Bagi mengembalikan semula zaman kegemilangan Gerakan di Pulau Mutiara, parti itu perlu melakukan lebih banyak kerja, sekali gus membantu BN bagi mendapatkan semula kerusikerusi yang telah jatuh ke tangan pembangkang.

Wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, ABD. AZIZ ITAR dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI serta jurufoto, AIZZUL A.MAJID menemui Presiden Gerakan, DATUK SERI MAH SIEW KEONG untuk mengetahui pandangan serta strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU -14) tidak lama lagi.

Ikuti temu bual bersama beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi di ibu pejabat Gerakan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
 

MINGGUAN: Sesetengah pihak melihat Gerakan dan MCA sebagai pesaing. Namun, perseteruan antara dua parti komponen mewakili kaum Cina dalam BN itu sebenarnya merugikan BN. Bagaimana Datuk Seri melihat hubungan serta kerjasama antara Gerakan dan MCA dalam menghadapi PRU-14?

SIEW KEONG: Tidak dapat dinafikan bahawa Gerakan dan MCA ada masalah di peringkat akar umbi parti sebab mereka antara satu sama lain menganggap jika MCA dapat satu Ahli Majlis, Gerakan kurang satu, kalau Gerakan dapat satu maka MCA juga akan kurang satu. Ini menimbulkan masalah kerana dalam banyak kali Pilihan Raya Umum (PRU) di mana ada yang tutup bilik operasi.

Tidak dapat dinafikan ia sudah menjadi tradisi tetapi keadaan itu sudah berubah sejak PRU-2008 dan PRU-2013 di mana prestasi tidak begitu memuaskan baik MCA dan juga Gerakan. MCA hanya menang tujuh kerusi Parlimen pada PRU-2013 manakala Gerakan hanya satu kerusi Parlimen dan satu lagi kerusi Parlimen selepas pilihan raya kecil. Sekarang, para pemimpin kita perlu bekerjasama dan itu adalah selari dengan nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya kami mempertingkatkan kerjasama.

Oleh itu kita telah ada satu Unity Rally (Perhimpunan Teguh Bersama) pada 6 Januari lalu. Sesuatu yang menjadi sejarah kerana pertama kali MCA dan Gerakan mengadakan perhimpunan dan lebih 2,500 pemimpin dan akar umbi hadir. Separuh daripada MCA dan setengah daripada Gerakan hadir bersama. Saya gembira kerana perhimpunan itu berjaya menunjukkan satu semangat baik.

Dalam ucapan saya suarakan jika terdapat ahli Gerakan yang sabotaj MCA, kami di pihak Gerakan akan ambil tindakan disiplin. Ini adalah satu jaminan bahawa perkara dahulu tidak akan berlaku lagi. Kita akan pastikan ahli-ahli kita saling membantu. Kita mahu mentaliti menang-menang dan ini yang penting. Perhimpunan itu telah berjaya dan ia menjadi satu titik permulaan.

Selepas ini kita akan adakan pula Program Jelajah Rakyat di mana para pemimpin Gerakan dan MCA akan duduk bersama.Ini penting. Dahulu ia mungkin program persendirian tetapi sekarang kita akan gabungkan pelbagai program untuk memberi penjelasan kepada rakyat selain program berbentuk Micro Targeting dengan MCA.

Apakah Gerakan dan MCA akan bergabung sebagai satu parti pada masa hadapan?

SIEW KEONG: Tidak bermakna penyatuan bermaksud MCA dan Gerakan akan bergabung. Itu tidak akan terjadi kerana perl­em­­bagaan MCA adalah ia untuk ahli-ahli Cina sedangkan Gerakan ahli-ahlinya berbilang kaum iaitu Cina, Melayu dan India. Walaupun majoriti sekitar 70 peratus ahli Gerakan adalah Cina tetapi kita bermula sebagai parti berbilang kaum.

Yang penting kita tingkatkan kerjasama sebab di banyak tempat apabila kita campur ahli-ahli Gerakan dan MCA di peti-peti undi, ahli-ahli MCA dan Gerakan melebihi 50 peratus. Tetapi apabila dikira kita dapati ia kurang sebab ramai yang tidak mengundi parti sendiri. Kita mahu atasi masalah ini termasuk ambil tindakan disiplin seperti memecat ahli jika perlu sekiranya wujud sabotaj dalam parti. Kita mahu wujudkan keikhlasan dalam parti.

