Diari Leftenan Jeneral Hans Baur, sahabat yang amat dipercayai Hitler memaparkan gambar-gambar diktator itu yang tidak pernah dilihat umum termasuk saat-saat akhir riwayatnya pada 30 April, 1945.

Kesemuanya dihimpunkan dalam memoir bertajuk I was Hitler’s Pilot, buku yang memperincikan apa yang didakwa kata-kata terakhir penuh emosi Hitler kepada Baur.

Juruterbang itu berkata, Hitler memberitahunya bahawa beliau ‘akan mengakhirinya hari ini’ sebelum membunuh dirinya dan isterinya, Eva Braun.

“Hitler datang kepada saya dan mengenggam kedua-dua belah tangan saya,’’ imbas Baur yang meninggal dunia pada 1993 ketika berusia 96 tahun.

“Baur, saya mahu mengucapkan selamat tinggal kepada kamu. Masanya telah tiba. Semua jeneral (tentera) telah mengkhianati saya. Tentera saya tidak mahu meneruskannya dan saya tidak boleh berterusan dalam keadaan ini.

“Seorang lelaki perlu mempunyai keberanian dan kecekalan tinggi untuk menghadapi sebarang akibat. Oleh itu saya akan mengakhirinya sekarang. Saya tahu pada masa akan datang berjuta-juta manusia akan memaki saya, tetapi itulah takdir.

“Pihak Rusia mengetahui saya berada dalam kubu bawah tanah ini, saya tidak takut jika mereka mencampakkan tangki gas ke dalamnya kerana saya tahu terdapat pelindung gas di sini tetapi adakah saya boleh bergantung kepadanya?’’ kata Hitler.

Sebelum membunuh diri, pemimpin Nazi itu dikatakan telah menghadiahkan Baur sebuah lukisan yang amat bernilai sebagai menghargai perkhidmatannya selama 12 tahun.

Selepas perbualan tersebut, Baur telah ditembak ketika cuba melarikan diri, akibatnya beliau kehilangan sebelah kakinya.

Baur kemudian menghabiskan masa selama 10 tahun dalam penjara di Soviet dan diseksa tanpa henti bertujuan memaksanya menyerahkan maklumat tentang Hitler.

Walaupun memainkan peranan penting dalam kehidupan Hitler, Baur mendakwa beliau tidak terlibat dalam politik Third Reich (Nazi) selain menegaskan beliau adalah seorang juruterbang bukannya ahli politik.

Dalam pada itu, gambar-gambar menarik dalam diari tersebut turut memaparkan kemesraan Baur dan Hitler ketika bersalaman di sebuah lapangan terbang dan ketika kedua-duanya berdiri bersebelahan sambil memberi tabik hormat Nazi.

Selain itu terdapat sekeping gambar Hitler dengan wajah tanpa ekspresi ketika menjadi pengapit Baur pada majlis perkahwinan sahabatnya itu iaitu sebelum beliau dilantik sebagai pemimpin Third Reich.

Persahabatannya dengan Hitler bermula pada awal 1930-an ketika beliau diambil untuk membantu kempen pemimpin Nazi itu di seluruh Jerman dan selepas tiga tahun hubungan itu semakin akrab sehinggakan Hitler bersetuju menjadi pengapit Baur.

Memang tidak perlu disangsikan lagi, Hitler dan Baur mempunyai hubungan istimewa kerana pemimpin itu sanggup membeli sebuah kereta baharu untuk Baur sempena hari kelahirannya yang ke-40.

“Kepercayaan penuh Hitler terhadap saya telah membawa kami kepada hubungan sahabat yang sangat akrab, lagipun hidupnya (Hitler) bergantung kepada kemahiran saya malah beliau tahu saya akan melakukan yang terbaik untuknya.’’

“Suatu hari beliau memberitahu saya bahawa bermula hari ini saya adalah sahabat karibnya dan tetamu tetapnya selain juruterbang beliau. Saya dibenarkan keluar atau masuk ke rumahnya sesuka hati tanpa mengira waktu dan tanpa sebarang kebenaran atau kad khusus.’’

“Sejak itu hampir setiap hari saya dan Hitler akan makan tengah hari dan makan malam bersama-sama. Mengenali cara hidupnya terutama sikap tenangnya adalah sesuatu yang amat menarik buat saya,’’ katanya menerusi diari itu.

Menurut Baur, di pejabat Reich Chancellory (Canselor Jerman) terdapat sebuah taman yang dihuni beberapa ekor tupai dan setiap kali Hitler keluar ke taman, tupai-tupai itu akan berlari ke arahnya dan melompat pada bahunya kerana tahu Hitler akan membawa makanan untuk mereka.

“Ada ketika jika makanan yang dibawa habis saya menawarkan diri untuk mengambilnya tetapi tidak dibenarkan Hitler kerana kata beliau, tugas saya adalah membawanya terbang bukan menunggunya,’’ katanya.

Edisi pertama memoir Baur bertajuk Ich flog Machtige der Erde (I Flew with the World’s Powerful) diterbitkan pada 1956 tetapi diari itu kini dicetak dan diterbitkan semula oleh Frontline Books dalam bahasa Inggeri dengan tajuk I was Hitler’s Pilot.