Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, DATUK SERI DR. MUJAHID YUSOF telah mengambil tanggungjawab besar dengan menggerakkan usaha supaya undang-undang jenayah syariah Islam dapat diseragamkan menjelang hujung tahun depan. Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung usaha ini wartawan Mingguan Malaysia, SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH bersama FADZIL ZAINOL, jurugambar, ROSNI MASRI dan juruvideo, MOHD. KAMARUL HASIFI telah menemu bual beliau baru-baru ini.

Mujahid Yusof diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH dan FADZIL ZAINOL di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MINGGUAN: Kenapa penyelarasan ini penting bagi kemaslahatan umat Islam 

MUJAHID: Penyelarasan dan penyeragaman ini penting dilaksanakan untuk menunjukkan keadilan dalam Islam, menunjukkan di sebalik kuasa-kuasa negeri perlu ada satu standard atau keseragaman melibatkan undang-undang jenayah syariah, contohnya kalau kita bandingkan kesalahan minum arak antara Pahang dan Selangor, ia melibatkan jenayah yang sama tetapi hukuman berbeza.

Kalau di Selangor kesalahan minum arak yang boleh dijatuhkan hukuman tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun tetapi di Pahang pula, kesalahan yang sama tetapi dendanya lebih tinggi iaitu tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun dan sebatan tidak melebihi enam rotan.

Maknanya dari segi undang-undang, jenayah yang dilakukan adalah sama tetapi kenapa hukuman yang dikenakan berbeza-beza dan kita kaitkannya dengan undang-undang jenayah syariah Islam? Maka di atas keperluan itu supaya dilihat undang-undang Islam ini seragam, selaras dan tiada interpretasi berbeza-beza dalam satu negeri atau negara yang sama maka ia menjadi satu keperluan dalam memberikan keadilan kepada umat Islam kerana hukuman ini khusus untuk umat Islam.

Kesedaran ini bukan baru datang tetapi sudah lama, apabila saya melihat ia menjadi satu keutamaan maka saya jadikan ini sebagai satu petunjuk prestasi utama (KPI) kejayaan pentadbiran apabila perkara ini boleh diseragamkan.

Bagaimana pula cabaran dan kekangan untuk menyeragamkan undang-undang syariah ini?

MUJAHID: Kembali kepada doktrin undang-undang kita iaitu doktrin Persekutuan iaitu terdapat kuasa yang diberikan kepada negeri-negeri tertentu dalam fasal kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang mana salah satu daripadanya adalah melibatkan pentadbiran Islam yang mana kuasanya duduk di bawah raja-raja Melayu.

Jadi apabila kita hendak menyeragamkan undang-undang ini contohnya melibatkan Pahang dan Selangor kita perlu merujuk kepada majlis agama negeri dan raja masing-masing. Apabila saya kata hendak selaraskan ia tidak semudah itu kerana di peringkat Persekutuan kami tiada kuasa untuk mengarahkan negeri.

Namun begitu, pendekatannya akan menjadi lebih mudah apabila kita menyediakan pelan tindakan bagi melaksanakan usaha ini antaranya dengan melibatkan pihak negeri dan berunding dengan pemegang-pemegang taruh di setiap negeri termasuk melibatkan Majlis Agama Negeri dan raja-raja sehingga perkara ini diterima secara konsensus. Kemudian barulah dibawa kepada satu penyeragaman apabila penyeragaman itu dibuat di peringkat akta di Wilayah Persekutuan.

Alhamdulillah melalui mesyuarat pre-council Majlis Raja-Raja baru-baru ini saya diminta untuk memberikan sedikit penerangan berkenaan isu-isu pentadbiran Islam yang baharu dan saya juga berkesempatan menyebut tentang penyeragaman undang-undang jenayah syariah ini. Secara konsep tiada masalah untuk raja-raja menerimanya dan melihat ia ada kebaikan, cuma isunya sekarang adalah perlu melibatkan pihak pemegang taruh iaitu Majlis Agama Islam Negeri yang kemudiannya akan membuat laporan kepada Majlis Raja-Raja.

Kemudian perkara ini akan dibawa kepada exco dan seterusnya di bawa ke peringkat Dewan Undangan Negeri untuk diputuskan sebagai satu enakmen, dengan harapan pada waktu itu kita sudah ada satu model dan model inilah yang kita sedang kumpul di setiap negeri. Model yang terbaik akan dijadikan penanda untuk diikuti oleh pihak masing-masing.

Sehingga kini bagaimana tahap kemajuannya?

MUJAHID: Sudah mencapai 40 peratus, kita melibatkan jawatankuasa sivil dan syarak yang berada di bawah kita untuk melihat perkara ini dan kemudian cadangkan isi kandungannya. Sebelum itu mereka perlu mengambil semua enakmen di setiap negeri dan kemudian tengok perbezaannya.

