Mahkamah sendiri kekal dengan keputusan yang kuasa budi bicara AG itu muktamad. Antaranya, Long bin Samat lwn Pendakwa Raya pada 1974 dan terbaharu semalam, keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes bekas Pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), Datuk Prof. Dr. N. Sundra Rajoo.

Namun, perdebatan mengenai kuasa AG itu tidak pernah terhenti kerana secara logiknya sesiapa pun harus tertakluk kepada proses semak dan imbang atas semangat pemisahan kuasa. Amalan negara lain juga dibandingkan.

Apatah lagi pokok kepada setiap keputusan AG perlulah dibuat tanpa takut serta memihak berasaskan kepada prinsip keadilan. Oleh itu, keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan bahkan dirasai.

Oleh kerana tidak merasakan keadilan maka dibangkitkan termasuk dalam perbahasan Dewan Rakyat mengenai keputusan AG menggugurkan dan membuat pendakwaan ke atas beberapa individu termasuk dalam era Malaysia baharu.

Antara yang menyentuh isu ini, Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam). Terus terang, Parlimen beberapa kali bergema mengenai beberapa keputusan AG, Tommy Thomas kerana dilihat gagal menegakkan prinsip keadilan.

Terbaharu keputusan tidak meneruskan pendakwaan (nolle prosequi) ke atas wanita Indonesia yang menjadi salah seorang tertuduh kes bunuh warga Korea Utara, Kim Jong-Nam. Namun pada masa sama warga Vietnam, Doan Thi Huong kekal sebagai tertuduh. Ini jadi perhatian antarabangsa.

Maka dari perbincangan skop politik dan peribadi seperti pengguguran kes rasuah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan kes isyarat lucah seorang peguam, kini perdebatan mengenai keputusan AG beralih kepada menjaga reputasi negara di mata dunia. Apatah lagi berlegar segala macam dokumen dalam media sosial.

Mungkin sudah masanya kerajaan hari ini yang mencanangkan pemerintahan Rule of Law melihat kembali kuasa AG yang luas itu agar era Malaysia baharu tidaklah sama dengan kerajaan terdahulu.

Era di mana pemimpin kerajaan (yang dahulunya pembangkang) mendakwa kuasa budi bicara AG mempunyai ruang untuk disalah guna bagi kepentingan politik eksekutif menjadi amalan.

Setidak-tidaknya sebelum peruntukan dipinda, AG hendaklah memberikan alasan secara terperinci kepada rakyat mengapa tindakan mendakwa atau menggugurkan pendakwaan dibuat terutama dalam kes berprofil tinggi.

Apatah lagi jika bertentangan dengan keputusan agensi penguat kuasa kerana rakyat tidak mahu insiden yang melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ‘terkejut’ berulang apabila AG menggugurkan kes.

Pada 2016, bekas Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee (artikel bertajuk The Public Prosecutor Is Accountable To The Public In Exercising His Prosecutorial Power yang disiarkan di laman web Majlis Peguam) pernah mencadangkan hal ini bagi kes rasuah pemimpin kerajaan (BN ketika itu).

Harapnya jangan kerana Tommy yang menjadi AG, pendirian ini berubah. AG adalah institusi, sesiapa pun menjadi AG mereka pelindung kepada kepentingan awam. Namun jika masyarakat mula meragui dengan keputusan AG, sesuatu harus dilakukan. - UTUSAN ONLINE