Beliau yang juga Ketua Pemerintah Angkatan Tentera Iraq telah memasuki Mosul sambil menyampaikan ucapan tahniah kepada pejuang-pejuangnya dan menganggap ia merupakan kemenangan rakyat negara itu. Tidak kurang penting ialah laporan yang menyatakan bahawa pemimpin Daesh, Abu Bakr Al-Baghdadi telah terbunuh bukan di Mosul tetapi di Syria timur.

Maklumat kematian Baghdadi disahkan oleh Pemerhati Syria bagi Hak Asasi Manusia yang mempunyai sumber tersendiri. Namun Kementerian Pertahanan Rusia menyatakan kemungkinan Baghdadi terbunuh dalam serangan bom yang dijatuhkan oleh jet mereka ke atas sasaran Daesh di Raqqa, Syria. Bagaimanapun Washington dan saluran berita rasmi Daesh tidak memberi sebarang pengesahan.

Perang menghapuskan Daesh bagaimanapun masih jauh lagi daripada penyelesaian. Raqqa yang dianggap pusat pemerintahan Daesh di Syria masih belum sepenuhnya ditawan semula walaupun sedang dikepung ketat.

Banyak lagi kawasan di Iraq dan Syria masih dikuasai oleh Daesh. Sementara kumpulan-kumpulan yang berkait Daesh masih aktif di Afghanistan, Yemen, Libya, Somalia, Mali dan Nigeria. Sementara di Filipina, kota Marawi yang ditawan oleh kumpulan berkait Daesh masih belum dapat diambil semula.

Walaupun kawasan-kawasan yang berada dalam penguasaan Daesh di Iraq dan Syria semakin mengecil merupakan suatu kejayaan besar tetapi perkembangan ekoran daripada itu menyebabkan para anggotanya akan beredar ke tempat lain atau pulang ke negara asal mereka.

Maka negara-negara lain termasuk Malaysia akan terancam dengan perkembangan ini. Maknanya perang menentang Daesh belum berakhir dengan kejatuhan Mosul.

Namun begitu, tumbangnya Mo­sul untuk kembali ke dalam pe­merintahan Iraq membuka harapan supaya satu kebangkitan baharu Islam sebenar, bebas daripada keganasan dan kekejaman akan berlaku. Apa yang dilakukan oleh Daesh bukan saja memburukkan lagi nama agama itu tetapi telah mendatangkan keseng­saraan dan penderitaan pada ramai orang.

Penduduk Mosul, seperti mana Raqqa dan wilayah-wilayah di ba­wah Daesh tidak dapat hidup se­lesa. Atas nama Islam, dengan mengisy­tiharkan penubuhan kekhalifahan di Mosul, Daesh telah melaksanakan pemerintahan yang tidak mencer­minkan nilai-nilai Islam itu sendiri. Pembunuhan, penderaan dan paksaan berlaku hinggakan berlaku kematian, penderitaan dan ketakutan di kalangan penduduk awam.


Ruang keadilan

Adakah ini Islam? Sedangkan Is-­
l­­­am seharusnya mendatangkan rah­mat, perdamaian dan keselamatan. Apabila perkara itu tidak timbul dalam pemerintahan, maka ia bukanlah ama­lan Islam sebenar, dan kekhalifahan Daesh itu adalah jelas palsu.

Kejayaan menawan Mosul adalah kerjasama dalam kalangan rakyat Iraq yang terdiri daripada pelbagai golongan dan kepercayaan. Golongan-golongan utama ialah orang Syiah, Arab Sunni dan Kurdis. Syiah itu adalah orang Arab juga. Sementara Kurdis juga adalah Sunni. Tetapi Iraq seperti mana semua negara di dunia mempunyai banyak minoriti kecil.

Di Iraq terdapat juga orang Kristian daripada pelbagai mazhab dan juga kaum-kaum lain yang bukan Arab dan Kurdis. Iraq adalah sebuah republik un­tuk semua golongan rakyat. Walaupun golongan Syiah adalah dominan tetapi mereka mesti memberi ruang adil pada semua golongan lain terutamanya Sunni yang bilangannya adalah besar.

