Personaliti bermaksud, keperibadian dan perwatakan yang membawa imej diri seseorang. Sebab itu apabila bertemu dengan orang berpersonaliti negatif, kita akan berasa tidak selesa, geram, sakit hati atau berkecil hati. Sering beranggapan diri ini tidak berguna langsung di sisinya. Sebab itu sedaya upaya kita cuba mengelakkan diri daripada orang berpersonaliti negatif. Imej dirinya yang negatif itu membuatkan orang lain berasa rendah diri di sisinya, tenggelam dalam keegoannya.

Sebaliknya orang yang berpersonaliti positif sering membuatkan orang lain berasa hebat ketika berada di sisinya. Tidak menganggap orang lain menggugat atau menjadi pesaing kepadanya. Apabila bertemu dengannya kita berasa seronok dan disayangi. Tidak berasa takut dan stres selain berasa diri dinilai dan dihargai. Kita suka mendekatinya atau teringin sangat untuk bertemunya. Oleh itu ubahlah akhlak yang buruk dengan mengikut akhlak Rasulullah SAW kerana hanya baginda idola terbaik dan berpersonaliti positif.

Jadilah kita manusia hebat di sisi Allah dan di sisi semua makhluk Allah dengan mengamalkan enam perkara. Pertama, bertakwa kepada Allah. Takut dengan larangan-Nya dan lakukan segala suruhan-Nya secara istiqamah. Tanpa istiqamah maka hilanglah nilai sebuah kehidupan.

Jangan terlalu sibuk dengan urusan dunia sehingga lupa tujuan manusia dicipta oleh yang Maha Esa. Sabda Rasulullah “Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Amalan yang paling Allah suka adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” -Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Kedua, untuk menjadi orang yang hebat di sisi Allah, mengadu dan bergantunglah kepada-Nya. Letakkan dahimu di sejadah dan basahi sejadah dengan air matamu. Percayalah, kesedihan itu mengecil jika dirahsiakan dan membesar jika dikeluhkan kerana manusia hanya melihat dengan pandangan mata fizikalnya tetapi Allah memandang dengan pandangan kasih sayang-Nya.

Sebagai Penguasa sekalian alam, perancangan Allah tidak pernah salah. Semakin diuji dengan kesedihan semakin meningkat keimanan dan keyakinan serta kebergantungan seseorang kepada Allah. Itulah tanda orang yang hebat di sisi-Nya.

Ketiga, bermuhasabah. Allah memberikan kebaikan, hidayah atau petunjuk apabila seseorang itu mendapat kesedaran untuk bermuhasabah, membetulkan diri menurut pandangan Allah. “Bersihkan halaman sendiri dahulu, baru bersihkan halaman orang”, bak kata peri bahasa Melayu. Yang bermaksud, sibukkan diri dengan membetulkan keaiban dan kekurangan diri hingga tidak sempat melihat keaiban orang lain.

Banyakkan beristighfar. Sesungguhnya beruntung orang yang mendapati dalam buku catatan amalnya banyak istighfar. Maka jom audit diri, bertaubat dan beristighfar. Bersyukur kerana Allah masih memberi peluang kita bernafas, membersihkan diri daripada dosa dan berubah menjadi orang lebih baik.

Keempat, untuk menjadi orang yang hebat di sisi manusia pula, jadilah orang berakhlak. Jangan buka aib orang. Bagaimana benci dan marah sekalipun kepada seseorang tolong didik hati jangan buka aib orang. Jika suka membuka aib orang aib kita akan didedahkan oleh Allah pada hari perhitungan kelak.

Sesungguhnya orang yang berpersonaliti negatif, sentiasa berasakan dirinya lebih baik. Sering menyembunyikan keburukan diri dan sibuk mencanangkan keburukan orang lain.

Hanya mereka yang berpersonaliti hebat akan sentiasa berasa dirinya sentiasa kekurangan dan atas sebab itu ditingkatkan ketakwaannya dengan mengerjakan solat sepenuh jiwa. Setiap kali bersolat, mereka akan bermohon kepada Allah dalam bacaan doa duduk antara dua sujud demi melindungi aib. Antara maksud bacaan doa tersebut adalah, “Ya Allah ampunilah aku, tutuplah aibku, tinggikanlah darjatku....” Hal ini menunjukkan betapa sebagai manusia banyak aib diri yang hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui dan mampu menutupnya. Hakikatnya, pembersihan jiwa tidak berlaku selagi kita melihat keburukan dalam diri orang lain dan menutup keburukan diri sendiri.

Kelima, untuk menjadi orang yang hebat di sisi manusia, jangan berburuk sangka. Ingatlah jika benar sangkaan sekalipun, seseorang itu tidak akan mendapat pahala. Jika sebaliknya berlaku kita yang berdosa. Persoalannya mengapakah hidup ini, terlalu mudah kita melakukan dosa sedangkan pahala tidak sebanyak mana.

Justeru, gunakan akal dalam menilai baik dan buruk orang yang berdamping dengan kita. Gunakan akal juga dalam membuat pilihan yang betul. Jangan remehkan orang yang diam dan jangan terlalu percaya serta terpesona dengan mereka yang bijak berkata-kata dan berbicara manis di hadapan kita.

Keenam, orang yang hebat ialah orang yang bersedih tetapi berusaha membahagiakan orang lain. Walaupun, tidak berupaya mereka sentiasa bersedia membantu dan memberikan kerjasama. Sentiasa sedar bahawa hidup di dunia sebagai destinasi untuk memberi, dan hidup di akhirat sebagai tempat untuk menerima. Tidak ada istilah bersaing, tetapi sentiasa bekerjasama.

Sesungguhnya, orang yang hebat, akan membuat orang yang bersama-samanya turut juga merasa hebat sepertinya. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.