BN diwakili oleh bekas penolong tadibir pegawai tadbir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Zakaria Hanafi, 58; PH diwakili oleh seorang jurutera juga Bendahari Bersatu Bahagian Hulu Langat, Muhammad Aiman Zainali, 30, manakala PSM diwakili oleh Ahli Jawatankuasa Pemuda Pusat, Nik Aziz Afiq Abdul, 25.

Selepas selesai proses penamaan calon semalam, ketiga-tiga calon itu sah bertanding termasuk seorang calon Bebas, Kuan Chee Heng. Mereka akan berkempen selama dua minggu. PRK DUN Semenyih diadakan ekoran kematian penyandangnya, Allahyarham Bakhtiar Mohd. Nor dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu.

Inilah serba sedikit perkembangan terkini politik tanah air. Selain PRK DUN Semenyih, agak hebat juga satu berita ini iaitu kemasukan enam bekas Ahli Parlimen UMNO menyertai Bersatu. Ada yang mengalu-alukannya dan tidak kurang juga yang mengecam khususnya DAP.

Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu adalah antara pemimpin DAP yang lantang menentang penyertaan mereka ke dalam Bersatu. Bagi Ronnie apa yang berlaku itu sungguh mengecewakannya. Penulis sendiri tidak tergamak untuk menulis dalam ruangan ini gelaran yang diberikan oleh Ronnie kepada mereka. Beberapa pemimpin DAP lain turut senada dengan Ronnie.

Okeylah terpulanglah kepada masing-masing tentang kewajaran tindakan mereka itu. Bagi penulis tidak ada masalah. Mereka ada hak untuk berbuat demikian. Lagipun Malaysia adalah negara demokrasi. Melainkan kita ada undang-undang yang menghalang seseorang ahli Parlimen itu lompat parti.

Seperkara lagi, sudah tentu enam bekas wakil rakyat UMNO ini ada sebab mengapa mereka berbuat demikian. Hanya mereka sahaja yang ada jawapannya. Cuma apa yang penulis ingin katakan di sini, sebagai pemimpin yang bermoral dan berprinsip keenam-enam ahli Parlimen tersebut perlu meletakkan jawatan agar PRK dapat diadakan.

Enam Ahli Parlimen terbabit ialah Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad (Mersing); Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Datuk Shahbudin Yahaya (Tasik Gelugor); Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Tidak terkecuali Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) dan Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) juga perlu melakukan perkara yang sama. Ini bermakna sembilan PRK bakal diadakan sekiranya kesemua mereka bertindak meletakkan jawatan atas nama moral, prinsip dan integriti.

Jika orang bertanya, mengapa mereka perlu meletakkan jawatan? Jawapannya cukup mudah. Ini kerana kemenangan mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu adalah atas tiket UMNO dan BN.

Mereka bertanding atas nama parti dan bukan individu. Segala jentera, perbelanjaan dan apa-apa yang berkaitan dengan penyertaan mereka dalam PRU-14 diuruskan oleh parti. Jadi, kemenangan mereka adalah atas nama parti.

Sehubungan itu mereka wajar meletakkan jawatan segera. Jangan ditangguh lagi. Penulis percaya ada di antara pengundi-pengundi merasa diri tertipu akibat tindakan pemimpin yang seumpama ini. Sokong bagai nak rak tetapi lepas menang mereka bertindak lompat parti.

Bekas-bekas wakil rakyat UMNO yang masuk Bersatu ini tidak perlu khuatir, jika yakin dengan pengaruh masing-masing, kesemua mereka boleh bertanding semula atas tiket PH dalam PRK tersebut. Penulis percaya pucuk pimpinan PH tiada masalah. Tidak tahulah jika mereka ada calon lain.

Tentang saman pula, itu hak UMNO. Mungkin saman akan ditarik balik jika semua mereka ini bersetuju meletakkan jawatan. Pertimbangkanlah cadangan ini supaya rakyat atau pengundi kawasan Parlimen terlibat diberi hak untuk memilih semula demi sebuah keadilan.