Dalam ucapan saya sebelum ini ada sebut perpaduan tidak menjamin kemenangan tetapi perpecahan akan menjamin kekalahan.

Hanya tujuh kerusi Parlimen dan satu kerusi untuk kita. Pada 2004, Gerakan menang 12 kerusi Parlimen dan MCA 30 lebih kerusi tetapi sekarang sudah jatuh banyak. Kita perlu wujudkan perpaduan dan kali ini do or die battle (pertempuran hidup atau mati). Dalam dua PRU sebelum ini, kita telah kalah sebanyak dua kali. Jadi, kali ini kita tidak boleh kalah untuk kali yang ketiga.

Wujudkah perancangan untuk bertukar kerusi dengan MCA dan parti komponen lain dalam BN?

SIEW KEONG: Ada. Tetapi dalam rundingan seperti di Pulau Pinang, Pahang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Keputusan akhir nanti akan diputuskan dalam Majlis Tertinggi BN. Perdana Menteri akan buat keputusan akhir. Jadi, saya tidak mahu umumkan.

Antara kerjasama nanti bukan hanya di peringkat akar umbi di mana kita buat program bersama tetapi juga daripada media-media sosial kerana pada PRU-2013 kita telah nampak banyak yang perlu dibuat di dalam media sosial kerana pembangkang mempunyai Red Bean Army. Saya masih ingat pada 2013, sehari sebelum mengundi mereka menggunakan WhatsApp untuk membuat pelbagai propaganda dan ramai yang percaya walaupun ia tidak benar. Saya pasti kali ini pihak mereka akan melakukan lebih banyak propaganda dan putar belit.

Ini adalah taktik kotor. Hari itu saya dan Pemuda Gerakan telah membuat laporan polis kerana mereka menularkan gambar palsu melibatkan saya. Ini memang cara mereka (pembangkang). Bukan menunjukkan pencapaian mereka tetapi menggunakan cara jahat ini. Oleh itu kita semua perlu bekerjasama bagi berdepan dengan masalah seperti ini.

Bagaimana untuk memecahkan dominasi calon sesuatu kaum di sesebuah kawasan yang begitu didominasi kaum-kaum tertentu?

SIEW KEONG: Pada 2013 sokongan pengundi Cina dalam PRU ketika itu cukup teruk iaitu hanya 15 peratus di banyak tempat tetapi mengikut kajian terbaru yang dibuat sambutannya adalah lebih baik sekarang iaitu lebih 30 peratus di banyak tempat. Antara sebabnya ialah mereka melihat banyak polisi kerajaan telah mentransformasikan negara.

Dahulu mereka (pihak pembangkang) bagi persepsi bahawa semua polisi mereka begitu baik tetapi sekarang banyak masalah berlaku di Pulau Pinang dan Selangor. Contohnya isu terowong di Pulau Pinang. Mana ada projek yang belum mula tetapi RM300 juta sudah dibayar hanya untuk perundingan. Mereka pandai kutuk orang lain tapi rakyat boleh lihat sendiri yang pembangkang cakap tidak serupa bikin.

Di kawasan yang berlaku tanah runtuh di Tanjung Bungah, Pulau Pinang, kelulusan projek kawasan itu adalah 10 kali lebih banyak daripada ketika era Tan Sri Koh Tsu Koon menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Mereka menyalahkan Tsu Koon sedangkan DAP sudah hampir 10 tahun menjadi kerajaan negeri. Mereka ini hanya pandai salahkan orang lain dan mahu ajar orang sahaja. Ramai rakyat sudah nampak kebenaran. Jadi kali ini saya harap sokongan para pengundi Cina kepada BN akan kembali semula.

Saya yakin kerana melihat situasi sekarang amat berlainan dengan dahulu. Kalau 10 tahun lalu ramai pengundi Cina tidak menyokong BN. Di kedai-kedai kopi sekarang ramai orang Cina yang menyokong BN tetapi mereka tidak berani cakap secara terang-terangan kerana takut kena kutuk atau marah. Ini membuktikan adanya silent group yang besar dan bilangan itu akan terus bertambah.

