Seperti mana rakyat Malaysia sentiasa teruja dengan lagu kemerdekaan, penulis juga sentiasa ternanti tema Hari Kebangsaan pada saban tahun. Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad usai mesyuarat Kabinet pada 30 Mei lalu mengumumkan “Sayangi Malaysiaku” adalah tema rasmi yang dipilih untuk Hari Kebangsaan 2018.

Tema dan logo sudah terjawab, lagu Hari Kebangsaan sudah rancak berkumandang di corong radio dan televisyen kini, persoalan yang masih berlegar sejauh mana pula rasa patriotisme rakyat Malaysia terutama generasi muda?

Apakah pula peranan kampus dalam menyemai rasa cintakan negara pada mahasiswanya? Adakah mereka merasakan tanah air tercinta ini adalah satu harta warisan yang tak ternilai yang perlu dijaga dan dipertahankan bersama-sama?

Jawapan awal penulis, generasi muda kita sebenarnya memiliki jiwa patriotisme pada pertiwi ini.

Sebagai seorang pentadbir di universiti, generasi muda khususnya yang berada di institusi pendidikan tinggi telah diberi pendedahan dan didikan untuk menjadi warganegara Malaysia yang cintakan negara melalui pelbagai program yang terdapat di institusi pengajian mereka.

Mungkin kerana program itu tidak mempunyai pengisian ki­barkan Jalur Gemilang atau me­nonton dokumentari sejarah kemerdekaan, ia dianggap tidak memupuk patrio­tisme pada jiwa ge­nerasi muda. Ini te­lahan yang dangkal kerana patriotisme adalah mengenai rasa kasih­ sayang dan hormat kepada ta­nah air kita. Ia adalah satu perasaan semula jadi yang mendorong seseorang untuk be­kerja keras demi pembangunan negara dan melin­dungi teguh wa­risan dan budaya negara daripada dimusnahkan.

Justeru apa sahaja program yang dianjurkan dan disertai oleh mahasiswa kita yang memupuk ke arah ni­lai-nilai ini di kampus, penulis menganggap ia umpama menambah baja untuk menyuburkan lagi benih patriotisme yang sedia ada bersemi di jiwa anak Malaysia!

Mahasiswa sebagai generasi muda menonjolkan semangat patriotik mereka melalui pelbagai medium seperti kata-kata, pemi­kiran dan tindakan.

Tidak dapat dinafikan kadang-kala ekspe­rimentasi mereka ini me­ngundang salah faham ma­sya­rakat hingga dianggap kurang patriotik.

Di universiti, misalnya di bawah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, fakulti mahupun kolej kediaman ba­nyak menganjurkan pelbagai program berbentuk kesukarelawan dan khidmat komuniti seperti menyantuni warga emas, anak yatim, orang susah, penduduk kampung dan seumpamanya.

Program sebegini akan menjadikan siswa-siswi kita menyelami realiti sebenar kehidupan masyarakat yang pelbagai rencah dan warna, kelak apabila menjadi pemimpin, mereka akan menjadi pemimpin yang menjiwai keluh-kesah rakyat dan membela rakyat, ini adalah pat­riotik.

Apabila tiba bulan Ogos, sam­butan Bulan Kebangsaan pula mengambil tempat dengan pelbagai program menyemarakkan semangat patriotisme meriah dianjurkan di dalam kampus seperti seminar, forum dan pertandingan bertemakan kemerdekaan.

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) misalnya baru-baru ini menganjurkan forum kemer­dekaan dengan menjemput Angkasawan Pertama Negara, Datuk Dr. Syeikh Muszaphar; dan wanita pertama negara menawan Gunung Everest, Siti Hanisah Sharuddin sebagai panel. Khalayak utama program ini tentunya mahasiswa kita iaitu generasi muda.

Jika dalam program berbentuk akademik, rasa patriotik itu dibugarkan secara tidak langsung melalui subjek Tamadun Islam dan Tamadun Asia Tenggara (TITAS) sebagai salah satu subjek yang diambil oleh siswa kita semasa pengajian di universiti.

Daripada pengamatan penulis yang turut mengambil TITAS di zaman pengajian dahulu, TITAS berupaya memperkukuh jati diri bangsa Malaysia sebagai sebuah negara pelbagai kaum, iaitu de­ngan mengamalkan kehidupan bertoleransi dan bertamadun.

Generasi muda yang memahami dan menghargai sejarah negaranya, akan menjadi generasi Malaysia yang berpenge­tahuan dan peka pada keadaan semasa.

Seorang bekas ahli politik Ame­rika Syarikat, Adlai Stevenson me­ngungkapkan - “Patriotisme bu­kan cetusan pendek dan penuh emo­si tetapi dedikasi yang tenang dan mantap seumur hidup”.

Penyemaian rasa cintakan negara ini perlu dipupuk sejak kecil kerana apabila melangkah ke alam universiti, kita ingin melihat siswa mencurahkan kefahaman dan penghayatan terhadap patrio­tisme dalam bentuk pengamalan.

Antara cara paling mudah untuk menterjemahkan rasa cinta kepada negara ialah dengan menjadi rakyat yang baik. Sentiasa mengamalkan lima prinsip Rukun Negara iaitu kepercayaan kepada tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kesopanan dan kesusilaan serta sentiasa berfikir dan mencari jalan untuk berbakti kepada negara mengikut kemampuan masing-masing.

PENULIS ialah Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Pragmatis) USIM.