Mingguan Malaysia: Tahniah diucapkan kepada Petronas di atas perjanjian bersejarah yang dimeterai dengan Saudi Aramco baru-baru ini, Datuk. Banyak telah diperkatakan tentang pelaburan ini. Boleh Datuk huraikan dengan lebih lanjut?

Wan Zulkiflee : Terima kasih. Alhamdulillah, setelah sekian lama di meja perundingan, kami telah berjaya mencapai kata persetujuan yang bakal memberi manfaat kepada kedua-dua pihak Petronas dan Saudi Aramco, dan juga kepada kedua-dua negara.

Dengan pelaburan kira-kira AS$7 bilion (RM31 bilion) ini, Saudi Aramco bakal menjadi rakan kongsi strategik Petronas bagi projek RAPID. Kedua-dua organisasi akan memiliki ekuiti yang sama di dalam aset RAPID iaitu loji penapisan minyak dan pemisahan stim.

Seperti sedia maklum, Projek RAPID adalah sebahagian daripada pembangunan Kompleks Bersepadu Pengerang atau PIC, yang diterajui Petronas. Nilai keseluruhan pelaburan PIC dianggarkan berjumlah AS$27 bilion. Pembangunan PIC sudah mencapai tahap 60 peratus, dan loji penapisan minyak dijangka beroperasi pada tahun 2019, Insyallah.

Kami dan juga Saudi Aramco berpandangan perjanjian perkongsian ini satu langkah strategik di antara dua syarikat minyak kebangsaan paling berjaya di dunia, menggabungkan sumber kepakaran masing-masing untuk menjayakan satu projek hiliran paling besar dalam satu lokasi di Malaysia, di mana projek ini kelak bakal merealisasikan aspirasi perkembangan perniagaan hiliran kedua-dua pihak.

Saudi Aramco juga bakal membekalkan sehingga 70 peratus keperluan minyak mentah loji penapisan minyak RAPID, sekali gus memastikan pembekalan stok suapan yang berterusan ke dalam operasi fasiliti tersebut.

Petronas pula akan membekalkan keperluan penting lain seperti gas asli, tenaga eletrik, keperluan utiliti dan juga perkhidmatan sokongan yang lain.

Mengapa Petronas perlu mendapatkan pelaburan daripada Saudi Aramco? Bukankah Petronas selama ini mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh?

Wan Zulkiflee : Sebelum ini, saya selalu menekankan bahawa Petronas bersedia untuk melaksanakan sendiri RAPID tanpa pembabitan rakan kongsi. Amalan kewangan berhemah Petronas sentiasa memastikan setiap projek yang akan dilaksanakan mempunyai bajet yang mampu dibiayai atau ditanggung sendiri oleh Petronas.

Kita tidak boleh merancang sesuatu projek, kemudian menunggu pelaburan pihak luar sebelum projek tersebut boleh dijalankan.

Tapi, perlu diingat projek mega seperti RAPID sudah tentu menarik minat ramai bakal pelabur. Petronas membuat penilaian ke atas cadangan-cadangan yang diterima, dan akan membuat pertimbangan sekiranya cadangan tersebut menepati syarat-syarat yang telah ditentukan Petronas.

Saya juga pernah menekankan dari segi kewangan, Petronas berada di dalam kedudukan yang selesa. Kami mempunyai rizab tunai sekitar RM130 bilion.

Tidak lama lagi saya akan membuat pengumuman mengenai prestasi kewangan Petronas bagi tahun 2016, di mana perincian mengenai prestasi kita juga akan dihuraikan dengan lebih lanjut.

Ada pihak yang mengatakan projek-projek mega seperti RAPID lebih menguntungkan syarikat-syarikat besar dan asing. Apa langkah yang diambil Petronas untuk memastikan penglibatan pengusaha-pengusaha tempatan?

