Itu dipesan sangat mak ayah abang hensem walaupun tak pernah lekat pun dalam kepala kerana tiga serangkai sekelas memang sudah complete pun - abang hensem, James Heng Aik San dan Saravanan.

Area PJ atau Petaling Jaya yang abang hensem mulakan sekolah rendah di Road Ten (Jalan 10) 1977-82, pelajarnya bercampur semua kaum. Kami ada David Meow yang gemar bawa satu alat video yang jika diteropong di dalamnya ada wayang pendek Disney.

Dia tak kedekut kongsi dengan abang hensem dalam Darjah 6 Merah. Kami juga ada Suresh setinggi 5 kaki 6 inci yang ‘sedia bertugas’ setiap kali papan hitam sarat bertulisan kapur bila Cikgu BM, Cik Yati keluar kelas berganti Cikgu bahasa Inggeris, Mrs. Tan.

Sonny Yow pula yang agak berisi tinggal di belakang IKM PJ waktu itu (kini lenyap dah) suka berkongsi Coca Cola botol dengan Leman, Khirwadi dan Wak. Ada tiga straw disediakan Sonny dan dipastikan tiga orang itu sedut dulu selepas dibuka penutup botol.

Pernah abang hensem tanya Sonny, apasal dia tak sedut dulu. Kata Sonny, dia takut ‘tak halal’ nanti. Abang hensem ketawa kosong, ‘ya, ya, ya’.

Cikgu-cikgu di Road Ten seingat abang hensem rata-rata memang complete juga - ada Cikgu Suppaya, Mrs. Yip, Mr. Pang, Cikgu Subra, Cikgu Rashid dan satu dua nama lagi.

Ada banyak ketika timbul rasa cemburu kami kerana Cikgu Rashid gemar melayan Goh Seng Teik dan Mark Lim Cheng Juan selepas habis kelas.

“Kamu semua patut contohi Goh dan Mark yang sampai kejar saya ke bilik guru tanya Ilmu Hisab yang mereka tak faham,” begitu nasihat Cikgu Rashid yang masih tergiang-giang di kepala abang hensem.

Itu sekolah rendah ya. Bila abang hensem bertukar ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seaport 1983-1986 (sekarang namanya SMK Sri Permata) lagi complete semua kaum di situ.

Melissa Ho, Puspawathi, Seelan, Chin Mun, Hasmynor, Hafizal, Sabbaruddin - mereka semua pasti ada di padang sama ada menyaksikan atau bermain bola peringkat sekolah.

Abang hensem tak pasti suasana sekolah kebangsaan hari ini, ada tak hinggapkan kenangan terindah abang hensem semua itu.

Tapi kan, abang hensem cukup percaya sekolahlah titik mulanya untuk mengukuh perpaduan semua kaum.

Memetik pandangan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang berharap kerajaan wajibkan rakyat Malaysia ikuti pendidikan enam tahun pertama di sekolah kebangsaan, abang hensem yakin jika dipraktikkan pasti akan berdikit-dikit jurang antara kaum dikecilkan.

Anak-anak bagaikan kain putih. Tiada perkauman antara mereka. Waktu itu umur yang ada hanyalah kemanusiaan yang lahir daripada fitrah keinsanan.

Bagi abang hensem, kasih sayang suatu peninggalan. Biar ia bersinar dalam diri, mencari kita.

Tak begitu akak cute, yang pasti negeri kelahirannya Kelantan molek-molek belaka, dengan orang Tionghua bila keluar loghat Kelatenya...begitu bisa sekali.