--

Pengetahuan perubatan yang diajar di institusi pengajian tinggi (IPT) hanyalah berperanan melahirkan golongan pekerja bagi meme­nuhi keperluan industri terutamanya hospital swasta dan syarikat farmaseutikal.

Pihak-pihak ber­kenaan sudah pasti memberikan keutamaan kepada kaedah rawatan dan ubat-ubatan konvensional yang dapat menjana pendapatan lumayan.

Kaedah perubatan alternatif kebiasaannya tidak memerlukan perbelanjaan tinggi, sekali gus tidak akan memberikan sebarang keuntungan jika dikembangkan.

Walaupun tidak diajar di universiti, bukan bererti pe­ngetahuan berkenaan tidak benar kerana ilmu itu adalah hasil kajian ramai saintis yang ada dalam kalangan mereka pernah memenangi Hadiah Nobel.

Antara nama ahli sains yang banyak membuat kajian tentang kaedah alternatif merawat kanser ialah Profesor Dr. Ernesto Contreras dari Mexico, Dr. Linus Pauling dan Dr. William Donald Kelley dari Amerika Syarikat serta Profesor Dr. Otto Heinrich Warburg dari Jerman.

Dalam buku ini, pembaca akan diperkenalkan dengan perubatan alternatif orthomolekul yang me­rujuk kepada satu kaedah rawatan yang memerlukan pesakit mengambil makanan tambahan untuk menguatkan tubuh bagi melawan kanser.

Walaupun terdapat hujah-hujah dari segi sains, pandangan itu tidak diterima secara rasmi oleh pihak berkuasa. Perkara itu terbukti apabila ada artikel yang dimuatkan dalam laman web Kementerian Kesihatan di www.myhealth.gov.my/pemakanan-untuk-pesakit-kanser/ yang menyebut:

“Semua orang perlukan makanan yang seimbang bagi memenuhi segala keperluan badan. Begitu juga dengan pesakit kan­ser. Tiada makanan yang dapat menyembuhkan kanser dan tiada makanan spesifik yang perlu dimakan atau dielak jika anda menghidapi kanser.”

Sebenarnya, rawatan alternatif amat bermanfaat sebagai pilihan kepada individu yang tidak dapat menjalani rawatan konvensional kerana pelbagai sebab termasuk faktor usia dan tidak mempunyai sumber kewangan yang banyak bagi me­ra­wat kanser yang secara purata adalah sebanyak RM400,000 bagi setiap pesakit.

Pada masa sama, rawatan konvensional bagi kan­ser tidak banyak berubah iaitu pembedahan dan terapi radiasi serta disusuli kemudiannya kemoterapi iaitu menggunakan ubat-ubatan kimia sama ada dimakan, suntikan atau disapu pada kulit.

Kaedah kemoterapi terus digunakan sehingga kini walaupun mempunyai pelbagai kesan sampingan dan rata-rata pesakit yang dirawat biasanya hanya dapat hidup sehingga maksimum lima tahun sahaja.

Antara kesan buruk kemoterapi adalah pendarahan pada mulut dan lain-lain rongga tubuh, kulit menjadi bersisik dan berkedut, keguguran rambut, muntah-muntah serta hilang selera makan.

Kos menjalani kemoterapi ba­gi setiap sesi adalah kira-kira RM2,000 di hospital kerajaan dan antara RM5,000 hingga RM10,000 di hospital swasta.

Menurut penulis, nisbah pesakit kanser pada 1910 adalah seorang bagi setiap 33 orang tetapi bilangan penghidap meningkat dengan mendadak dengan nisbah sekarang adalah seorang bagi setiap empat orang.

Di Malaysia kanser turut menjadi pembunuh nombor dua selepas penyakit jantung dengan kira-kira 25,000 kes baharu direkodkan setiap tahun.

Peningkatan itu disebabkan oleh faktor makanan, minuman dan udara disedut orang ramai yang telah dicemari pelbagai jenis bahan kimia akibat daripada arus pembangunan.

Situasi itu menyebabkan tubuh dipenuhi toksin yang melemahkan sistem imunisasi bagi melawan penyakit secara semula jadi.

Dalam buku ini, penulis menggariskan beberapa perkara yang perlu diketahui apabila seseorang itu disahkan menghidap kanser.

Pertama, pengambilan gula yang banyak akan menyebabkan sel-sel kanser merebak dengan cepat. Oleh itu, elakkan mengambil makanan yang mengandungi gula tinggi seperti nasi, tepung, buah-buahan dan susu.

Seeloknya hanya makan sedikit nasi untuk mendapatkan tenaga dan memperbanyakkan mengambil sayur-sayuran.

Kedua, sel-sel kanser akan mengecut dan tidak mudah membiak apabila darah pesakit bersifat alkali iaitu pada pH8. Langkah ini hanya boleh berlaku jika seseorang itu memakan garam galian yang menyebabkan berlaku proses ionization.

Ketiga, bekalan makanan kepada sel-sel kanser perlu di­sekat bagi mengelaknya membiak dan ketulan bertambah besar. Ini boleh dilakukan dengan mengambil curcumin tanin iaitu sejenis bioenzim yang terdapat dalam kunyit.

Keempat, untuk memastikan penyakit itu dapat dirawat sepenuhnya, lapisan protein yang melindungi nukleus atau pusat sel kanser perlu dipecahkan dengan mengambil ekstrak bromilin daripada nanas.

Apabila pelindung itu telah dipecahkan, pusat sel kanser akan terdedah dan terapung di dalam darah sekali gus senang untuk dimusnahkan.

Kelima, pusat sel kanser boleh dimusnahkan dengan mengambil vitamin B17 daripada biji aprikot. Dalam vitamin itu terdapat satu komponen penting iaitu benzaldehyde yang akan mematikan pusat sel kanser sepenuhnya.

Keenam, setelah sel-sel kanser dimusnahkan seseorang itu boleh mengambil enzim polyphenols dari kulit manggis yang mengandungi antioksidan kuat bagi mengelak penyakit berkenaan berulang.

Mereka yang ingin membeli buku ini boleh menghubungi penulis di talian 03-33590488.