Wan Zulkiflee : Sejak ditubuhkan lebih empat dekad lalu, Petronas diberi amanah untuk membangunkan sumber hidro karbon negara demi kepentingan rakyat. Seiring dengan usaha kami memastikan sumber minyak dan gas negara dimanfaatkan secara optimum, kami juga mempunyai komitmen membantu menaikkan taraf sosioekonomi rakyat Malaysia.

Selain daripada dividen yang disalurkan kepada kerajaan untuk pembangunan negara, Petronas juga mempunyai peruntukan yang signifikan untuk pelbagai pelaburan sosial berteraskan pendidikan, alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.

Sejak 1975, sebanyak RM3 bilion telah disalurkan kepada program tajaan pendidikan Petronas yang telah berjaya melahirkan tenaga pekerja yang cemerlang. Pembangunan modal insan sangat penting bagi Petronas. Saya rasa Petronas adalah satu-satunya organisasi yang tidak mengubah dasar ataupun jumlah agihan biasiswa, tidak kira sama ada paras harga minyak tinggi atau pun rendah.

Kami juga mempunyai program pembangunan vendor yang boleh dianggap paling berjaya di Malaysia. Sejak program ini bermula pada tahun 1994 kami telah berjaya membimbing 100 syarikat sebagai vendor tempatan. Sejumlah mereka telah berjaya mengembangkan perniagaan masing-masing di dalam dan di luar negara, selain dari tersenarai di Bursa Malaysia.

Petronas juga sentiasa berusaha memastikan syarikat dan pengusaha tempatan mendapat manfaat yang sewajarnya daripada aktiviti dan projek yang dijalankan. Kami mempunyai dasar di mana sebahagian besar keperluan projek mesti mempunyai nisbah kandungan tempatan yang telah ditetapkan.

Di sini saya perlu tekankan bahawa industri minyak dan gas memerlukan kepakaran khusus dan memiliki piawaian tinggi. Atas sebab itu kami menetapkan standard yang sama kepada semua kontraktor, tidak kira syarikat tempatan atau luar negara. Namun begitu, Petronas sentiasa memastikan syarikat-syarikat tempatan mendapat pelbagai peluang untuk turut membida bagi kontrak-kontrak yang ditawarkan.

Di Pengerang, setakat akhir tahun 2016, pelbagai kontrak bernilai AS$807 juta (RM3.6 billion) telah diberikan kepada 194 kontraktor dari Johor. Selain itu, ramai lagi pengusaha tempatan diberi peluang menyertai pelbagai aktiviti perniagaan. Sebagai contoh, baru-baru ini kami melantik Koperasi Pengerang Jaya Johor Bhd. (KOPEJA) bagi menguruskan stesen minyak komersial di tapak PIC. Ahli koperasi ini terdiri daripada penduduk kampung setempat. Projek RAPID juga setakat ini telah membuka peluang pekerjaan kepada lebih 20,500 rakyat Malaysia, di mana lebih 25 peratus jumlah pekerja berasal dari Johor.

Selain itu, Petronas juga aktif sejak tahun 2012 menjalankan pelbagai aktiviti pelaburan sosial dan pembangunan komuniti, bagi membolehkan lebih ramai masyarakat tempatan menikmati manfaat pembangunan di kawasan Pengerang.

Bagaimana pula dengan keputusan Petronas mengurangkan tenaga kerja baru-baru ini?

Wan Zulkiflee : Seperti umum sedia maklum, harga minyak mentah yang menjunam sejak pertengahan tahun 2014 telah memberi impak yang sungguh mencabar kepada industri minyak seluruh dunia. Semua syarikat minyak antarabangsa dan nasional milik kerajaan mengambil langkah-langkah tertentu untuk menangani impak ini.