Kajian yang dibuat ke atas pengundi atas pagar mendapati 40 peratus pengundi muda Cina memberikan jawapan bahawa mereka belum membuat keputusan untuk memilih parti mana pada PRU-14. Jadi sebelum PRU akan datang ini kita perlu buat kerja lebih untuk golongan ini. Kita perlu yakinkan mereka bahawa hanya BN yang akan membawa pembangunan negara pada masa depan.

Komen Datuk Seri tentang kemasukan Tun Dr. Mahathir dalam pembangkang, adakah ia akan mempengaruhi sokongan kaum Cina?

SIEW KEONG: Ini akan menjejaskan sedikit tetapi saya telah berbincang dengan banyak pihak dan saya dapati gabungan Pakatan Harapan mempunyai ideologi kabur dan berbeza. Gabungan ini wujud semata-mata untuk mendapatkan undi demi kepentingan politik mereka. Bagi saya cara ini tidak akan kekal lama dan oleh itu sudah tentu banyak pihak yang tidak berpuas hati dengan gabungan ini.

Saya berharap mereka akan menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap pihak terbabit.

Mereka politikkan semua isu yang baik untuk rakyat, pembangunan dan semua isu. Ini tidak sihat termasuk isu pelaburan asing yang dipolitikkan. Dalam zaman media sosial ini apa yang mereka buruk-burukkan seperti mendakwa negara akan bankrap dan sebagainya sebenarnya diperhatikan dunia. Banyak pelabur tanya betulkah apa yang berlaku? Saya jawab tidak.

Apabila mereka (pembangkang) buat begitu untuk kepentingan politik, akibatnya para pelabur asing tidak mahu datang berniaga di Malaysia, maka akhirnya siapa yang rugi? Rakyat yang akan rugi. Mereka hanya mahukan undi walaupun ia boleh merugikan negara. Perkara ini saya tidak boleh terima. Sedangkan pertumbuhan ekonomi negara kini berada pada paras lima peratus.

Pembangunan negara semakin baik begitu juga dengan nilai eksport. Contohnya dalam industri komoditi tahun ini telah meningkat kepada RM130 bilion sedangkan tahun sebelumnya hanya RM122 bilion. Kelapa sawit sahaja RM160 bilion, sekarang hampir RM170 bilion. Saya akui masih banyak yang perlu dilakukan dan ia telah dilakukan oleh Perdana Menteri seperti langkah-langkah untuk mengurangkan harga makanan, tambah bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) supaya ia dapat mengurangkan kos sara hidup. Inilah antara cabaran kita.

Ada pihak mengatakan BN perlu meletakkan calon mengikut majoriti kaum di sesuatu kawasan bagi menjamin kemenangan. Apa pandangan Datuk Seri?

SIEW KEONG: Inilah semangat BN. Selama ini, kerusi-kerusi telah diagihkan dan ia tidak bermakna kalau di sesuatu kawasan itu ramai pengundi daripada sesuatu kaum maka ia untuk parti kaum itu. Sebab kalau kita guna logik itu, MIC mungkin tidak ada kerusi. Semua tempat MIC tiada kerusi. Bagi saya logiknya adalah di sesebuah kawasan ada pengundi daripada semua kaum. Kalau perkara ini berlaku, ia akan beri kesan di tempat-tempat lain. Oleh sebab semangat itu maka BN mendapati formula itu boleh dikekalkan.

Bagaimana pula dengan sokongan anak-anak muda Cina?

SIEW KEONG: Bukan sahaja sokongan orang muda Cina dalam Gerakan tetapi sokongan kaum Melayu dan India juga mengikut trend sama. Yang ‘atas pagar’ adalah yang paling ramai sekali iaitu 40 peratus. Dahulu sebelum 2013 saya tiada akaun Facebook tetapi sekarang sudah dan perlu ada. Saya ada 25,000 pengikut yang terdiri daripada para pengundi di Teluk Intan, Perak.

