Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), PROFESOR DR. P. SIVAMURUGAN, sistem pendidikan satu aliran adalah jawapan terbaik bagi mewujudkan perpaduan kaum di negara ini. Tetapi katanya, sebarang perubahan ke atas sekolah pelbagai aliran yang ada sekarang memerlukan keazaman politik daripada semua pihak.

“Buat ini saranan Datuk Kadir Jasin bahawa sekolah kebangsaan perlu kembali sebagai sekolah perpaduan untuk semua perlu dihalusi sepenuhnya dengan mengenalpasti bagaimana untuk menjadikan ia sebagai pilihan utama. Memahami punca keterhakisan kemasukan ke sekolah kebangsaan boleh membantu untuk diperbaiki dengan pendekatan untuk melahirkan kepercayaan dan keyakinan bahawa ia adalah terbaik dan bukan sebagai pilihan terakhir. 

“Sudah tiba masanya, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang selepas 30 tahun pelancarannya perlu dilihat semula untuk memulihkan perpaduan dan pembentukan jati diri seorang pelajar,” katanya kepada wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI dalam temu bual menerusi e-mel.

MINGGUAN: Malaysia sudah merdeka 61 tahun tetapi kita masih berhadapan isu ketegangan kaum seperti yang berlaku dalam isu Kuil Seri Maha Mariamman baru-baru ini. Bagaimana profesor menilai isu ini jika dibandingkan dengan apa yang berlaku di luar seperti di Barat?

DR. SIVAMURUGAN: Di Malaysia, selepas 61 tahun merdeka kita masih bercakap mengenai perpaduan kerana demografi dan alamnya adalah sedemikian rupa. Masyarakat yang rencam dengan kepelbagaian nilai budaya, agama, kaum, keturunan yang diwarisi turun-temurun menyebabkan ia adalah asas kepada pengisian dan kesinambungan pentadbiran.

Perpaduan adalah benteng kekuatan negara. Tanpa perpaduan barangkali Malaysia masih bergelut mencari titik keseimbangan untuk memastikan ia dapat memacu kecemerlangan tanpa perlu memikirkan soal pengurusan konflik antara etnik dan kaum.

Walaupun kadar celik huruf jauh meningkat, hari ini masyarakat seolah-olah lupa darjah sensitiviti sehingga percaya seolah-olah budaya kita sudah melangkaui budaya perkauman sedangkan ia adalah sebaliknya.

Literasi ‘hubungan antara etnik’ masih di tahap yang membimbangkan dan tidak salah untuk beranggapan perpaduan rapuh walaupun masing-masing tahu ia adalah tunjang pembinaan negara bangsa ini. Sindrom penafian bahawa segalanya baik belaka perlu diubah kerana peristiwa seperti ini ada kecenderungan untuk berlaku lagi. Apa yang berlaku kini barangkali disebabkan ada pihak yang ‘mencuba’ tanpa menyedari kesannya.

Mereka tahu isu ini sensitif dan membuat percaturan sendiri secara berterusan menyemarakkan perasaan benci dan syak wasangka dengan hasutan dan provokasi kerana jika emosi ini berpanjangan, kesannya sudah pasti ke atas apa yang sudah dipersetujui oleh kesemua selama ini.

Yang melakukan kesemua ini harus memahami batasan emosi seseorang kerana bila datang kepada isu agama, semua penganutnya tidak kira mana-mana agama sekalipun ada hadnya kerana pegangan kita adalah terbaik.

Fobia berteraskan kepada agama dan etnik jika disemarakkan menjadi propaganda boleh mengambil-alih pengertian sebenar sesuatu agama sehingga bersifat radikal, ekstrem, stereotaip, etnosentrik dan prejudis serta melahirkan kebimbangan syak wasangka yang akhirnya boleh mengebumikan warisan sesuatu masyarakat atau komuniti.

Fikirkan sensitiviti masyarakat majoriti dan minoriti yang beragama Islam dan bukan Islam. Di Barat sekalipun, isu seperti ini masih berterusan kerana emosi ke atas agama dan keetnikan boleh membawa kepada pertembungan antara agama jika tidak ditangani segera.

Di samping menyoal punca, kita harus bertanya mengapa sudah sampai tahap ini? Sampai bila begini? Siapakah bertanggungjawab ke atas soal perpaduan dan keharmonian? Adakah kerana hasrat dan kepentingan serta keinginan untuk mempertahankan etnik masing-masing, wujud konsepsi berlawanan ke atas pembentukan bangsa Malaysia yang luhur.

