Kepalanya bagaikan dihentak batu ketika menerima berita itu terutama ketika dia sedang bertarung dengan fibrosis sista, penyakit keturunan yang menyukarkan golongan lelaki untuk memperoleh anak kecuali dengan rawatan pembenihan in-vitro (IVF).

“Dahulu jika orang bertanya siapa saya, saya akan jawab, saya bapa kepada tiga anak lelaki, namun kini saya tidak tahu siapa diri saya kerana secara tiba-tiba saya sebenarnya tidak mempunyai seorangpun anak,’’ katanya.

Mason, 55, tidak pernah meragui bahawa dia adalah bapa kandung ketiga-tiga anak lelakinya sehinggalah dua tahun lalu apabila dia disahkan menghidap fibrosis sista.

Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan ujian lain yang dilakukan mengesahkan jutawan itu bukan bapa kandung kepada anak lelaki sulungnya yang kini berusia 23 tahun dan anak lelaki kembar yang berusia 19 tahun.

Akibat pendedahan itu, hubungan Mason dan anak-anak lelakinya kini punah malah dua daripada anaknya itu tidak mahu menghubunginya lagi.

Kes tersebut menjadi perhatian selepas Mason menuntut pemulangan 4 juta pound (RM20.9 juta) wang pampasan perceraian yang diberi kepada bekas isterinya, Kate, 54, selain menyaman wanita itu kerana melakukan penipuan tentang bapa sebenar ketiga-tiga anak lelakinya.

Kate kemudian diarah membayar 250,000 pound (RM1.3 juta) kepadanya selepas mahkamah memutuskan wanita itu berhak merahsiakan bapa sebenar ketiga-tiga remaja lelaki berkenaan.

Mason percaya ketiga-tiga anak lelakinya itu mempunyai bapa yang sama selepas bekas isterinya mengaku menjalin hubungan sulit selama empat tahun dengan seorang lelaki lewat 1990-an.

Namun wanita tersebut hanya mengakui mempunyai hubungan itu pada 2016, iaitu selepas 10 tahun mereka bercerai itupun setelah Mason bersemuka dengannya mendesak penjelasan tentang bapa kandung ketiga-tiga anak lelakinya.

Malah menurut laporan portal Daily Mail, tidak diketahui sama ada bekas kekasih Kate tahu bahawa dia mempunyai tiga anak hasil hubungan itu.

Hakikatnya, kata Mason, dia telah mendapat petunjuk tentang penipuan ketika ketika Kate hamil anak pertama kerana secara tiba-tiba bekas isterinya itu berminat terhadap agama Judaisme dan mendesak agar nama ketiga untuk semua anaknya diberi nama Yahudi dan enggan mereka dibaptiskan.

Pasangan itu yang adalah rakan sejawat di bank Barclays berkahwin pada 1987 dan tujuh tahun kemudian Kate hamil anak pertama namun selepas 20 tahun mereka memutuskan untuk bercerai.

Selain membayar wang 4 juta pound sekali gus kepada isterinya, Mason turut membayar hampir 3,000 pound (RM15,720) setiap bulan kepada bekas isterinya sebagai perbelanjaan.

Namun jumlah itu tidak mencukupi untuk Kate kerana dia terus menganggu Mason dan mengupah penyiasat untuk menyelidik akaun kewangan bekas suaminya bagi menuntut lebih bayaran.

Kini bekas isterinya hidup mewah di sebuah rumah tujuh bilik bernilai 1 juta pound (RM5.2 juta) di Uttoxeter, Staffordshire bersama-sama teman lelakinya di samping memiliki deretan kereta mewah termasuk Range Rover Vogue dan Mercedes Cabriolet.

Kata Mason, dia masih menyayangi ketiga-tiga anak lelakinya itu dan masih melayari Facebook milik anaknya untuk melihat aktiviti yang mereka lakukan, merindui kenangan bersama semasa mereka melalui alam remaja dan percutian bersama sekeluarga.

“Hati saya hancur. Seolah-olah saya hidup dalam dunia Matrix kerana semua yang selama ini saya ketahui benar dan wujud hakikatnya tidak benar dan tidak pernah wujud.’’

“Saya bukan seorang bapa, saya tidak mampu mempunyai anak dan tiada siapa yang akan meneruskan keturunan saya,’’ katanya.

Lebih menyedihkan apabila anak sulungnya itu tidak menjemputnya menghadiri majlis graduasi.

“Dia pernah memberitahu tidak akan bercakap lagi dengan saya jika saya menyaman ibunya,’’ kata Mason yang sudahpun berkahwin dengan wanita bernama Emma.

Baru-baru ini, salah seorang anak lelakinya menghantar mesej memberitahu bahawa Mason selama-lamanya bukan bapa kandungnya, namun dia tetap menyayangi dan akan sentiasa menghubunginya.

Mason kini menawarkan 5,000 pound (RM26,201) untuk sebarang maklumat bagi membantu mengenal pasti bapa kandung ketiga-tiga anak lelakinya itu.