dibangunkan sejajar dengan komitmen Utusan Melayu dan JCorp menerusi tajaan kali kedua sejak 2015 entiti konglomerat itu selain menerbitkan semula akhbar Utusan Melayu Mingguan versi cetak.

Dalam melakar kedudukannya sebagai tulisan yang melambangkan identiti orang Melayu, tulisan jawi melalui beberapa fasa perkembangan iaitu:-

1. Pada kurun 16M, tulisan jawi hampir menyamai tulisan Arab dengan menggunakan tanda baris bagi membunyikan huruf.

2. Pada kurun ke 17M, tulisan jawi tidak lagi meletakkan tanda baris sebagaimana tulisan Arab

3. Pada kurun ke 18M, telah diwujudkan huruf-huruf saksi iaitu alif, waw dan ya. Dengan kewujudan huruf-huruf saksi ini maka tulisan jawi telah membina identitinya tersendiri.

4. Pada kurun ke 19M hingga 20M, perkembangan pertambahan huruf jawi berlaku dan tulisan jawi meneruskan pembinaan identitinya.

Justeru, tidak dapat disangkal lagi bahawa tulisan Arab merupakan asal kepada terbentuknya tulisan jawi dan nama ‘jawi’ adalah merujuk kepada rumpun bangsa Melayu yang mendiami Kepulauan Melayu.

Tulisan jawi adalah warisan teragung dalam proses perkembangan ilmu dalam kalangan orang Melayu yang sekali gus telah melonjakkan martabat ketamadunan Melayu suatu ketika dahulu. (Faridah Mohamed, 1997, Bahasa al-Quran dan Hubungannya Dengan Tulisan Jawi: Suatu Kajian Terhadap Pelaksanaan Tulisan Jawi Di Sekolah-sekolah Kota Bharu, Kelantan. Disertasi Sarjana Usuluddin Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya Kuala Lumpur, hlm. 102-104)

Usaha Utusan Melayu tidak berhenti setakat mewujudkan portal. Sebaliknya, bagi menambahbaik dan menyemarakkan jawi, Utusan Melayu Mingguan memperkenalkan video program pembelajaran jawi yang boleh ditonton secara langsung menerusi utusan.com.my dan utusanmelayu.com.my mulai pukul 9 pagi 17 Ogos 2017

Pogram yang diberi nama Klinik Jawi Utusan itu me­maparkan sesi pembelajaran jawi di bawah bimbingan Munsyi (jawi) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Sabri Azit. Setiap video berdurasi antara lima ke 10 minit.

Menimbulkan minat

Klinik tersebut dibangunkan me­ngikut teknik DOUWRA hasil ilham Sabri yang mendapat tempat ketiga Anugerah Inovatif 2017 di Kedah dan Johan Peringkat Daerah Kota Setar 2017.

Ia adalah salah satu cara ba­gaimana menyelesaikan per­­­­masalahan pelajar aras menengah untuk merangkai huruf–huruf jawi bagi me­ngeja perkataan.

DOUWRA ialah huruf-huruf yang dipadankan dalam Jawi sebagai mewakili huruf pemutus. Maksud huruf pemutus ialah huruf yang tidak bersambung dengan huruf di hadapannya.

Masalah yang dihadapi di sekolah-sekolah harian di seluruh Malaysia ialah mereka tidak dapat memberi pada­nan yang sesuai dengan huruf Jawi serta tidak dapat merangkai menjadi satu per­kataan dalam menulis tulisan jawi. Dengan adanya teknik ini, ia akan memudahkan para pelajar tahap lemah dan sederhana menguasai tulisan jawi sekali gus menimbulkan minat menguasai jawi.

Sebagai permulaan, ma­sing-masing satu video akan ditayangkan setiap Jumaat selama tiga minggu. Jumlah keseluruhan video adalah 10 siri. Sesi rakaman dijalankan di sekitar Yan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Muadzam Shah, Kota Sarang Semut, Kedah, Mei lalu.

Selain menawarkan kaedah pembelajaran terkini iaitu melalui online, pembaca juga boleh mengikuti Klinik Jawi yang disiarkan dalam muka surat 12 akhbar Utusan Me­layu Mingguan sama ada edisi bercetak atau melalui portal jawi utusanmelayu.com.my.

Sepatutnya, tidak ada alasan bagi orang Melayu tidak boleh menguasai tulisan jawi. Sebabnya, tahu jawi bermakna kita tahu mengaji. Tulisan jawi juga membantu kita membaca kitab-kitab lama seperti Risalah Tauhid, Matlaal Badrain, Munyatul Mushalli, ‘Minhajul ‘Abidin, al Mawaa’izh al Badii’ah dan Bahrul Madzi.

Dengan usaha dan transformasi yang dilakukan, diharap para pembaca tulisan jawi akan meningkat. Sekali gus memastikan tulisan jawi terus dapat dipertahan dan dimartabatkan di negara ini. Kalau dulu antara punca ‘matinya’ Utusan Melayu versi cetak disebabkan kekurangan pembaca, kini ia sudah boleh diakses menerusi Internet walau di mana juga kita berada.

Usaha JCorp dalam menaja Utusan Melayu Mingguan mendapat pujian Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd. Majid. Beliau menyifatkan usaha itu bukan sahaja dapat menyemarakkan lagi tetapi juga mendokong pengajaran subjek Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (J-QAF) di sekolah-sekolah.

“Sebenarnya, menyemarakkan tulisan jawi ini boleh disifatkan sebagai tugas agama. Sebabnya, jawi adalah jelmaan bahasa Arab. Bahasa Arab adalah bahasa al-Quran. Apabila anak-anak tahu membaca Jawi maka ia membantu mereka mengenal al-Quran dan seterusnya dapat membaca kitab suci itu dengan betul dan tepat.

“Kalau kerajaan-kerajaan negeri lain dapat membantu dengan turut sama menaja Utusan Melayu Mingguan itu lebih baik supaya ia boleh dicetak bukan sahaja seminggu sekali tetapi setiap hari. Lagipun jumlah kira-kira RM1 juta setahun bukanlah angka yang besar untuk kerajaan negeri menaja tulisan jawi yang menjadi warisan bangsa kita,” katanya.

Seorang lagi tokoh tulisan jawi tempatan, Hamdan Abdul Rahman turut merakamkan penghargaan kepada Utusan Melayu Mingguan dan JCorp yang saling membantu dalam memastikan penerbitan akhbar jawi dalam negara tidak terus terkubur.

“Negeri Johor sudah memulakan edaran akhbar jawi kepada sekolah-sekolah agama dan pejabat berkaitan. Langkah sama patut dilakukan kerajaan negeri lain sebab mereka juga ada sekolah agama. Dengan cara ini insya-Allah usaha memartabatkan tulisan jawi akan tercapai dalam masa singkat,” jelas penulis buka Panduan Menulis dan Mengeja Jawi ini.

Benar, Utusan Melayu adalah akhbar jawi yang lahir menjadi panji-panji bersama penubuhan Utusan Melayu itu sendiri pada tahun 1939. Ia turut berperanan penting dalam memperjuangkan kemerdekaan negara pada tahun 1957.

Kini terpulang kepada kita, sama ada untuk memastikan ia terus berkibar dan meneruskan obor perjuangan untuk agama, bangsa dan negara atau sebaliknya.

Terima kasih kepada JCorp yang sudi menaja penerbitan Utusan Melayu Mingguan. Jika usaha ini dibantu dan disokong oleh pihak-pihak lain, pasti akhbar ini dapat kembali dicetak di seluruh negara dan menghapuskan kerinduan para pembaca untuk menatap versi yang diterbitkan.