Pada 2013, akhbar Kosmo! pernah melaporkan bahawa nilai hantaran seorang wanita berkelulusan Ijazah Sarjana Muda boleh mencecah sehingga RM50,000. Jumlah wang hantaran bagi mereka yang mempunyai kelulusan Doktor Falsafah (PhD) adalah antara RM20,000 hingga RM30,000, Ijazah Sarjana antara RM15,000 hingga RM20,000, Ijazah Sarjana Muda RM12,000 hingga RM15,000, Diploma dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) antara RM8,000 hingga RM12,000, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), RM4,000 hingga RM8,000 dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) ke bawah adalah RM2,000 hingga RM4,000.

Persoalannya, adakah nilai hantaran yang ditentukan ini setara dengan nilai kemahiran, ilmu dan sikap wanita yang bakal dikahwini kelak? Adakah nilai hantaran ini telah mengambil kira semua kemahiran seperti memasak, mengemas rumah, menjaga anak, melayani orang tua dan suami dan kemahiran-kemahiran lain? Adakah nilai ini telah mengambil kira semua kos penjagaan wanita tersebut daripada kecil sehingga dewasa termasuk kos mengendalikan majlis perkahwinan tersebut?

Nilai RM20,000 hingga RM30,000 mungkin kecil bagi sebilangan orang tetapi ia sangat tinggi kepada sebahagian kita terutama golongan lelaki yang baru bekerja. Bayangkan jika seorang graduan lelaki yang tamat dengan Ijazah Sarjana Muda bekerja dengan gaji bersih termasuk elaun sebanyak RM2,500 dan merancang untuk berkahwin dengan teman sekampusnya. Berapa ringgit sebulan yang perlu disimpan oleh lelaki tersebut dalam tempoh setahun jika hantarannya RM15,000?

Sebanyak RM1,250 sebulan perlu disimpan dan baki sebanyak RM1,250 pula digunakan untuk pembayaran pinjaman pendidikan, pinjaman kereta atau motosikal, duit rumah sewa dan belanja-belanja lain. Ini tidak termasuk lagi kos membeli kelengkapan dulang hantaran, kos kenduri di pihak lelaki, kos pengangkutan dan kos-kos lain yang berkaitan. Itu senario yang melibatkan lelaki yang berkelulusan sama, bagaimana jika lelaki tersebut hanya lulusan diploma atau sekolah menengah dengan gaji bulanan yang kurang daripada RM2,000?

Nilai hantaran yang tinggi ini boleh mengakibatkan golongan lelaki yang baru bekerja untuk membuat pinjaman peribadi. Justeru, tidak mustahil satu pertiga daripada sejumlah 85,338 individu yang diisytihar muflis semenjak 2013 hingga 2017 melibatkan golongan muda berusia bawah 34 tahun. Keghairahan mempamerkan kemewahan maj­lis perkahwinan di media sosial dengan pelbagai tema dan konsep mungkin menjadi antara faktor penyumbang kepada peningkatan wang hantaran. Tidak dapat disangkal kos bagi menguruskan majlis perkahwinan bukanlah sedikit, namun perkara ini boleh dielakkan jika kedua-dua belah pihak bersetuju untuk membuat majlis secara ala kadar sahaja.

Ibu bapa berperanan pen­ting dalam hal ini. Kos perkahwinan anak perempuan bukan beban kepada bakal suami semata-mata. Perbincangan antara kedua-dua pihak amatlah perlu bagi menetapkan jumlah hantaran yang mampu diberikan oleh bakal menantu mereka. Jika kos mengendalikan majlis sangat tinggi ia perlu diperhalusi dengan mengurangkan belanja-belanja yang tidak penting. Keghairahan meniru cara orang lain mengendalikan majlis perkahwinan juga perlu dibendung. Biarlah kita mengukur baju di badan sendiri dan membuat majlis berdasarkan kemampuan diri, malah tidak salah sekiranya wang hantaran ini dikongsi bersama.

Remaja yang merancang untuk mendirikan rumahtangga boleh merujuk perkongsian yang terdapat di media sosial seperti cara mengendalikan majlis dengan bajet serendah RM3,000 hingga RM6,000. Ada juga pasangan yang berkongsi cara-cara mendapatkan barang-barang hantaran serta bajet makan yang rendah bagi membantu golongan muda melaksanakan majlis mereka. Banyak sebenarnya cara untuk mengurangkan kos majlis yang dikongsi netizen.

Majlis perkahwinan yang sederhana dan tidak berlebihan adalah amat dituntut dalam agama. Bagi pasangan yang baru berkahwin, wang simpanan diperlukan bagi kehidupan selepas perkahwinan untuk menyewa rumah, membeli kelengkapan rumah, belanja harian dan sebagainya.

Nilai wang hantaran yang tinggi ini bukan jaminan mengekalkan keharmonian rumah tangga, malah ia bukan petunjuk bahawa seorang wanita itu akan menjadi isteri yang solehah. Ia juga bukan cerminan kemampuan sebenar bakal suami. Bagi bakal isteri lengkapilah diri kita dengan ilmu rumahtangga manakala bagi bakal suami dalamilah ilmu sebagai pemimpin dan ketua keluarga.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan/Koordinator Insitut Pendidikan NEO (iNED), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Pasir Gudang, Johor.