Bagaimanapun, nasib ternyata menyebelahinya. Ryan Bowring, 25, hanya mengalami kecederaan di bahagian kaki berbanding kes serangan jerung yang berlaku di kawasan percutian sama November lalu sehingga meragut nyawa seorang doktor yang bertugas di Pusat Perubatan Melbourne Austin.

Daniel Christidis, 33, yang ketika itu sedang berenang di kawasan Cid Harbour bersama rakan-rakannya secara tiba-tiba diserang oleh seekor jerung yang tidak dapat dikenal pasti spesiesnya sehingga mengalami kecederaan parah. Biarpun cuba diselamatkan oleh pasukan perubatan, luka parah dialaminya akibat dibaham oleh jerung menyebabkannya mati ketika dalam penerbangan ke hospital menggunakan helikopter.

Sebelum tragedi menimpa Christidis terdapat dua lagi mangsa yang dikenali sebagai Justine Barwick dan Hannah Papps. Mereka menjadi mangsa serangan jerung dalam dua insiden berbeza pada September tahun lalu di Cid Harbour.

Kesemua insiden yang tidak dijangka ini telah menyebabkan amaran berjaga-jaga mula dikeluarkan di seluruh kawasan Great Barrier Reef memandangkan sebelum ini belum pernah berlaku kes serangan jerung terhadap manusia.

GREAT BARRIER REEF

Great Barrier Reef merupakan sistem terumbu karang terbesar di dunia dengan memiliki lebih daripada 2,900 terumbu individu dan terletak di taman marin seluas 3,000 kilometer di sepanjang kawasan Queensland. Keindahan terumbu karang ini membolehkan Great Barrier Reef diiktiraf sebagai tujuh keajaiban alam dunia dan disenaraikan sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1981.

Selain merupakan kawasan terumbu karang, Great Barrier Reef juga menjadi kawasan tarikan pelbagai hidupan laut lain seperti ikan lumba-lumba, pari, lebih 1,500 spesies ikan dan lima spesis jerung iaitu jerung terumbu white tip, whale, tassled wobbegong, jerung lemon dan jerung harimau.

JERUNG PEMANGSA

Antara kesemua spesies ini, jerung harimau merupakan spesies paling berbahaya dan pernah menyerang manusia. Boleh membesar sehingga 16 kaki (4.9 meter), spesies jerung ini akan menyerang apa sahaja haiwan di lautan yang lalu di hadapannya sebagai sumber makanan. Selain itu, jerung harimau juga diletakkan di tempat kedua selepas jerung great white yang sering menyerang manusia. Jerung jenis ini akan bersikap sangat agresif apabila dapat mengesan kehadiran manusia di dalam air.

Jerung great white atau lebih dikenali sebagai jerung putih dilaporkan paling berbahaya dan kerap menyerang manusia berbanding spesies jerung lain. Jerung jantan dewasa spesies ini lebih kecil berbanding saiz betina iaitu sekitar 10.5 kaki (3.04 meter) manakala betina pula boleh mencecah sehingga 14 kaki (4.3 meter).

Berbeza dengan jerung harimau, terdapat teori bahawa jerung putih menyerang manusia disebabkan keliru dengan haiwan marin lain dan mengalami silau ketika muncul dari dasar laut untuk memburu makanan di permukaan air. Teori ini mungkin benar kerana terdapat banyak kes serang dan lari oleh jerung putih berhampiran pesisir pantai.

Biarpun banyak kes serangan jerung melibatkan jerung putih, dilaporkan jerung bull lebih berbahaya dan merekodkan 69 serangan terhadap manusia. Insiden paling terkenal melibatkan serangan jerung jenis ini ialah berlaku pada 1916 apabila empat orang terbunuh dalam tempoh dua minggu. Tiga serangan berlaku di Matawan Creek, New York Amerika Syarikat.

ADAKAH JERUNG MENYERANG MANUSIA?

Daripada 300 spesies jerung hanya 12 spesies dilaporkan menyerang manusia. Ini kerana jerung telah wujud beratus-ratus juta tahun dahulu sebelum kewujudan manusia dan manusia bukan sebahagian diet mereka. Kebiasaannya jerung hanya makan ikan-ikan bersaiz kecil dan invertebrata iaitu jenis haiwan yang tidak memiliki tulang belakang atau tulang punggung manakala jerung bersaiz besar pula memburu haiwan seperti singa laut, anjing laut dan mamalia lain.

Bagaimanapun menurut agensi laut dan pantai Amerika Syarikat, National Ocean Service, terdapat juga kes serangan jerung terhadap manusia. Kebanyakan kes ini berlaku disebabkan jerung keliru atau berasa pelik.

Namun begitu, serangan manusia terhadap jerung adalah lebih serius. Manusia memburu jerung bagi mendapatkan dagingnya, organ bahagian dalam dan kulit untuk menghasilkan produk seperti sup sirip, minyak dan barangan kulit. Dilaporkan antara 20 hingga 100 ekor jerung dibunuh setiap tahun berdasarkan data oleh Muzium Alam Sejarah Antarabangsa Florida.