Saya pun sebelum ini dalam kebuntuan sama ada wajar atau tidak mengambil VSS kerana baru saja dipinjamkan ke Mingguan Malaysia pada 16 April lalu setelah memegang jawatan sama di Utusan Malaysia.

Lagi pula Mingguan Malaysia baru saja berubah bentuk dari bersaiz broadsheet kepada tabloid pada September lalu selain berusaha membantu Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dan pasukan diketuai oleh Editor Badrul Azhar Abdul Rahman dan Penolong Editor, Azman Anuar untuk memastikan Mingguan Malaysia tetap menjadi akhbar nombor satu di negara ini.

Selama tempoh hampir 28 tahun bersama akhbar keramat ini, saya bersyukur kerana berkhidmat di bawah lima Ketua Pengarang yang hebat iaitu Tan Sri Zainuddin Maidin atau Zam, Tan Sri Johan Jaaffar, Datuk Khalid Mohd, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang juga menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarang Kumpulan.

Mengimbas kembali, kerjaya saya di Utusan Malaysia bermula pada Disember 1990 di bawah Skim Latihan Wartawan dengan elaun RM500.

Walaupun jumlah elaun tak seberapa, alhamdullilah dapatlah bernafas sikit kerana sebelum itu gaji saya hanya kira-kira RM450 semasa bekerja selama setahun sebagai wartawan di Dewan Pustaka Islam. Setelah tiga bulan menjalani skim latihan tersebut, saya dan 17 rakan lain diserap ke jawatan Wartawan Kadet.

Antara wartawan seangkatan adalah Datuk Zulkifli Hamzah (kini Pengarang Utusan Malaysia), Datuk Baharom Mahusin (Editor Kosmo! yang turut ambil VSS), Rozaman Ismail (kini Penolong Pengarang Mingguan Malaysia) dan Lokman Ismail (kini Pengarang Kosmo!). Gaji pun dah naik RM925. Tidaklah lagi kerap makan mi segera dan kentang rebus untuk hidup di ibu kota.

Sebenarnya untuk melepasi Skim Latihan Wartawan dan penilaian Wartawan Kadet, bukan satu proses mudah kerana jika tidak mencapai standard ditetapkan majikan, pelatih boleh tersingkir awal. Selepas setahun tiga bulan, barulah saya disahkan ke jawatan Wartawan.

Dengan jawatan yang disahkan itu, saya ditugaskan di Meja Jenayah, salah satu meja yang boleh membuatkan wartawan ‘pendek umur.’ Apa tidaknya, jika katalah akhbar-akhbar pesaing menyiarkan berita besar atau eksklusif di muka depan akhbar mereka, memang haru-biru hidup pada hari itu dan terpaksalah memanjatkan doa kepada Tuhan agar melembutkan hati bos-bos untuk tidak mengeluarkan memo.

Kebetulan pada era saya di Meja Jenayah, berita-berita jenayah selalu menghiasi muka depan akhbar-akhbar dan berlaku apa yang dikatakan `perang hebat’ antara `meja jenayah’ akhbar-akhbar pesaing.

Saya berkhidmat di bawah Zam tidak lama kerana Johan kemudian menggantikannya pada penghujung tahun 1992.

Pada masa Johan, saya pun agak terkejut kerana tidak lama kemudian, saya dinaikkan pangkat pada tahun 1993 sebagai Ketua Pemberita yang mengetuai Meja Jenayah. Dua minggu selepas dinaikkan pangkat, saya berjumpa Johan untuk melantik wartawan lebih senior ke jawatan itu tapi permintaan saya ditolak.

Antara kes besar yang berlaku di era saya ialah kes pembunuhan melibatkan Mona Fandey, penjenayah ganas Kalimuthu, bangunan Highland Tower di Hulu Klang tumbang dan kilang bunga api di Sungai Buloh meletup mengorbankan puluhan nyawa.

Dalam kes Mona Fandey, misalnya saya diarah untuk memastikan setiap hari ‘selama sebulan,’ mesti mendapatkan berita besar untuk disiarkan di muka depan Utusan dan Mingguan Malaysia.

Alhamdullilah berkat solat hajat dan doa, setiap hari selama sebulan, ada saja maklumat menarik yang saya terima sehingga Utusan dan Mingguan Malaysia mendapat berita besar untuk muka depannya.

Peristiwa penting lain yang pernah saya lalui adalah menyaksikan gerakan reformasi menggulingkan Presiden Suharto semasa bertugas sebagai Wakil Luar Negeri Utusan di Jakarta pada tahun 1996 hingga 1999 dan membuat liputan perang selama dua bulan di Pakistan dan Afghanistan pada tahun 2001.

Semasa liputan perang di Afghanistan itulah, nyawa saya hampir melayang di muncung senjata AK47 penyokong Taliban hanya kerana merakamkan gambar 20 pemuda sedang solat di atas padang.

Saya mohon maaf kepada Ketua Pengarang ketika itu, Khalid Mohd. kerana membuat keputusan sendiri menceroboh masuk ke Afghanistan tanpa memaklumkan kepada beliau selain melanggar arahan Kementerian Dalam Negeri Pakistan dan Duta Taliban di Peshawar yang melarang wartawan asing memasuki Afghanistan atas faktor keselamatan.

Trauma akibat peristiwa hitam itu menghantui diri agak lama sehingga saya terasa terkilan kerana hanya menundukkan kepala di bilik mesyuarat apabila Ketua Pengarang seterusnya, Aziz Ishak menyebut nama saya untuk liputan perang di Palestin pada tahun 2008.

Sepanjang bekerja di Utusan, ada juga perkara yang tidak dijangka berlaku. Contohnya ada satu hari tidak lama sekembalinya saya bertugas di ibu pejabat dari Jakarta, saya menerima panggilan telefon daripada Menteri Pembangunan Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang menawarkan jawatan Setiausaha Akhbar. Saya terpaksa menolak dengan baik kerana bukan wartawan politik.

Satu lagi yang pelik, pada tahun sama, ada pihak memujuk saya untuk menjadi calon UMNO bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seputeh, Kedah. Tawaran itu pun terpaksa saya tolak kerana public speaking memang hancur selain banyak hutang.

Segala yang bermula tentu ada akhirnya. Setelah hampir 28 tahun bersama Utusan, saya terpaksa akur dengan situasi semasa untuk sama-sama staf lain mengundur diri.

Daripada risik-risik dalam kalangan staf yang mengambil VSS, ada yang berhasrat membuka kedai makan, berniaga secara online dan ada juga yang mahu jadi blogger dalam media sosial.

Kehadiran ramai blogger dalam kalangan ratusan bekas wartawan Utusan mungkin akan merancakkan suasana dalam media sosial menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Bagi kakitangan Utusan yang tidak mengambil VSS pula, kalian perlu perkukuhkan perjuangan untuk memastikan Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo! tetap relevan dalam kalangan rakyat negara ini. Insya-Allah.