Semua kategori calon pilihan raya ini digarap dan dikumpul menerusi pengalaman, pengamatan dan pembacaan sekian lama berkhidmat sebagai warga Utusan Malaysia serta hasil randau bersama penganalisis politik, Abdul Jalil Backer.

Namun, untuk kesekian kalinya juga, saya ingin memberi jaminan bahawa Merrepak tidak menyentuh secara spesifik mana-mana parti, melainkan secara kiasan dan perlambangan semata-mata. Paling penting, Merrepak tetap mengekalkan ciri-ciri abadinya iaitu santai dan salai.

Berikut adalah kategori calon pilihan raya, mengikut metodologi Merrepak:

1. Calon Profesional

Bermaksud orang yang bukan ahli politik sepenuh masa tetapi merupakan profesional dalam bidang masing-masing, yang kemudiannya dinilai dari segi keupayaannya membawa kejayaan korporat atau pentadbiran, dan dijangka boleh memimpin parti ke arah serupa.

RISIKO: Tiada sokongan menyeluruh di peringkat akar umbi tetapi boleh menjana sokongan, cuma kena ambil masa. Sesetengah keputusan mungkin menjadi kemarahan kerana mirip kepada keputusan korporat. Jadi kena dapatkan nasihat dan pandangan daripada akar umbi juga.

2. Calon Bebas

Ada pelbagai sebab seseorang bertanding Bebas iaitu tidak mendapat restu daripada parti asal atau dipecat atau parti baharu pun enggan menerima. Jadi kena lawan secara sendirian berhad. Ada juga apabila seseorang itu diletakkan sebagai calon kerana sekian lama bergerak atas nama pertubuhan bebas atau NGO.

RISIKO: Tanpa sokongan mana-mana pihak, bermakna diri sendiri kena sediakan deposit pertandingan yang besar. Jadi, kalau undi terlalu kecil memang hangus wang pertaruhan.

3. Calon Kebas

Istilah ini tidak disebut secara terang-terangan kerana ia bermaksud 'rampas’ orang lain punya mandat. Istilah ini biasanya dibicarakan oleh calon yang jadi mangsa iaitu individu yang telah dijangka dinamakan sebagai calon tetapi pada hari penamaan mendapati orang lain telah 'kebas’.

RISIKO: Mungkin berlaku sabotaj daripada dalaman sebagai membalas dendam. Atau bila menang, tidak akan harmoni dengan perbalahan demi perbalahan tercetus setiap bulan. Contoh? Banyak.

4. Calon Sendiri

Ada mirip Calon Bebas tetapi dia dalam kategori tersendiri dan teristimewa kerana bergerak biasanya secara solo tanpa berpaksi kepada mana-mana parti dan tidak mengisytiharkan sokongan apa-apa kepada parti. Contoh ialah penulis Dare To Failed, Billi P. S. Lim yang bertanding di kerusi Parlimen Bukit Bintang pada 1999 dan 2004. Ramai melihat penyertaannya tidak lebih sebagai gimik kepada pemasaran bukunya. Buku Berani Untuk Gagal versi Bahasa Malaysia dilaporkan cukup laris ketika itu.

RISIKO: Hendak kata orang seperti Billi itu terpencil, tidak boleh juga. Dari semasa ke semasa ada sahaja individu yang masuk gelanggang disebabkan tidak suka mana-mana parti. Semua tidak sebulu. Tubuh parti sendiri, tidak juga ke mana.

5. Calon Bidan Terjun

Ada pelbagai definisi untuk menghuraikan istilah ini tetapi yang paling popular ialah bila pucuk pimpinan parti gagal menyelesaikan kemelut dalaman di sesuatu bahagian (kerana tidak mahu mengalah), lalu dipilih orang lain sebagai calon, untuk menjadi penyelesaian kepada pertikaian setempat.

Orang bidan terjun ini biasanya, bukan ahli politik pun. Tetapi dikira dapat diterima oleh pihak yang berebut sebagai kompromi.

RISIKO: Sentiasa kena cermat dan berhati-hati dalam melaksanakan tugasnya. Ini kerana musuh politik bukan satu tapi kedua-dua pihak bertelagah yang sentiasa mencari kesilapannya bagi mengumpul bukti pilihan bidan terjun itu salah sama sekali.

6. Calon Payung Terjun

Istilah ini dibenci kebanyakan ahli politik kerana mereka sebagai orang tempatan telah memberi khidmat bakti kepada masyarakat setempat sekian lama. Tiba masa pilihan raya, jasa bakti mereka tidak dinilai dan orang lain pula diisytiharkan sebagai calon. Samalah ibarat orang lain semai padi, gagak pula yang meraih hasilnya.

RISIKO: Sama seperti risiko calon bidan terjun, jika berlaku perubahan pucuk pimpinan, kedudukannya pun akan berubah sebab dia dipilih jadi payung terjun oleh pucuk pimpinan lama.

7. Calon Selebriti

Kebanyakannya bertaraf artis senja kala, yang semasa muda tidak minat berpolitik tetapi setelah mendapati makin kurang menerima undangan menyanyi atau berlakon, mula menyalahkan orang lain dan mendapati menjadi penceramah di pentas politik pun tidak kurang mewah berbanding pentas nyanyian. Oleh sebab yakin orang ramai datang semata-mata kerana populariti diri, maka pucuk pimpinan parti yakin untuk menjadikannya calon bertanding.

RISIKO: Pucuk pimpinan bukan memilih golongan ini berdasarkan undi SMS. Mereka pun arif. Artis hendak lawan ahli politik sejati? Tipis peluang. Jadi mereka letakkan selebriti di kerusi-kerusi yang mereka sendiri tahu, susah nak menang. Kalah tidak mengapa, menang itu bonus.

8. Calon Langkah

Anda kena tambah nama tempat di belakang 'Langkah...’. Misalnya, jika berlaku di Parit, ia menjadi 'Langkah Parit’. (Ini contoh sahaja. Tiada kejadian langkah melangkah di Parit).

Mengikut sejarah, makna calon 'langkah' ini ialah seseorang penyandang kerusi, meletak jawatan di pertengahan penggal dengan tujuan memberi peluang kepada orang lain bertanding di situ. Ini dengan keyakinan pengundi asal akan turut mengundi orang yang baru melangkah itu.

Tetapi sejarah juga mencatatkan aktiviti langkah melangkah ini berakhir dengan 'langkah sumbang’ atau lebih menyedihkan 'langkah terbantut’ kerana walaupun orang baru itu menang tetapi tidak dapat meraih jawatan yang diidamkan.

RISIKO: Pasti menjadi kes kajian pelajar sains politik di mana-mana universiti kerana keunikan kes itu dan penamatnya yang cukup aneh.