Tidak memeranjatkan apabila Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan oleh Dr. Mahathir pada 1982 diberi nafas baharu yang tidak hanya terikat dengan hal perdagangan semata-mata tetapi me­rangkumi pelbagai sektor seperti pendidikan dan juga perpindahan teknologi kemajuan tinggi.

Begitu jua dalam temu bual dengan Nikkei, Dr. Mahathir turut menyarankan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang disertai 11 negara termasuk Malaysia dikaji semula kerana pada pendapat beliau perjanjian tersebut tidak adil bagi negara ekonomi kecil seperti Malaysia.

Tidak diketahui sama ada ke­nyataan tersebut memberi ba­yangan Malaysia akan menarik diri dari CPTPP atau pun kekal tetapi dalam waktu sama Dr. Mahathir menegaskan konsep Kaukus Ekonomi Asia Timur (EAEC) yang juga diperkenalkan oleh beliau pada 1997 dihidupkan kembali demi memberi peluang negara kecil bersaing dalam era perdagangan bebas ketika ini.

Menariknya ialah EAEC gagal pada ketika itu kerana tentangan dari Amerika Syarikat (AS) sementara TPP gagal sehingga dirunding semula menjadi CPTPP kerana tentangan AS juga. Sudah pasti Tokyo sedang menilai pendirian Malaysia kerana Jepun adalah penggerak utama CPTPP.

Tetapi pengumuman mengenai projek kereta nasional baharu bagi menggantikan Proton yang menurut Dr. Mahathir bukan lagi kereta nasional kerana sebahagian besar saham dimiliki oleh syarikat Geely dari China me­nerima respons yang agak meluas.

“Aspirasi kita sekarang adalah untuk memulakan sebuah lagi projek kereta nasional, mungkin dengan kerjasama negara serantau,” tegas Dr. Mahathir ketika mengumumkan hasrat beliau tersebut yang rata-rata mendapat reaksi ketara rakyat Malaysia.

Sememangnya tidak dapat dinafikan pengumuman mengenai Dasar Pandang ke Timur, EAEC dan kereta nasional tidak begitu mengejutkan kerana kesemua perkara tersebut adalah idea asal Dr. Mahathir dan peluang untuk menghidupkan semula terbuka luas dengan beliau sebagai Perdana Menteri dan juga ia berkait rapat dengan faktor Jepun itu sendiri.

Tetapi kenyataan yang berkait dengan Laut China Selatan paling mendapat perhatian penganalisis tempatan dan luar negara kerana ia melibatkan perairan sensitif dan juga dua kuasa besar iaitu AS dan China. Dr. Mahathir menegaskan, Malaysia tidak mahu kapal perang asing berada di perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka kerana kehadiran kapal perang tersebut akan memberi berbagai interpretasi dan reaksi kepada pihak yang berkepentingan.

Menarik juga apabila Dr. Mahathir menyentuh mengenai isu Kerangka Kod Tata Laku (CoC) Laut China Selatan yang bakal dijadikan asas perundangan bagi mengawal selia perairan tersebut.

“Kita akan mengkaji semula Kerangka Kod Tata Laku (CoC) di Laut China Selatan yang sedang dirunding antara China dan negara ASEAN bagi menangani isu di perairan berkenaan,” tegas beliau apabila menyentuh perkara tersebut. Kerangka tersebut telah dipersetujui oleh ASEAN dan China pada Ogos tahun lalu dan rundingan pertama telah pun bermula November ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 di Manila, Filipina.

Isu kehadiran kapal perang a­sing dan CoC berkait antara satu sama lain. Cuma, bezanya China yang terlibat dengan kedua-dua perkara tetapi berbeza dengan AS yang tidak berkait dengan CoC kerana asasnya AS tidak terlibat secara langsung dalam kes tuntutan bertindih.

Isyarat yang dikeluarkan oleh Kuala Lumpur melalui kenya­taan Perdana Menteri mengenai kapal perang asing adalah begitu signifikan kerana pada ketika ini si­tuasi kehadiran kapal perang asing terutama sekali di Laut China Selatan bagaikan tidak boleh dikawal lagi. Seperti mana keha­diran kapal perang AS di Laut Ku­ning menimbulkan ketegangan di Semenanjung Korea, perkara yang serupa juga berlaku di se­belah sini dan di sinilah terletak kebimbangan Dr. Mahathir.

Ketika ini China begitu agresif melakukan penambakan beberapa terumbu di Kepulauan Spratly dan Paracel sehingga terbentuk entiti pulau. Kesannya, China sudah mempunyai landasan kapal terbang di tengah-tengah Laut China Selatan dan beberapa aset pertahanan canggih juga ditempatkan di terumbu yang telah ditambak itu.

China mendakwa terumbu yang ditambak mempunyai kedaulatan 12 batu nautika dan ini bertentangan dengan asas perundangan maritim antarabangsa yang juga diguna pakai dalam CoC yang hanya mengiktiraf kedaulatan 50 meter sahaja. Dilemanya sekarang adalah kehadiran kapal perang asing yang bukan sahaja dari AS, tetapi juga Australia, Perancis dan United Kingdom adalah untuk mencabar dakwaan kedaulatan 12 batu nautika oleh China yang dianggap tidak sah.

Begitu jua dengan kenyataan untuk mengkaji semula kerangka CoC walaupun telah dipersetujui sebelum ini oleh pihak yang terlibat menimbulkan tanda tanya, apakah pendirian Kuala Lumpur ini bakal membantutkan rundingan CoC yang sepatutnya bermula dari 2002 lagi.

Bagaimanapun, kenyataan Dr. Mahathir di Tokyo terutama sekali mengenai Laut China Selatan dan Selat Melaka bakal membawa era dasar luar yang lebih menarik bagi Malaysia kerana kedua-dua laluan perairan ini bukan sahaja sibuk dengan kapal dagang tetapi kritikal dalam percaturan geopolitik global.