Takdir setiap orang berbeza. Pertama, ada orang yang hidup dalam kemewahan ada segala-galanya tetapi tiada ketenangan. Mungkin kerana hubungan suami isteri tidak baik. Selalu bertelagah dan tidak serasi hidup bersama. Suami tiada masa di rumah, sibuk dengan kerja hingga banyak masa dihabiskan di luar. Isteri di rumah mula berprasangka, suami ada orang lain. Suami sampai di rumah disambut dengan leteran sedangkan di luar dengan rakan sekerja dan teman sosialnya, dia mendapat penghargaan, dipuji dan disanjung. Kerana itu segala yang ada tidak membawa makna bahagia dan ketenangan hingga memungkinkan suami atau isteri mencari kebahagiaan di luar dengan orang lain.

Mungkin juga tiada ketenangan dalam rumah tangga kerana anak-anak bermasalah. Tidak hormat orang tua, suka berfoya-foya di luar, ingkar perintah Allah, perangai anak sangat negatif dan anak-anak tidak berjaya dalam pelajaran.

Meskipun kaya dan mewah namun hidup masih tidak tenang dan bahagia kerana menghidapi penyakit kronik. Sebanyak mana wang yang ada terpaksa dibelanjakan untuk membeli balik kesihatan yang diabaikan semasa muda kerana bekerja keras mencari kekayaan. Dengan kata lain wang tidak dapat mengubati penyakit yang dihidapi. Hakikatnya wang dan kekayaan tidak mampu membahagiakan atau menenangkan hidup apabila seseorang itu sakit.

Ada orang yang kaya-raya hidup tetapi hidup masih tidak tenang. Puncanya mereka takut hilang kekayaan dan pada masa sama semakin tamak dengan kekayaan duniawi. Mereka sentiasa tidak berpuas hati dengan apa yang ada. Dapat satu hendak dua, dapat dua hendak tiga dan seterusnya. Hingga sanggup melakukan apa sahaja walaupun menyalahi daripada segi hukum agama. Mereka tidak peduli asalkan dapat seperti yang dihajatkan.

Kedua, ada orang yang hidup dalam serba kekurangan dan kalanya tidak ada apa-apa pun kerana tidak mampu memilikinya tetapi hidupnya tenang dan bahagia. Sebab mereka sentiasa bersyukur dan reda dengan apa yang ada dan tidak pernah mempersoalkan apa yang tiada.

Ketiga, ada segala-galanya, kemewahan, kekayaan, berjawatan dan berkedudukan tetapi hidupnya tenang dan bahagia. Sebenarnya inilah kehidupan yang sepatutnya dicita-citakan. Tetapi bagaimanakah cara untuk mendapatkan situasi hidup begini? Sebab ramai orang takut menjadi kaya. Sebabnya mereka bimbang ada tanggapan negatif iaitu apabila kaya dikhuatiri akan menjadi sombong dan lupa diri. Kerana itu ada orang yang lebih reda hidup dalam miskin atau sederhana.

Sedangkan sebenarnya sebagai orang Islam, seseorang itu digalakkan untuk menjadi kaya. Ini kerana dengan kekayaan itu mudah melakukan ibadah terutama ibadah yang melibatkan kewangan seperti mengerjakan ibadah haji, umrah, berzakat, bersedekah dan mewakafkan harta. Hiduplah di dunia ini sebagai destinasi untuk memberi dan hiduplah di akhirat sebagai tempat untuk menerima ganjaran terhadap apa yang telah dilakukan sepanjang hayat. Jadilah kita seorang yang kaya dan bahagia di samping dapat membahagiakan orang lain.

Wang akan membuka topeng siapakah seseorang itu yang sebenar? Sama ada dengan wang, kekayaan, pangkat dan kedudukan itu akan menjadikan kita orang yang lebih beriman atau sebaliknya. Jangan jadikan wang bersultan di mata dan beraja di hati. Jom jadikan wang, kemewahan, kekayaan, jawatan dan kedudukan sebagai alat untuk menjadikan kita lebih bertakwa, lebih pemurah, lebih berlembut hati dan lebih berperikemanusiaan.

Sesungguhnya perangai atau sikap seseorang itu banyak dipengaruhi oleh respons dan tindakan. Ingat, bahawa 40 peratus perangai atau sikap manusia dipengaruhi oleh `pilihan’ yang berdasarkan kepada ‘fikiran’. Oleh sebab itu kawal fikiran dan betulkan pilihan. Fikiran positif – emosi positif – respons positif – tindakan positif – hasil kehidupan positif, dengan membuat pilihan kehidupan yang betul.

Jom berusaha untuk menjadi kaya. Bekerja dengan ikhlas tanpa mengharapkan penghargaan dan bekerja keras mencari kekayaan dengan niat menjadikan kekayaan itu perantaraan bagi tingkatkan lagi ketakwaan. Kata Hamka:”Peluang yang besar itu datang secara tiba-tiba, datang tidak menentu masa, datang pada saat kita senang, kesempitan atau kesusahan. Nilailah peluang itu dengan secara bijaksana. Rebutlah peluang yang besar itu kerana peluang yang besar itu boleh berlalu dengan tiba-tiba, sebagaimana ia datang dengan tiba-tiba. Jangan berikan seribu alasan untuk merebut peluang besar itu.” Oleh itu jangan lepaskan peluang dan bertangguh untuk berubah iaitu daripada mengejar keduniaan kepada mengejar akhirat. Dua perkara yang paling berharga, masa dan fikiran. Jaga bagaimanakah caranya untuk menggunakan kedua-duanya bagi mencapai matlamat, kebahagiaan dan ketenangan hidup dunia dan akhirat. `Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak’.