Pada 2014, Peking University menarik balik penganugerahan PhD pelajarnya yang didakwa menciplak artikel yang diterbitkan jurnal berimpak tinggi. Tindakan sama dilakukan PennState The Graduate School apabila membatalkan anugerah PhD bekas pelajarnya atas salah laku penyelidikan pada Mac 2016, manakala Preston University, Islamabad juga bertindak membatalkan PhD pelajar setelah mendapati 72 peratus tesis mereka diciplak.

Beberapa contoh di atas jelas membuktikan kecurangan dalam penyelidikan akademik berlaku di serata dunia. Tentunya integriti akademik atau lebih tepat pengajian pasca ijazah akan dipersoalkan. Justeru, kebanyakan universiti amat serius dalam menangani isu ini termasuklah pembatalan ijazah yang dianugerahkan. Manipal University di India antara yang berjaya membersihkan imej ne­gatif universiti itu.

Kecurangan dalam akade­mik, ditafsirkan sebagai keti­dakjujuran dan perbuatan ne­gatif atau salah laku dalam kajian akademik. Dikatakan sistem pendidikan tertinggi di seluruh dunia berhadapan gejala kecurangan akademik atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai Academic Dishonesty. Lebih teruk lagi sesetengah negara melabelkan kecurangan akademik sebagai Academic Crime atau jenayah akademik.

Malaysia baru-baru ni dikejutkan berita beberapa individu mengijazahkan diri tanpa mengikut saluran penganuge­rahan yang betul. Pemalsuan ijazah ini menjadi penyakit kepada sistem pendidikan tinggi dan agak sukar dibendung memandangkan mereka terlibat bukan berada dalam sistem pendidikan. Malangnya tiada undang-undang dapat menyekat keinginan mereka yang berkemampuan untuk membeli ijazah.

Bagi memelihara kredibiliti lulusan pengajian tinggi, perhatian perlu diberi kepada kecurangan akademik yang berlaku atau berkemungkinan berlaku dalam sistem pendidikan khasnya pendidikan tinggi negara kita.

Kecurangan akademik melibatkan salah laku dalam dunia akademik seperti ciplak atau plagiat, meniru dalam peperiksaan, membangunkan set data palsu, pemalsuan keputusan ujikaji, penipuan dalam rujukan dan salah laku dalam penulisan akademik. Kajian The Times menunjukkan terdapat penyelidik yang melaporkan hasil kajian yang salah sama ada dise­ngajakan atau tidak tetapi tidak berusaha untuk membetulkannya. Penulisan akademik atau penerbitan adalah satu petunjuk prestasi utama ahli akademik di universiti. Ada universiti yang meletakkannya mengatasi yang lain sehingga menjadi satu tekanan kepada ahli akademik.

Kebanyakan ahli akademik berupaya dan berusaha untuk menerbitkan kertas kerja berimpak. Namun ada sesetengah ahli akademik mengambil jalan pintas mendapatkan khidmat ‘penulis hantu’. Wang menjadi sandaran kepada penghasilan dan jaminan untuk diterbitkan dalam jurnal yang dapat dipertimbangkan sebagai memenuhi petunjuk prestasi.

Kecurangan semakin berleluasa dengan kecanggihan dan perkembangan pesat teknologi, dengan itu makna dan perbuatan curang diperluaskan. Sesetengah universiti mene­tapkan memetik karya sendiri (self-citation) atau berpakat memetik penulisan rakan sebagai salah laku akademik ter­utamanya apabila ‘petikan’ atau citation juga dijadikan petunjuk prestasi bagi ahli akademik.

Kajian berkaitan kecurangan akademik telah banyak dijalankan di luar negara. Di Taiwan sebanyak 61.7 peratus daripada responden mengaku melakukan salah laku akademik seperti meniru. South China Morning Post pada May 2015 memetik White Paper on Dismissal Issues of Chinese Students in the US melaporkan satu daripada faktor yang menyebabkan sebilang­an besar pelajar China diberhentikan pengajian di Amerika Syarikat adalah kecurangan akademik. Universiti di United Kingdom menghadapi wabak plagiarisme seperti dilaporkan akhbar The Times iaitu kira-kira 50,000 pelajar ditangkap atas kesalahan ciplak sejak tiga tahun lalu.

Salah laku ini terbawa-bawa ke alam pekerjaan. Bank Pelaburan AS JP Morgan menghantar pulang lulusan British kerana menipu dalam peperiksaan semasa latihan untuk be­kerja. Hal yang sama juga berlaku di Goldman Sachs apabila 20 pelatih dipecat kerana meni­pu dalam peperiksaan. Tentunya kita tidak mahu hal ini berlaku di negara kita.

Malaysia menyasarkan pemegang Phd seramai 60,000 menjelang 2023. Dengan ang­ka ini, sekiranya 60 peratus PhD dijalankan dalam negara, tentunya bilangan tesis boleh mencecah 36,000. Ini tidak termasuk ribuan tesis yang dihasilkan secara penyelidikan di peringkat sarjana dalam tempoh tersebut. Ini bermakna negara akan mempunyai puluhan ribu tesis pelbagai bidang yang memungkinkan pertindihan bidang kajian, cedokan idea atau penciplakan tesis sepenuhnya. Jika ini berlaku, penyelidikan tidak akan memberikan sumbangan baharu kepada bidang pengetahuan dan menggagalkan falsafah penyelidikan akademik. Oleh itu tidak mustahil pendidikan tinggi negara akan berhadapan dengan isu kecurangan akademik.

Sehubungan itu, dasar atau polisi berkaitan kecurangan akademik perlu ada bagi menyeragamkan pengenalpastian perbuatan curang akademik dan strategi menanganinya. Dasar atau polisi ini amat perlu untuk memastikan universiti tidak memejamkan mata dan memekakkan telinga dalam mena­ngani isu berkaitan sebagaimana didakwa oleh sesetengah pihak. Universiti per­lu bekerjasama membentuk sis­tem maklumat yang dapat mengesan pertindihan penyelidikan dan kan­dungan tesis seterusnya dapat mengesan kecurangan jika berlaku. Ini boleh diperkembangkan di peringkat antarabangsa bagi memastikan kecurangan rentas benua dapat dikesan. Walaupun ini mungkin tidak dapat direalisasi dalam masa terdekat, inisiatif perlu dimulakan. Perisian yang berupaya mengesan salahlaku akademik perlu ditambah baik dan diper­tingkatkan penggunaannya.

Pensyarah, penyelia, universiti dan pemeriksa tesis sebagai pihak yang arif dalam bidang diselia atau diperiksa tentu dapat mengesan keaslian tesis dan penyelidikan yang dijalankan. Dalam hal ini, universiti mesti berupaya meyakinkan masyarakat bahawa tempat mendidik pelajar menjadi manusia itu tidak membenarkan sebarang salah laku akademik daripada berlaku. Kecurangan akademik tidak dapat diterima sama sekali dalam ekosistem yang bertanggungjawab melahirkan para intelek dan ilmuwan.

PROFESOR MADYA DR. AMINAH 
MD. YUSOF ialah Timbalan Dekan (Pembangunan Program dan Hubungan Pelanggan), Sekolah Pengajian Siswazah, Universiti Teknologi Malaysia yang juga merangkap Setiausaha Majlis Dekan 
Pengajian Siswazah Malaysia.