Sejak pertengahan tahun 2014, hampir 400,000 pekerja minyak dan gas hilang mata pencarian; hampir 70 projek besar bernilai hampir AS$400 bilion telah dibatalkan atau ditangguhkan, dan baru-baru ini ada berita yang mengatakan industri minyak secara keseluruhan mengurangkan perbelanjaan sebanyak AS$1 trilion sejak harga minyak jatuh. Di peringkat global, pelaburan dalam pembangunan minyak dan gas dari tahun 2015 hingga 2020 akan berkurang sebanyak 22 peratus, atau AS$740 bilion dibandingkan sebelum harga minyak merudum pada tahun 2014.

Seperti diumumkan tahun lalu, Petronas mengambil keputusan menyusun semula struktur organisasi dan operasi syarikat sebagai salah satu langkah tersusun menangani impak harga minyak mentah rendah yang berterusan.

Malangnya, proses ini juga membabitkan pengurangan tenaga kerja Petronas.Perlu saya jelaskan bahawa Petronas telah sedaya-upaya berusaha memastikan impak yang minimum kepada para pekerja tempatan. Setakat ini, kurang dari dua peratus pekerja tempatan ditamatkan perkhidmatan, berbanding kira-kira separuh daripada pekerja ekspatriat. Keputusan pengurangan jumlah pekerja ini bukanlah sesuatu yang senang dibuat. Malah ia keputusan yang paling akhir, atau last resort.

Tapi jika kita buat perbandingan dengan syarikat-syarikat minyak lain, berpuluh ribu pekerja terpaksa mereka hentikan. Di dalam dan di luar negara, banyak juga syarikat lain yang terpaksa mengurangkan tenaga kerja mereka. Petronas telah menangani saat-saat getir krisis ini sebaik mungkin.

Keputusan memberhentikan perkhidmatan – sama ada tidak menyambung kontrak atau membuat tawaran pakej pemutusan perkhidmatan secara sukarela – telah dibuat dengan mengambil kira pelbagai aspek, termasuk keperluan operasi, kos, prestasi pekerja dan tanggungjawab ke atas warga tempatan.

Apakah hala tuju Petronas selepas ini? Boleh Datuk ceritakan perjalanan Petronas dalam jangka masa terdekat?

Wan Zulkiflee : Pelbagai analisis telah diutarakan tentang krisis harga minyak yang sedang berlaku ini, namun pada pendapat kami, keadaan harga minyak yang rendah ini akan berterusan untuk beberapa tahun lagi.

Alhamdulillah, dengan dasar pentadbiran perniagaan yang berhemah, Petronas berada di dalam keadaan kewangan yang kukuh. Kita telah bertindak dengan cepat dan betul ketika krisis ini bermula pada tahun 2014 dan mengambil langkah bijak memulakan transformasi organisasi untuk meningkatkan kecekapan, produktiviti, budaya kerja dan kualiti, selain mengurangkan kos dan pembaziran.

Penambahbaikan proses transformasi bukan sahaja diterapkan di dalam organisasi ini, tetapi juga digalakkan dalam kalangan industri minyak dan gas negara menerusi inisiatif Cost Reduction Alliance (CORAL 2.0). Sehingga kini, program-program ini telah berjaya mencatat penjimatan kos sebanyak RM5 bilion.

Semua langkah transformasi yang kami ambil, terutama dalam jangka masa 2015 hingga 2020, mempunyai matlamat jelas untuk dicapai secara kolektif oleh Kumpulan Petronas, bertujuan menyokong kelangsungan dan kemampanan perniagaan di masa hadapan.

Dalam pada masa itu, kami juga terus menyusun semula aktiviti-aktiviti perniagaan Petronas di seluruh dunia, di samping terus komited kepada projek-projek yang berpotensi memberi pulangan dan nilai kepada Petronas.

Saya dan barisan kepimpinan Petronas juga akan terus berusaha dalam segala aspek, termasuk strategi, perancangan dan pelaksanaan untuk lebih memperkasakan lagi industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas negara, supaya syarikat-syarikat tempatan dapat mempertingkatkan keupayaan dan daya saing untuk terus kekal menyumbang kepada pembangunan industri ini di masa hadapan.