Penulis membangkitkan persoalan ini apabila membaca hujah seorang Ahli Parlimen PKR yang ‘melahirkan kebimbangan’ berhubung perkara itu sambil ­menegaskan, “lebih banyak sentimen rasis dan pelampau sudah semakin nyata sekarang ini.”

Sememangnya tidak dapat dipastikan kes atau isu mana yang dirujuk oleh ahli Parlimen tersebut. Tetapi apa yang pasti janganlah soal Melayu sahaja dilihat dari sudut tersebut. Orang Melayu bukanlah kelompok radikal. Apapun tuntutan yang dilakukan, mereka sama sekali tidak pernah menggugat hak kaum-kaum lain.

Janganlah membuat hujah dangkal berdasarkan satu dua kes sebelum PRU-14 sebagai petanda kononnya menjelang PRU-15 gerakan mempertahankan orang Me­layu akan lebih radikal.

Percayalah, kalau orang Me­layu tidak kira mewakili apapun orga­nisasi mahu bertindak radikal mereka sudah lama melakukannya. Ja­ngan disebabkan tindakan seorang dua maka disimpulkan perjuangan mempertahankan hak orang Me­layu akan menjadi radikal.

Penulis bersetuju dengan pandangan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang menjawab hujah itu berkata beberapa watak yang dianggap rasis merupakan hasil penentangan politik dan oleh itu ia tidak dapat dielakkan.

Namun begitu mahu menyimpulkan perjuangan mempertahankan Melayu akan menjurus kepada radikal boleh dianggap keterlaluan.

Tidak mengapa kalau ia sebagai peringatan awal tetapi soalnya kenapakah hanya ditumpukan kepada orang Melayu, kenapakah tuntutan-tuntutan kaum lain tidak dilihat akan menjurus kepada keadaan sedemikian?

Setakat membuat perhim­punan seperti Himpunan Melayu Bangkit di Pasir Salak hari ini dan Perhimpunan Perpaduan Ummah baru-baru ini, ia tidak boleh dilihat dari sudut perkauman. Sebaliknya, itulah suara orang Melayu yang mula gelisah dengan perkembang­an semasa yang pada pandangan mereka jika tidak dibendung lebih awal boleh mendatangkan kemudaratan kepada negara.

Atas sebab itulah mengambil semangat sambutan hari kemerdekaan semalam, semua rakyat negara ini harus berhati-hati dalam tindak tanduk mereka. Janganlah perubahan iklim politik yang berlaku selepas PRU-14 lalu dianggap ‘lesen’ untuk membuat tuntutan yang bukan-bukan sehingga mengguris perasaan orang Melayu.

Pemimpin politik tidak kira mewakili mana-mana parti pun ter­utamanya yang mempunyai jawatan dalam Kabinet perlu berwaspada dalam membuat kenya­taan. Orang Melayu bukanlah golongan radikal dan tidak mungkin menjadi radikal. Mereka hanya bangkit menyuarakan pandangan sahaja bukannya mencetuskan huru-hara, apatah lagi demonstrasi jalanan yang menyusahkan ba­nyak pihak serta menjejaskan imej negara.

Bagi penulis, perjuangan mempertahankan hak-hak Melayu tidak boleh didiamkan atau dipandang serong. Sebagai kelompok majoriti, golongan itu berhak bangkit bersuara jika merasakan kedudukan mereka tergugat atau ada tuntutan melampau sehingga menjejaskan apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan.

Justeru sama ada gerakan mempertahankan hak-hak Melayu akan menjadi radikal atau tidak, ini bukan bergantung kepada orang Melayu semata-mata malah kaum-kaum lain juga boleh memainkan peranan masing-masing.

Orang Melayu sudah membuktikan mereka tidak ada masalah dengan kaum lain sejak merdeka lagi. Apa yang penting ialah hormat menghormati dan mematuhi kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama.

Oleh itu, janganlah terlalu mudah menuduh rasis, apabila ada orang Melayu bangkit bersuara. Sejak PRU-14 lalu, istilah rasis ini te­lah disempitkan oleh kelompok tertentu bagi tujuan politik mereka.

Akhirnya, sebahagian besar orang Melayu termasuklah parti politik terpengaruh tidak berani bersuara apabila tercetus isu berkaitan kaum itu. Mereka takut dituduh rasis sedangkan pada masa sama pihak lain begitu rancak membuat tuntutan itu dan ini termasuklah dari segi mengiktiraf sijil peperiksaan tidak pula dianggap rasis.

Kebimbangan tidak bertempat ini harus dihapuskan kerana keputusan PRU-14 lalu membuktikan sokongan majoriti Melayu dan pribumi masih dipegang UMNO (lebih 50 peratus) diikuti Pas (lebih 20 peratus) sementara sekitar 20 peratus dipecahkan dalam parti-parti komponen Pakatan Harapan.

Statistik ini menunjukkan parti-parti Melayu masih menjadi sandaran kepada orang Melayu untuk mempertahankan hak mereka. Oleh itu, mereka tidak perlu bimbang untuk bercakap atau menyen­tuh soal hak orang Melayu.

Begitulah juga badan bukan kerajaan (NGO) Melayu, mereka tidak perlu gentar atau berbelah bahagi untuk memperjuangkan isu berkaitan orang Melayu, asalkan ia dilakukan mengikut lunas undang-undang dan tidak membuka ruang untuk dituduh radikal.

Kalau mahu bercakap soal ‘menjadi radikal’, ia bukan harus dikaitkan dengan orang Melayu sahaja. Parti dan NGO bukan Melayu juga boleh menjadi radikal menjelang PRU-15 jika mereka melihat ‘kejayaan besar’ dalam PRU-14 lalu gagal memenuhi agenda kepenting­an kaum mereka.

Kesimpulannya, sama ada se­suatu gerakan itu menjadi radikal atau tidak, ia bergantung kepada tingkah laku semua pihak tidak kira apa kaum sekalipun. Sebab itulah perasaan hormat menghormati dan toleransi amat penting dalam usaha kita memastikan negara tidak terancam.