Soalan daripada AP Vikram Nair umpamanya begitu mencuri perhatian kerana beliau ingin mengetahui tindakan selanjutnya yang akan diambil oleh Singapura sekiranya terdapat pencerobohan lanjut ke dalam perairan dan ruang udara dari Malaysia. Bentuk soalan yang dianggap lazim tetapi jika diteliti ia mengandungi perkara yang agak mengelirukan jika dikaitkan dengan ungkapan pencerobohan yang digunakan oleh Nair.

Pencerobohan perairan yang dimaksudkan oleh soalan tersebut agak pasti berkait dengan isu rombongan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian tetapi yang menjadi tanda tanya apakah yang dimaksudkan oleh beliau berkenaan pencerobohan ruang udara oleh Malaysia? Jika hendak dikaitkan dengan bantahan penggunaan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) di Lapangan Terbang Seletar atau pengisytiharaan kawasan larangan kekal di ruang udara Pasir Gudang oleh Malaysia, maka sukar untuk difahami mengapa ungkapan pencerobohan ruang udara pula digunakan.

Tetapi penjelasan Balakrishnan yang menegaskan bagaimana Singapura terpaksa bertindak ekoran pencerobohan Menteri Besar Johor itu dianggap begitu dramatik sekali seolah-olah cuba menggambarkan pemimpin tertinggi negeri yang bersempadan dengan Singapura itu telah mencabar kedaulatan dan keselamatan republik tersebut walhal ‘pencerobohan’ tersebut berlaku dalam had sempadan pentadbiran pelabuhan Johor Bahru.

Beliau menegaskan lagi, tindakan menunda mesyuarat Jawatankuasa Menteri Bersama bagi Iskandar Malaysia (JMCIM) yang dijadualkan berlangsung pada Isnin lalu adalah sebagai isyarat kepada Malaysia supaya jangan ambil ringan terhadap dasar luar Singapura yang sentiasa konsisten.

“Garis merah bukanlah sesuatu yang patut diambil ringan dan diumumkan secara terbuka tanpa memikirkan dengan teliti semua akibatnya dan tanpa memberi pertimbangan jelas kepada pihak lain yang terlibat dalam rundingan itu,” tegas Balakrishnan lagi.

Apabila kerajaan Malaysia pada Disember lalu membuat keputusan untuk tidak membenarkan syarikat penerbangan Firefly mengguna lapangan terbang Seletar itu adalah keputusan strategik sebagai bantahan terhadap penggunaan ILS. Begitu jua lawatan Osman ke atas kapal Jabatan Laut Malaysia, MV Pedoman yang menjadi sumber tuduhan pencerobohan adalah tindakan strategik Malaysia untuk mempertahan had sempadan maritim yang bersempadan dengan Singapura.

Tidak diketahui samada kedua-dua tindakan strategik Malaysia tersebut dianggap sebagai garis merah tetapi apa yang jelas ialah keputusan unilateral Singapura untuk menunda mesyuarat JMCIM diambil selepas beliau dan rakan sejawat, Datuk Saifuddin Abdullah bersetuju untuk menangguh penggunaan ILS bagi pihak Singapura dan kawasan larangan kekal untuk Malaysia. Keputusan yang dicapai secara bilateral pada 6 Januari lalu berkuat kuasa selama sebulan sementara menunggu perbincangan di antara Menteri Pengangkutan kedua-dua negara.

Menariknya apabila menjawab soalan daripada AP Pritam Singh mengenai keikhlasan Malaysia dalam menyelesaikan kemelut, Balakrishnan menjelaskan, kedua-dua pemimpin yang beliau temui sebelum ini iaitu Saifuddin dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali adalah ikhlas, membina dan suka membantu.

Tetapi dalam nada yang sama beliau menaruh harapan tata cara kedua-dua menteri Malaysia itu mencerminkan pendapat masyarakat umum di Malaysia kerana menurut Balakrishnan lagi, Saifuddin dan Mohamed Azmin memahami bahawa kepentingan jangka panjang kedua-dua negara dapat dijamin menerusi jalinan kerjasama, menyelesaikan perbezaan dan memperluaskan bidang kerjasama.