Jalan cerita kisahnya sama sahaja iaitu skandal tanah dengan mangsanya pula tidak lain tidak bukan peneroka yang majoritinya adalah orang Melayu, yang mencari makan menggunakan hasil kelapa sawit untuk menyara keluarga.

Bilangan yang menjadi mangsa pula tidak sedikit dengan di Ijok sahaja sejumlah 981 peneroka terlibat, di Sungai Yu, seramai 175 peneroka dan di Ladang Hopeful membabitkan 120 peneroka.

Di Ijok yang sehingga kini persoalan pokoknya gagal dijawab, bukan sahaja isu nilai pampasan menjadi perdebatan tetapi rumah yang dijanjikan siap pada 2016 oleh kerajaan ne­geri melalui pemaju cuma sekadar janji tinggal janji.

Begitu juga halnya de­ngan Sungai Yu. Penduduk tempatan dianaktirikan dengan orang luar yang tiada sebarang kaitan sehingga sejauh Pulau Pinang, Kedah, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan pula diutamakan.

Namun, dalam ketiga-tiga kes itu, nasib 120 peneroka Ladang Hopeful paling teraniaya apabila tanah yang diusahakan sejak 32 tahun lalu bukan sahaja dibatalkan kaveatnya oleh Mohamed Azmin, tetapi kemudiannya dijualkan kepada syarikat swasta tanpa satu sen pun pampasan diberikan kepada peneroka.

Hidup mereka sejak dua bulan lalu umpama ‘anak ayam kehilangan ibu’ apabila mata pencarian hilang sekelap mata setelah semua kelapa sawit milik penduduk ditebang tanpa sebarang notis dan tambah malang, tiada sebarang pembelaan sudi dihulurkan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, baik Mohamed Azmin, mahu pun exco kerajaan negeri atau pun wakil rakyat Pakatan Harapan Sela­ngor semua diam membisu dalam isu Ladang Hopeful sehingga tiada satu pun kenyataan dibuat oleh pihak berkenaan.

Isunya kenapa peneroka dan kepentingan siapa atau pihak mana yang diutamakan sehinggakan mereka dilayan sebegitu rupa?

Kenapa kumpulan pe­neroka yang ‘kais pa­gi makan pagi, kais petang makan petang’ ini dijadikan sasaran sebagai mangsa? Bukankah mereka ini seharusnya dibantu jika benar Mohemad Azmin bersikap peduli rakyat?

Sekali pun benar, isu membabitkan tuntutan peneroka sudah lama dan sama ada semasa kepe­mimpinan Barisan Nasional (BN) mahu pun ketika Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, ke­semuanya me­ngambil langkah cermat dengan meletakkan kepenti­ngan peneroka sebagai asas utama.

Apakah ia ada kaitan dengan dasar pecah dan perintah memandangkan walaupun kedudukan Menteri Besar Sela­ngor diisi PKR, namun dari segi jumlah kerusi dan parti paling dominan adalah DAP.

Jika begitu, telunjuk siapa pula yang diikuti Mohamed Azmin ke­rana masalah pengania­yaan ke atas peneroka ini berlaku disebabkan persetujuan beliau me­lakukan sesuatu yang tidak dilakukan kepe­mimpinan terdahulu?

Pada masa sama, re­levan lagikah slogan Pe­duli Rakyat yang dide­n­dangkan kerajaan ne­geri jika peneroka bagaikan dibuli?