Selain itu, libat urus melibatkan pegawai-pegawai di peringkat negeri-negeri juga sudah mula berjalan dan saya sendiri di peringkat menteri sudah mengadakan pertemuan bersama exco agama negeri-negeri.

Kalau mengikut pelan tindakan, kita jangkakan pada hujung 2020 usaha-usaha ini dapat disiapkan. Kemudian kita akan bawa ke peringkat kami di Persekutuan dan jika sudah diluluskan maka secara automatik negeri-negeri akan bawa ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) pula kerana perkara ini tidak boleh lulus kalau tidak bawa ke peringkat DUN masing-masing.

MUJAHID YUSOF diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, Sharaimei Shaik Ahmedullah dan Fadzil Zai
MUJAHID YUSOF diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, Sharaimei Shaik Ahmedullah dan Fadzil Zainol di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, baru-baru ini. 

Adakah usaha ini dilihat seperti satu bentuk campur tangan?

MUJAHID: Perkara ini kalau diperhatikan ia sebenarnya duduk di bawah kuasa raja-raja, selagi raja-raja Melayu bersetuju dengan melihat kebaikan dalam penyeragaman ini maka tiada masalah. Campur tangan itu mesti mengikut prosedur dan tidak membelakangkan raja-raja.

Mungkin ada yang berpandangan peranan sultan cuba dikurangkan?

MUJAHID: Semua ini tidak akan dilakukan sehingga mendapat perkenan sultan-sultan. Satu daripada pelan kami adalah merujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan merujuk kepada raja-raja Melayu. Jika mereka kata setuju, baru kita teruskan.

Ia memang sudah menjadi syarat utama dalam apa-apa yang melibatkan soal Islam termasuk penyeragaman. Tanpa restu, saya tidak boleh bergerak tetapi insya-Allah maklumat lebih terperinci akan dibincangkan semasa mesyuarat MKI tahun depan. Setiap yang dibentangkan dalam MKI, akan dimaklumkan kepada raja-raja. Mesti mendapat restu dan persetujuan raja-raja, itu wajib.

Sudah adakah model terbaik untuk dijadikan pilihan?

MUJAHID: Kami belum ada lagi model terbaik tetapi kami sedang kumpulkan. Misalnya, undang-undang bagi jenayah musahakah seperti kes hubungan perempuan sesama perempuan yang berlaku di Terengganu, jika kita lihat undang-undang ini yang lebih baik kita akan usulkan, kita tidak boleh kata semua undang-undang kita sahaja yang baik.

Kerja kita sekarang adalah untuk menyelaras manakala bahagian undang-undang di Jabatan Kemajuan Islam di Malaysia (Jakim) akan membuat kajian, kemudian kita akan pilih untuk dijadikan model terbaik. Ini bermakna model terbaik bukan hanya melibatkan satu negeri tetapi ia adalah satu kombinasi daripada peruntukan-peruntukan yang ada.

Pada masa sama, ini juga satu usaha yang bersesuaian dengan satu lagi falsafah yang kita sedang tetapkan iaitu daripada falsafah punitif (menghukum) kepada memulihkan atau rehabilitatif dengan termasuk memberikan peruntukan kuasa kepada hakim-hakim mahkamah syariah untuk menentukan hukuman berbentuk rehabilitatif seperti bon berkelakuan baik, memberi ruang melakukan kerja-kerja sosial dan mengenakan hukuman yang dapat menyedarkan mereka.

Adakah cadangan untuk menetapkan hukuman rehabilitatif ini melibatkan semua jenayah syariah termasuk zina dan kesalahan serius lain?

MUJAHID: Rehabilitatif adalah kuasa hakim berdasarkan kebijaksanaan hakim dengan mengambil pertimbangan adakah itu kesalahan kali pertama, adakah masalah itu sudah menjadi mudarat kepada masyarakat sehingga tidak boleh dilakukan rehabilitatif dan mesti dijatuhkan hukuman atau pun adakah pelaku ini membuat kesalahan berulang, tak kan sudah empat kali lakukan kesalahan masih hendak rehabilitatif lagi.

Sekarang hakim tiada pilihan, hanya ada penjara atau denda walaupun itu adalah kesalahan pertama dia. Menerusi konsep rehabilitatif ini hakim boleh menggunakan kuasanya untuk menjatuhkan hukuman supaya pesalah terbabit berkelakuan baik dan dengan harapan dapat dipulihkan semula. Jadi, jangan anggap dengan rehabilitatif ini semua pesalah akan kita lepaskan.

Bagaimana pula maklum balas dari negeri-negeri?

MUJAHID: Alhamdulillah, yang menjadi rumit apabila hendak turun padang dan berbincang, ia memakan masa dan perlu melibatkan semua negeri termasuk di Sabah dan Sarawak jadi perkara ini tidak semudah disangka.

Adakah penyelarasan ini membabitkan pertambahan peruntukan undang-undang baharu?

