Dalam tempoh ini juga, banyak wang perlu dibelanjakan. Bagi yang mempunyai anak-anak kecil, belanja persekolahan mereka tidaklah begitu banyak.

Perbelanjaan persekolahan anak-anak semakin tinggi seiring peningkatan umur mereka. Belanja untuk anak-anak yang dihantar ke taska atau tadika tidak sama dengan anak-anak yang belajar di sekolah rendah.

Begitu juga, anak-anak yang sudah berada di bangku sekolah menengah, perbelanjaan buat mereka tidak sama bagi anak-anak yang belajar di sekolah rendah.

Perbelanjaan semakin tinggi apabila mereka berada di menara gading. Waktu ini barulah kita sendiri dapat merasai bagaimana payahnya ibu bapa kita dahulunya menyediakan kelengkapan persekolahan kita.

Perbelanjaan yang semakin tinggi memerlukan komitmen ibu bapa untuk mendapatkan sumber kewangan mencukupi. Pada penghujung dan awal tahun inilah, walau apa cara pun, wang yang mencukupi amat penting untuk memastikan anak-anak dapat belajar dengan selesa.

Namun, bukan semua mampu menyediakan sumber kewangan mencukupi. Ramai yang terpaksa meminjam daripada pelbagai sumber.

Sama ada melalui keluarga, kawan-kawan ataupun daripada institusi kewangan. Lebih-lebih lagi, dengan kos sara hidup yang cukup tinggi pada masa kini, setiap sen yang dikeluarkan sememangnya cukup penting.

Jadi, jika wang tidak mencukupi untuk perbelanjaan di penghujung dan awal tahun, maka mahu tidak mahu terpaksalah meminjam daripada pelbagai pihak.

Lebih ramai anak, maka lebih banyaklah wang diperlukan untuk memastikan mereka dapat belajar dengan selesa. Penulis sendiri melihat bagaimana sahabat-sahabat yang memiliki anak-anak yang belajar di menara gading perlu memiliki wang mencukupi.

Bagi penulis yang belum mempunyai anak belajar di menara gading, pengamatan ini memberi satu peringatan buat diri sendiri untuk menyediakan sumber kewangan mencukupi untuk anak-anak yang masih kecil lagi.

Menurut beberapa sahabat penulis, perbelanjaan untuk anak-anak yang belajar di menara gading melibatkan jumlah cukup besar.

Ini terutamanya jika mereka tidak mendapat sebarang biasiswa atau pinjaman pelajaran. Ia menjangkau puluhan ribu ringgit sehingga tamat belajar di menara gading.

Bayangkan jika mereka yang memiliki anak ramai belajar di menara gading, maka peruntukan besar untuk perbelanjaan pelajaran anak mengatasi perbelanjaan lain.

Ini belum termasuk perbelanjaan seperti ansuran bulanan rumah dan kereta, belanja utiliti dan cukai-cukai yang perlu dibayar pada awal tahun.

Dalam hal ini, kemampanan kewangan peribadi amatlah penting. Kita boleh mengambil pengajaran bagaimana ibu bapa kita mampu menghadapinya.

Begitu juga, kita wajar mengambil iktibar bagaimana sahabat-sahabat yang lain mengurus cabaran kewangan ini dalam pelbagai cara dalam era segala-galanya mahal dan perlu dibayar. Namun, itulah hakikat yang perlu kita terima.

Sebagaimana hakikat ibu bapa kita suatu ketika dahulu sedaya upaya mahu memastikan kita mendapat pendidikan terbaik sehingga ke menara gading.

Secara sedar atau tidak, demi keluarga, mereka sebenarnya berjaya mengurus kewangan peribadi dengan mampan.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Profesor Madya di Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).