Untuk kejayaan Republik Iraq sebagai negara, perpaduan Syiah dan Sunni adalah merupakan keutamaan. Sebab itulah ulama tertinggi Syiah bagi Iraq, Ayatullah Sistani menyeru perpaduan Sunni-Syiah bagi memerangi Daesh.

Perlawanan menentang Daesh bukannya peperangan antara Sunni dan Syiah, tetapi ia merupakan pertarungan antara rakyat Iraq menentang Daesh yang banyak antaranya terdiri daripada militan asing. Ayatullah Sistani mahu mempertahan Iraq. Beliau banyak berperanan memelihara keutuhan republik itu selepas penaklukan Amerika Syarikat dan kejatuhan Saddam Hussein.

Ayatullah Sistani adalah tokoh yang dipatuhi oleh golongan Syiah apabila beliau mengeluarkan arahan supaya turut menyertai pilihan raya bagi membolehkan Iraq pulih dan tentera Amerika mengundurkan diri. Apabila golongan militan Sunni menyerang Syiah, beliau berusaha supaya sebarang pertembungan kedua golongan itu dihentikan.

Sememangnya terdapat pihak-pihak di kedua-dua golongan yang mahu bertembung dan menguasai di antara sama lain. Malah ada pihak yang menyebut tentang Iraq dibahagi tiga iaitu Syiah, Arab Sunni dan Kurdis. Tetapi memecahkan Iraq tidak menyelesaikan masalah, malah memburukkan lagi keadaan.

Tetapi dengan melihat cara Daesh bertindak, ia bukan saja menolak kenegaraan nasional, sama ada Iraq atau Syria. Ia mahu menguasai semua kawasan di dunia. Ia juga menolak kebangsaan, baginya hanya agama. Tetapi ia menolak kepelbagaian agama.

Ia membunuh orang bukan Islam. Tetapi Islam baginya hanya Sunni. Mereka membunuh orang Syiah dan anggota mazhab lain. Tetapi Sunni yang tidak sealirannya juga dibunuh. Daesh dianggap Wahabi daripada aliran Salafi dalam kalangan Sunni.

Tetapi mereka membunuh juga orang al-Qaeda yang berfahaman sama iaitu Wahabi dan Salafi. Akhirnya apa yang Daesh mahukan hanyalah golongan mereka. Tentulah dalam keadaan ini, semua pihak bersatu menentang Daesh.

Daesh tidak mempunyai belas kasihan. Ketika bulan Ramadan mereka terus berperang dengan orang awam menanggung kesusahan. Mereka memusnahkan bangunan-bangunan tanpa menghargai nilai sejarahnya. Malah masjid berusia ratusan tahun di mana ketua mereka mengisytiharkan kekhalifahan di Mosul turut diletupkan sebelum berundur.

Ternyata mereka ini bukan pejuang politik atau agama tetapi suatu gerombolan yang obses pada keganasan dan kemusnahan di atas suatu fahaman mengerikan tetapi didasarkan pada agama Islam. Maka kejayaan pihak berkuasa Iraq menjatuhkan kekhalifahan palsu ini merupakan satu proses bagi membanteras Daesh dan fahamannya.

Umat dan agama Islam perlu dibersihkan daripada Daesh dan kepercayaannya supaya usaha membina tamadun dan peradaban sebenar menurut ajaran Rasulullah SAW dapat digerakkan semula. Kekhalifahan yang didirikan oleh sahabat-sahabat Rasulullah SAW di Madinah selepas baginda wafat yang kemudian dilanjutkan di Kufa, Damsyek, Baghdad, Cordoba dan Istanbul adalah berbentuk penuh adab, ilmu dan kesenian.

Terdapat kebebasan dan kepelbagaian pada zaman keemasan Islam seperti yang terpahat dalam sejarah kekhalifahan Abasiah di Baghdad dan Umayah di Cordoba. Sememangnya terdapat kelemahan pada zaman-zaman itu, tetapi apa yang pasti tidak berlaku pemusnahan seperi di Mosul di bawah Daesh.

Biarlah Daesh dan sealirannya seperti al-Qaeda dan Taliban terbenam dalam sejarah Islam kerana pada zaman moden ini, peradaban dan tamadun mestilah mengambil kira pencapaian manusia dalam sains politik, sains sosial, sains alami dan sains teknologi.