MUJAHID: Kita tidak buat benda baharu, cuma hendak pinda supaya lebih seragam sehingga ia menjadi model yang akan dipakai di seluruh negeri-negeri.

Sejauh mana perkara ini mendatangkan kekeliruan kepada umat Islam jika ada perbezaan pelaksanaan hukuman di negeri-negeri?

MUJAHID: Ya mungkin keliru. Sebelum ini orang tidak perasan atau mungkin dalam undang-undang jenayah syariah tidak banyak menjadi isu. Yang ada hanya isu melibatkan perkahwinan dan perceraian. Mungkin ada yang tidak perasan bahawa ia sesuatu yang tidak baik apabila sesuatu jenayah yang sama itu mempunyai denda berbeza atas nama undang-undang jenayah syariah Islam.

Bagaimana pula isu ketiadaan peruntukan atau tata cara berkaitan permohonan keluar Islam dalam mahkamah syariah, adakah perkara ini juga akan disentuh?

MUJAHID: Kesalahan jenayah syariah termasuk juga isu murtad, oleh kerana kita buat satu penyelarasan kita juga akan lihat kes jenayah murtad ini, mana yang terbaik dari bentuk hukumannya dan aspek punitif tadi.

Adapun yang ditanya tadi lebih kepada soal kaedah untuk keluar (murtad) perkara itu tidak termasuk dalam pemulihan. Ini kerana kita lebih melihat kepada hukuman dan penyelarasan, jadi ini mungkin termasuk dalam kaedah-kaedah yang boleh dibaiki dan penyelarasannya juga berbeza-beza antara satu negeri dengan yang lain.

Buat masa sekarang, kita lebih kepada tentukan jenayah dan penyelarasan hukuman sama. Mengenai isu ketiadaan peruntukan dan bagaimana hendak tanganinya, perkara itu akan ada pula kajian tertentu nanti.

Adakah kerajaan bercadang untuk menggubal undang-undang berkaitan pemulihan akidah bagi menangani isu murtad ini?

MUJAHID: Akan ada melibatkan sebahagian peruntukan itu nanti. Satu lagi saya hendak ingatkan perkara ini tidak tertakluk semata-mata terhadap undang-undang tetapi juga perlu melihat soal menjaga akidah umat Islam supaya dapat diperkukuhkan termasuk dengan melibatkan dakwah dan menyedarkan orang Islam mengenai perkara dilarang.

Menyentuh bab menjaga akidah, ia semakin mencabar sekarang dan tambahan pula pelbagai isu timbul dalam tempoh setahun apabila Pakatan Harapan (PH) mentadbir, komen Datuk Seri?

MUJAHID: Isu menjaga akidah bukan sahaja berlaku pada zaman PH, antara tanggungjawab kerajaan yang diberi amanah adalah menjaga akidah umat Islam. Kerajaan menubuhkan Jabatan Perdana Menteri Bahagian Hal Ehwal Islam, agensi-agensi seperti zakat, haji, Yayasan Pembangunan Ekonomi dan Dakwah yang mana kesemuanya bertujuan menjaga akidah umat Islam.

Cabaran-cabaran dalam menjaga akidah umat Islam juga datang daripada media sosial yang terbuka. Sebab itu salah satu medan menjaga akidah ini bukan sahaja di masjid-masjid, tetapi juga dalam media sosial. Kita juga menggunakan sosial media untuk menyampaikan apakah Islam yang sebenarnya. Termasuklah dalam isu-isu Islam yang radikal, itu pun sesat juga.

Jangan nampak sesat akidah hanya dengan meninggalkan Islam tetapi yang guna Islam untuk sesatkan orang pun ramai juga. Atas kesedaran inilah kita memperkenalkan konsep rahmatan lil alamin. Pada masa sama, ini bukan soal PH tidak menjaga Islam, soalnya perancangan tersusun untuk memburukkan PH dari segi pentadbiran.

Ini dua perkara berbeza. Mereka menggambarkan begitu maka timbul isu-isu seperti menghina nabi dan sebagainya. Dahulu ada juga isu-isu ini, tetapi mengapa hari ini bila terjadi, ia disensasikan oleh politik sehingga menjejaskan usaha-usaha baik pentadbiran Islam hari ini?

Apa harapan supaya langkah penyeragaman ini berjaya?

MUJAHID: Harapan saya amat tinggi. Saya akan cuba untuk ikut pelan bahawa kita berjaya pada hujung tahun 2020. Selepas siap draf, kita bentang di Parlimen dengan harapan semua pihak sudah ambil maklum. Diharapkan selepas dibentang dan mendapat persetujuan di Dewan Rakyat, negeri-negeri pula akan ikut. Sebab itu saya bermula dari sekarang, iaitu proses bermula dengan MKI, pertemuan dengan exco negeri dan majlis agama Islam setiap negeri dan maklumkan kepada raja-raja Melayu supaya tahu apa yang kita sedang dilakukan.