Satu demi satu 'pasar' dibuka, ditinjau seper­ti ebay, Facebook, Amazon, Lazada, Alibaba, mudah.my dan paling terbaharu, Carousell. Saya mencari peralatan sukan berbasikal dan sebagai langkah berjaga-jaga dan fasa belajar, saya hadkan transaksi tidak mele­bihi RM100 untuk pembelian sesuatu barang.

Ini kerana di sebalik ce­rita tentang kelebihan dan perkembagan e-dagang, ter­dengar dan terbaca juga perihal kebu­rukan seperti peniaga meni­pu, duit sudah dibayar tetapi barangan tidak kunjung tiba atau barang tiba tetapi kualiti tidak seperti dijangkakan.

Bila bermula dengan RM100, saya berpendapat risiko di atas masih boleh saya tampung. Saya beli seluar untuk sukan basikal. Ya ada seluar khas, bukan jenis yang dipakai jaguh pecut Asia, Mohd. Azizulhasni Awang. Pada usia belia veteran ini, memakai seluar getah sendat terasa sangat tidak selesa. Jadi seluar yang saya beli adalah jenis MTB (Mountain Bike) yang longgar, banyak poket dan menyerap peluh. Campur kos pos laju, RM90 sehelai.

Pertama kali bungkusan sampai, memang seronok. Pembelian kedua menyusul. Pada masa yang sama, saya gunakan seluar untuk aktiviti. Pakai sekali, bagus. Pakai kali kedua, zip tiba-tiba keras. Langsung patah. Inilah yang diperkatakan tentang kualiti. Patutlah murah. Seluar basikal biasanya berharga RM150 ke atas, kebanyakannya jenama pengeluar sukan berbasikal yang terkenal. Pelajaran pertama: murah tidak semestinya berkualiti!

Fasa kedua pembelajaran ialah proses menjual. Harus diingat, pengalaman ini adalah sebagai individu yang menjual barangan secara sendirian, bukan wakil penjual barangan secara stok atau besar-besaran seperti ubat kuat atau tudung wanita.

Saya cuba di platform terkemuka ebay. Saya letak satu barang yang saya yakin akan menarik perhatian pembeli antarabangsa iaitu jaket kelab bola sepak yang dalam simpanan saya sejak dua dekad.

Ebay memberi peluang un­tuk anda menjual terus, atau mengadakan bidaan. Apabila berjaya menjual, ebay akan mengenakan yuran kecil kerana menggunakan platformnya.

Dan saya letak sebut harga juga dalam mata wang Pounds Sterling. Tak mahal hanya £20 sebagai harga permulaan bida.

Jika barang anda menarik, ramai akan menyertai proses bida, iaitu yang tertinggi akan menang. Dari £20 ia boleh melambung £40 bermakna anda berpotensi mendapat balik modal, dan margin 100 peratus.

Proses jualan ini juga mem­beri pengalaman menarik kerana ia memaksa saya meng­hubungi Pos Malaysia dan beberapa syarikat kurier pula bagi mendapatkan sebut harga kos kurier ke luar negara, misalnya ke Singapura, caj Pos Laju untuk menghantar baju ialah lebih RM70 mengikut berat.

Kelebihan ebay ialah pe­lang­­­gan anda boleh terdiri daripada dalam Malaysia dan luar negara. Saya saran anda sasar luar negara kerana dengan nilai mata wang Ringgit lemah sekarang, berdaganglah dalam dolar Amerika Syarikat atau Pounds Sterling, pasti menguntungkan.

Cuma, anda kena selidik mendalam harga pasaran sesuatu produk. Jangan letak harga sesuka hati. Tinjau sebanyaknya. Dan letaklah harga minimum sebagai taktik. Ingat, seseorang pembeli dalam talian juga berbuat sama. Dia juga meninjau, mengkaji semua pasaran untuk mendapatkan harga terbaik!

Paling terkini yang saya cuba ialah Carousell. Ia mempunyai pasar mengikut negara iaitu Filipina, Hong Kong, Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia. Bila anda mendaftar di Malaysia, tentunya anda akan diberi pasaran Malaysia.

Saya membuka pasaran Singapura menerusi enjin carian biasa, dan klik logo 'hati' bermakna anda 'berminat'. Kemudian saya buka akaun saya sendiri dan mendapati apa yang saya berminat di Singapura itu, tertera di dalam akaun. Bermakna ia juga merentas negara.

Carousell Malaysia adalah platform khusus untuk anda yang mahu melupuskan barangan yang tidak diguna lagi di rumah seperti jaket yang bersaiz kecil, barang lusuh atau pakaian dengan syarat semuanya masih dalam keadaan elok.

Katakanlah anda ada seluar jeans yang sudah tidak muat, Carousell adalah lokasi anda mendapat duit daripadanya. Harganya janganlah ikut harga SST sekarang. Carousell ini saya dapati ada dua golongan penjual iaitu orang perseorangan dan peniaga bundle.

Lebih mudah berurusan dengan individu sebab niat mereka lebih kepada melupuskan barangan, bukan mengaut margin seperti peniaga bundle. Saya ada pengalaman tiga bulan pujuk memujuk agar peniaga menurunkan harga jaket. Sesen pun dia tidak berganjak.

Anda boleh berbuat demikian jika yakin barangan anda adalah 'jarang kedapatan' atau 'tiada lagi di pasaran' menjadikannya barangan 'amat bernilai', sekali gus menjadikannya buruan penggemar. Cuma, berhati-hati kerana barangan tiruan juga dilabel penjual sebagai rare item.

Inilah sedikit sebanyak petua yang boleh dikongsi Merrepak untuk anda mengambil manfaat daripada perluasan e-dagang. Jangan jadi pembeli sahaja. Anda juga boleh menjadi penjual dan mendapat duit tambahan, hasil barangan peribadi anda yang tidak lagi diperlukan hari ini.