Walaupun kerajaan beliau yang baru beberapa bulan ditubuhkan itu menjadi perhatian rakyat negara ini dan dunia, Dr. Mahathir tanpa ragu-ragu mengakui beliau belum berpuas hati dengan prestasi mereka.

Sebenarnya umum mengetahui barisan Kabinet beliau masih 'hijau' dan tidak berpengalaman dalam mentadbir negara, sebab itu rakyat pun tidak terlalu menaruh harapan tinggi untuk melihat kejayaan serta merta daripada Kabinet ini.

Pendek  kata,  kesilapan-kesilapan yang dilakukan mereka di peringkat ini masih boleh dilihat sebagai 'budak baru belajar’' jika mereka benar-benar ikhlas bekerja untuk memajukan negara dan bukan untuk mencari kesenangan dan kepentingan diri.

Jika dilihat daripada masa yang agak lama bagi Dr. Mahathir mengisi kekosongan jawatan-jawatan menteri dan timbalan menteri itu juga sudah menunjukkan beliau  menghadapi masalah untuk mendapatkan tokoh-tokoh berkaliber dan layak untuk mengisi kekosongan yang ada.

Pengakuan dibuat Dr. Mahathir sepatutnya diambil sebagai iktibar untuk mereka bekerja lebih keras dan memperbaiki segala kelemahan-kelemahan yang ada.

Tabiat mengkritik dan menyalahkan kerajaan sebelum ini  terhadap apa juga masalah yang wujud dalam pentadbiran sepatutnya sudah boleh dihentikan. Cukup, cukuplah.  Tuduhan-tuduhan pedas yang dilemparkan kepada kerajaan terdahulu itu jika dibuat  berulang-ulang kali akan menjadi 'tawar' dan kurang berkesan. 

Lama kelamaan rakyat akan muak dengan apa yang dilemparkan. Jangan sampai orang berkata 'tak tahu menari dikatakan lantai jongkang-jongket.' Gunalah peluang ini untuk membuktikan kerajaan yang ada lebih baik dan berjaya. Jangan dipersia-sia kepercayaan yang diberi rakyat.

P.S : Elak 'dendam’ dalam mentadbir negara...

PANTAI TIMUR LEBIH MEMERLUKAN LEBUH RAYA
KONTROVERSI projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) belum ada titik noktah sama ada  akan diteruskan atau dibatalkan eko­ran kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Jika dibatalkan, kerajaan PH wajar memberikan alternatif untuk tidak menghampakan penduduk di Pantai Timur  dan projek terbaik menggantikan ECRL ialah menyambungkan Lebuh Raya Karak dengan pembinaan lebuh raya baharu dari Bentong, Raub, Kuala Lipis di Pahang sehingga Gua Musang dan Kota Bharu di Kelantan.

Dengan adanya jaringan lebuh raya baharu, selain dapat mengatasi kemalangan yang kerap berlaku,  kerajaan dapat mengurangkan 'derita balik kampung' yang kerap dihadapi ratusan ribu perantau setiap kali tibanya musim cuti perayaan atau persekolahan.

Penduduk yang pulang berkenderaan menggunakan lebuh raya juga tidak menghadapi masalah untuk meminta ahli keluarga menunggu di stesen kereta api atau terpaksa mengeluarkan kos tambahan bagi tambang teksi atau bas ke destinasi seterusnya.

Begitu juga apabila di kampung halaman, mereka masih boleh menggunakan kenderaan sendiri dan tidak perlu bergantung atau terpaksa menebal muka meminjam kereta kawan atau ahli keluarga lain untuk ke mana-mana.

Dari segi impak ekonomi, lebuh raya baharu bakal merancakkan lagi perekonomian di Pantai Timur  termasuk lebih banyak pekan dan taman perumahan baharu dapat dibangunkan selain dapat  menambah peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Sekiranya pembatalan projek ECRL menimbulkan rasa kurang senang pemimpin China, kerajaan PH bolehlah menawarkan alternatif seperti membenarkan syarikat dari negara itu untuk terlibat sama dalam projek lebuh raya berkenaan.

Rasanya jika pengundian dilakukan, majoriti penduduk di Kelantan dan Pahang akan memilih projek lebuh raya dan kerajaan PH pun tidak pening kepala untuk membuat keputusan sama ada wajar atau tidak projek ECRL diterus atau dibatalkan. 

P.S : Mudoh nok kelik kapung...


APA KHABAR DENGAN BN?

SEPERTI diduga PRK yang berlangsung di DUN Balakong dan Seri Setia tetap menyebelahi kerajaan Pakatan Harapan memandangkan mood rakyat masih belum 'berselera' membuat perubahan dengan kurang 45 peratus turun mengundi.

Semua taktik nampaknya sudah dicuba terutama MCA yang secara terbuka menerima sokongan dan bantuan Pas ketika berkempen. Ini berbeza dengan prinsipnya yang menolak Pas sebelum ini kerana dasar dan perjuangannya.

Maka calonnya, Tan Chee Teong berjaya mengekalkan deposit berbanding calon mereka ketika PRU lalu.Begitu juga dengan calon Pas bertanding di DUN Seri Setia, Dr. Halimah Ali yang berjaya merampas satu daerah mengundi PH dan juga BN. Selain itu melalui sokongan BN, Pas berjaya meningkatkan kadar undi, daripada 10.39 peratus kepada 41.28 peratus.

Bagaimanapun berdasarkan pemerhatian dan cakap-cakap penduduk setempat seolah-olah ada satu kelompongan. Bagi mereka apabila BN tidak bertanding sebagai satu pasukan momentum itu seolah-olah hilang. Kesepakatan pelbagai kaum itu turut sunyi tidak seperti selalu.

Nampak gaya realiti politik perlu diutamakan dan elaklah sentimen serta adu domba yang merugikan kerana Malaysia terdiri dari berbilang kaum walaupun majoritinya Melayu dan Islam. Itupun kalau BN nak menanglah.

P.S : Cukuplah berdrama, terima hakikat...