Beberapa isu yang berkaitan agama dan kaum misalnya, seperti masjid, kuil dan tokong wajar tidak dilihat sebagai perkara keagamaan semata-mata tetapi isu berkepentingan nasional yang boleh ditangani sesiapa sahaja pemimpinnya walaupun berlainan latarnya ke arah kepimpinan berhemah menanganinya.

Perpaduan kaum di negara ini ibarat 'cukup makan'. Apakah keadaan ini berlaku kerana kita memilih pendekatan integrasi yang membenarkan setiap kaum mengekalkan budaya serta identiti dan bukan asimilasi seperti sebahagian negara lain? Apa identiti Malaysia itu?

DR. SIVAMURUGAN: Konsep ‘integrasi’ dipilih kerana nisbah kependudukan Malaysia adalah kondusif untuk mengangkatnya sebagai asas pembinaan hubungan antara etnik. Ini kerana penduduk bumiputera adalah sekitar 60 peratus dan bukan bumiputera bakinya. Peratusan ini menyebabkan sejak awal kemerdekaan, yang dipersetujui adalah semangat ‘perkongsian’ dan ‘kepunyaan’.

Tapak integrasi misalnya dirujuk kepada penentangan Malayan Union 1946, Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, CLC 1949, Perlembagaan 1957 dan 1963, Rukun Negara dan Wawasan 2020. Faktor yang menyukarkan proses asimilasi adalah kesediaan majoriti untuk menerima minoriti dan kerelaan minoriti untuk menghapuskan apa yang diwarisi .

Hatta, selepas peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, Rukun Negara di lancar dan prinsip kelima dengan rujukan ke atas kesopanan dan kesusilaan adalah bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara etnik melalui integrasi dan masing-masing boleh meneruskan apa yang sudah disemai melalui proses sosialisasi.

Kepelbagaian etnik dan agama membentuk identiti nasional yang berkiblatkan Perlembagaan dan Rukun Negara ke arah pembentukan masyarakat yang harmoni. Faham, hormat dan menerima akan membolehkan kita menuju ke hadapan berasaskan kepada konsep kompromi, berkorban, tawar-menawar, rundingan, musyawarah dan mediasi. Barulah kematangan terserlah.

Sekolah adalah tempat penting untuk memupuk perpaduan menerusi pergaulan antara pelajar berbilang kaum. Tetapi itu tidak berlaku di Malaysia kerana kewujudan sekolah pelbagai aliran. Apakah sistem pendidikan kita perlu diubah?

DR. SIVAMURUGAN: Seringkali apabila timbul sesuatu isu, sistem pendidikan dijadikan rujukan di samping jurang dalam ekonomi, sosial dan politik. Ada juga yang mencadangkan kenapa tidak diwujudkan satu aliran agar kesemuanya berada di bumbung yang sama, meskipun kita pernah mencuba sekolah wawasan yang akhirnya tidak berjaya. Di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 dan Belanjawan tahunan, ia terus memberi pengiktirafan ke atas sekolah pelbagai aliran.

Satu aliran adalah jawapannya tetapi sebarang perubahan ke atas aliran-aliran ini memerlukan ‘keazaman politik’ atau political will daripada semua pihak. Selepas rundingan mahupun dialog dan acapkali semuanya tidak bersedia membuat keputusan yang boleh dianggap ‘membunuh diri’ dalam konteks percaturan politik mereka.

Menyedari hal ini, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, menzahirkan keinginan untuk memasukkan elemen ‘manusiawi’ dan program ‘silang budaya.’ Buat masa ini, saranan Datuk Kadir Jasin bahawa sekolah kebangsaan perlu kembali sebagai sekolah perpaduan untuk semua perlu dihalusi sepenuhnya dengan mengenal pasti bagaimana untuk menjadikan ia sebagai pilihan utama.

Memahami punca keterhakisan kemasukan ke sekolah kebangsaan boleh membantu untuk diperbaiki dengan pendekatan untuk melahirkan kepercayaan dan keyakinan bahawa ia adalah terbaik dan bukan sebagai pilihan terakhir. Sudah tiba masanya, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang selepas 30 tahun pelancarannya perlu dilihat semula untuk memulihkan perpaduan dan pembentukan jati diri seorang pelajar.