Tetapi sekarang semua pemimpin Gerakan digalakkan menggunakan media-media sosial, bukan untuk menyebarkan maklumat-maklumat palsu tetapi bagi memberikan maklumat-maklumat betul dan tepat. Daripada itu kita dapat melihat perkembangan positif. Saya ada membaca satu kajian yang mengatakan bilangan pengikut laman Facebook parti-parti pembangkang telah jatuh sebanyak 30 peratus. Mereka (para pengundi) sudah tahu cara pembangkang mengguna fakta-fakta tidak betul.

Ini antara sebab anak muda yang mengikuti laman sosial pembangkang semakin merosot. Oleh itu, saya yakin anak-anak muda tidak semestinya akan mengundi parti-parti pembangkang. Mungkin dalam PRU sebelum ini, kebanyakan anak muda mengundi pembangkang tetapi trend itu sudah bertukar.

Sekarang tidak semestinya. Apatah lagi apabila kerajaan menganjurkan program dialog seperti TN50 (Transformasi Nasional 2050) ramai yang memberikan respons positif. Kita juga mendapat banyak pandangan daripada anak-anak muda menerusi dialog-dialog yang diadakan. TN50 ini amat baik bagi mendapatkan maklum balas secara terus daripada golongan terbabit.

Bolehkah Gerakan memperkuatkan konsep parti berbilang kaum sebagai persediaan politik masa hadapan yang lebih terbuka dan kompleks?

SIEW KEONG: Itulah harapan kami. Dalam BN pun wujud parti yang berbilang bangsa dan juga parti yang khusus untuk satu-satu kaum sahaja. BN memang disertai parti-parti berbilang kaum. Kami juga di Gerakan ada banyak cadangan bagi mewakili kaum-kaum Cina, Melayu dan India. Hampir 60 peratus daripada calon-calon yang kami cadangkan kepada Perdana Menteri adalah muka-muka baharu. Sebagai parti politik apa yang penting kita kena ada keputusan. Oleh itu amat penting dalam PRU akan datang kita kena ada satu keputusan yang lebih baik. Ini umpama do or die battle. Gerakan sejak tiga tahun lepas telah melantik penyelaras untuk menjaga sesebuah kawasan. Tujuannya supaya mereka ini dikenali para penduduk di kawasan tersebut.

Dengan persiapan yang ada termasuk program-program yang telah disediakan dalam TN50, kami yakin akan mampu menambah kerusi dalam PRU akan datang termasuk di Pulau Pinang. Pada PRU sebelum ini kita bertanding 17 kerusi di Pulau Pinang tetapi kalah semua. Kali ini saya pasti kita akan dapat kerusi di sana kerana rakyat Pulau Pinang nampak banyak perkara tidak betul telah berlaku.

Satu lagi ramai orang nampak DAP sekarang semakin angkuh. Dalam PRU sebelum ini mereka menang 100 peratus kerusi yang ditandingi dan sebab itu mereka menjadi angkuh. Tetapi kali ini Gerakan telah membangkitkan banyak isu di Pulau Pinang dan kami yakin PRU akan datang kita akan dapat kerusi di sana.

Terdapatkah calon giant killer dalam Gerakan terutama di Pulau Pinang bagi membantu kemenangan dalam PRU nanti?

SIEW KEONG: Ya kita memang ada. Kebanyakan calon kita adalah orang baharu di Pulau Pinang. Dalam senarai itu ramai yang berkaliber. Oleh sebab itu kita menjadi lebih yakin dan buat masa ini kita sedang menunggu kelulusan daripada Perdana Menteri sebelum saya umumkan nama-nama mereka. Dalam senarai kali ini, ada campuran antara muka baharu dan muka lama. Ramai yang berkaliber dan sebab itu saya mempunyai keyakinan berhubung perkara ini.

Kalau diberi peluang saya akan bertanding semula di Teluk Intan. Saya tidak akan lari. Di sana sudah 10 penggal sejak tahun 1960-an, DAP tidak pernah tetap pendirian dan setiap kali PRU mereka menukar calon. Tetapi saya anak jati Teluk Intan. Saya tidak kata akan jadi calon di Teluk Intan pada PRU akan datang kerana keputusan itu akan ditentukan oleh Perdana Menteri.