ABDULLAH SANI: Sebenarnya PKR tidak ada isu, yang ada masalah adalah watak-watak yang bertindak sebagai pemain utama. Proses sekarang adalah untuk menterjemah parti ini menjadi parti terbaik dan telus tetapi banyak orang melihat ada kemelut dalam parti ini. Sebenarnya parti ini tiada kemelut yang ada hanya seorang dua yang menjadi pengacau.

Tetapi ada pihak lain melihat keadaan ini meruncing.

ABDULLAH SANI: Persepsi orang apabila melihat seorang berbeza dengan pasukan yang besar mereka terus mengaitkan bahawa parti itu sedang huru-hara. Sebenarnya tidak, misalnya dalam mesyuarat Pimpinan Pusat (MPP) PKR ada 57 orang dan kita bersetuju dengan keputusan diambil biro politik yang mana kalau kamu hendak membuang orang kamu perlu melalui proses. Prosesnya dia perlu diberi hak untuk mempertahankan diri, itu namanya keadilan. Tidak boleh saya sebagai orang yang ada kuasa kemudian membuang kamu, itu namanya diktator dan zalim.

Namun begitu, yang menyanggah keputusan kolektif bukan ahli biasa tetapi memegang jawatan penting dalam parti.

ABDULLAH SANI: Sebab itu kita perlu berada dalam satu pasukan dan kalau kita lihat pergelutan yang berlaku hari ini sebab ada pihak melihat naib presiden parti mengeluarkan kenyataan di luar skop pasukan.

Apabila kita sudah mengambil pendirian konsensus kita tidak boleh lagi bersikap berkecuali, kecuali jika dia tiada dalam pasukan itu. Ini termasuk wanita PKR, persoalan sekarang mereka tidak memahami apa yang mereka cakap. Mereka ada dalam biro ini tetapi kenapa masih lagi mengeluarkan kenyataan lain?

Kalau kita tidak menegur dan mengambil tindakan, ini akan berte­rusan menjadi masalah. Sebab itu kenyataan mereka disanggah balik oleh beberapa pemimpin berwibawa dalam parti. Kumpulan kecil ini cuba menggunakan pengaruh diktator yang ada pada mereka untuk meluahkan pandangan, ini kumpulan yang akalnya pendek dan tidak cerdik.

Ada dakwaan Mohamed Azmin tidak pernah hadir mesyuarat tertinggi parti dan adakah ini menunjukkan beliau dan Anwar tidak boleh bekerjasama?

ABDULLAH SANI: Isu Anwar dan Mohamed Azmin tidak boleh bekerjasama itu terpulang kepada mereka. Namun begitu saya lihat masih ada hubungan baik antara mereka. Berkaitan isu tidak hadir mesyuarat, saya tidak boleh atur program dia, itu hak dia untuk masuk mesyuarat atau tidak, dalam perlembagaan ada klausa yang boleh diambil ke atas watak-watak yang tidak menghormati perlembagaan parti. Namun begitu, bagi saya bila kamu sudah memegang jawatan akurlah dan berperanan sebagai orang yang diberikan amanah.

Berhubung penyebaran video seks sejenis melibatkan Timbalan Presiden PKR, apa pandangan Datuk?

ABDULLAH SANI: Kita serahkan kepada polis untuk siasat jadi kita kena tunggu maklum balas daripada polis, yang boleh dikatakan salah atau tidak ia perlu melalui proses mahkamah. Apabila Haziq mengaku, dia perlu diberikan surat tunjuk sebab mengapa dia buat begitu dan sebagainya menjurus ke arah perbuatan itu.

Apabila beliau menafikan, maka buat laporan polis, pergi ke mahkamah dan cabar pengakuan dia, baru dia dilihat bersih. Pada peringkat awal saya tidak tahu cerita sebenar tetapi sekarang budak itu sudah pun mencabar dia di mahkamah jadi bagi saya ini sudah terlampau berat, jadi saya minta dia terima cabaran itu dengan memfail laporan polis dan kemudian masuk ke mahkamah. Kemudian biar rakyat lihat siapa yang benar dan menipu.

Pakar dari Australia mengesahkan video ini tulen dan jika siasatan pihak polis selari dengan penemuan ini apakah keputusan parti?

ABDULLAH SANI: Keputusan yang sewajibnya perlu diambil. Malah, Anwar pun sudah bercakap baru-baru ini menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan dan selepas itu barulah parti akan mengambil langkah seterusnya. Siapapun kalau ada skandal atau rasuah kita tidak akan berkompromi tetapi kita tidak boleh menzalimi dan memfitnah sesiapa jua.

Terdapat perbezaan tindakan yang diambil ketika kes liwat pada 1998 dan sekarang oleh pemimpin tertinggi kerajaan.

ABDULLAH SANI: Sebab itu kalau kita masih berpegang pada prinsip berpilih kita tidak boleh majukan ummah dan negara. Tidak kira siapa pun mereka kalau bersalah kita hukum, kita tidak akan benarkan rasuah, kecurian, rompakan dan penyelewengan dalam kerajaan yang kita pimpin nanti. Ayat ini saya pernah laungkan di seluruh negara sebelum ini, jadi adakah saya hendak tarik balik ayat-ayat ini? Munafik saya nanti.

Berhubung pera­lihan kuasa Datuk sentiasa dilihat konsisten namun begitu, ada pihak melihat beberapa kenyataan Perdana Menteri berubah-ubah.

ABDULLAH SANI: Sebab isu ini ada orang gelar saya sebagai anjing kurap dan lain-lain lagi, kalau saya anjing kurap, orang itu apa? Saya ada pengalaman selama tiga penggal sebagai ahli parlimen jadi tidak perlu layan orang macam ini.

Saya konsisten dalam konsensus komponen PH iaitu Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri, Dr. Wan Azizah sebagai timbalannya dan Anwar sebagai bakal Perdana Menteri. Kita memang sudah bersetuju dan ada perjanjian, jadi orang yang tandatangan ini kena berpegang kepada janji.

Saya hendak isu ini dihentikan, sebenarnya kita terlepas pandang dalam komponen PH kita ada Majlis Presiden, mereka ini yang membuat keputusan dan saya tidak bimbang dengan mereka. Cuma yang saya menyampah orang yang berada di luar yang duduk di apit kanan dan kiri yang menjadi penghalang kepada resolusi ini dilaksanakan.

Jika alasan untuk terus pegang jawatan selama dua tahun kerana masalah ekonomi bagi saya masalah ekonomi berlaku sejak zaman Rasulullah hingga sekarang dan sebab itu ada zakat dan fakir miskin.

Kalau dia kata hendak pegang jawatan selama tiga tahun untuk menyelesaikan hutang negara, prestasi Anwar pada 1993 hingga 1998 kita tidak berhutang tetapi kita bayar hutang balik, beliau membuktikan pada dunia kerajaan yang ada sumber dan hasil mampu membayar semula hutang kerana beliau mengamalkan pendekatan perbelanjaan berhemat.

Saya kagum waktu itu kerana Allah telah memberikan satu cahaya kepada negara ini tetapi masuk 1998 orang lain ambil alih dan negara berhutang lagi. Adakah dengan memberikan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar beliau tidak mampu lakukan? Saya yakin negara akan menjadi lebih baik dan kemahuan rakyat akan tercapai.