Rakyat mengharapkan kerajaan untuk berbuat sesuatu bagi mengukuhkan integrasi kaum. Tetapi apakah rakyat sendiri terutama ibu bapa turut memainkan peranan?

DR. SIVAMURUGAN: Melentur buluh biarlah sewaktu rebungnya’– keluarga memain peranan amat penting dalam proses sosialisasi anak-anak mereka. Apa sahaja berlaku turut menjadi tanggungjawab bersama. Jika ada kegagalan, kita juga mesti bertanggungjawab kerana tidak mencari satu penyelesaian untuk membolehkan ia diatasi sebelum merebak. Begitu juga dalam konteks muhibah.

Jika ia dibiarkan tanpa dilihat penting dari peringkat awal lagi, kesejahteraan sosial akan menjadi percaturan dominan kesan dari tingkah laku masyarakat yang sebilangannya kini merasakan proses pembangunan dan modenisasi telah membuka ruang pemetaan pemikiran yang jauh menyimpang daripada emansipasi rakyat sebenar.

Keluarga menjadi tiang seri perpaduan dan berdasarkan fitrah manusia dilahirkan untuk saling kenal mengenali di antara satu sama lain, mempertahankan budaya masing-masing tidak mengapa tetapi yang wajar dilakukan adalah mencari titik-titik persamaan dan cuba meminggirkan diri daripada sifat streotaip, labelling, prejudis dan etnosentrik dan mendidik untuk mengurus kejayaan hubungan etnik dan bukan di sebaliknya.

Banyak detik perpaduan wujud yang jarang atau tidak pernah mahu disebar; barangkali terlalu selesa sehingga terlepas pandang dan memberi tumpuan berlebihan ke atas perbezaan yang wujud.

Apa faktor utama yang menghalang perpaduan kaum di Malaysia?

DR. SIVAMURUGAN: Perpaduan adalah satu idaman tetapi yang menghalangnya adalah diri kita sendiri. Sebahagian daripada masyarakat Melayu menganggap Malaysia adalah negara Melayu; sebahagian lagi menganggap bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam. Bagi sebahagian besar bukan Melayu pula, mereka beranggapan negara ini adalah majmuk dan rencam.

Ada sebahagian pula yang tidak mahu menerima realiti sistem Melayu-Islam walaupun hakikatnya ia sudah termaktub dalam Perlembagaan. Ini membawa kepada ‘krisis identiti’. Kegagalan untuk menyalurkan kefahaman identiti berteraskan Perlembagaan sehingga membawa kepada soal adil dan kesaksamaan akan terus menghantui.

Kita harus membayangi pemikiran kita dengan kebimbangan etnik lain daripada membuta tuli saling salah-menyalahkan kerana sifat keetnikan kita. Kita sering menyalahkan orang lain dan bukan diri sendiri malahan suka melihat kekurangan yang lain sedangkan ia juga membongkar kelemahan dalaman kita.

Pendekatan keetnikan perlu matang dan memahami daripada lensa mereka dan bukan membuat andaian sendiri kerana kita sebenarnya ejen sama ada mahu memakmurkan atau merosakkan hubungan kita. Dalam mahu hak dihormati, mana setiap individu juga mesti tahu menghormati hak orang lain.

Bilamana isu sensitif tersebar luas kebelakangan ini, maka ia harus kembali semua kepada Perlembagaan agar sensitiviti masyarakat dipelihara.

Faham,hormat dan menerima antara satu sama lain baik kekuatan mahupun kekurangan akan membantu memperbaiki sifat etnosentrik masing-masing. Apakah Dasar Kebudayaan Kebangsaan perlu dirujuk semula dan diberikan roh baharu dalam suasana suhu keetnikan mutakhir? Ada faktor lain turut menjadi faktor penarik kepada kesenjangan etnik di Malaysia.

Keluarga, rakan sebaya, sekolah, universiti, pendidik, media,agensi berwajib, pemimpin dan diri sendiri bertanggungjawab ke atas proses ini. Kesemua ejen sosialisasi ini harus mempamerkan sifat kesederhanaan untuk mengharungi kerencaman di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Tawar menawar, rundingan, mediasi perlu dipupuk nilai kompromi dan berkorban untuk kepentingan semua.

Tapak integrasi yang mikro dan makro penting; lakukan sesuatu tanpa dipaksa dan jauhi daripada kesedaran palsu atau sementara. Bergaul dan bergabung penting untuk anjakan penyatupaduan kepada kesepaduan dan berakhir dengan perpaduan.

Walaupun sudah ada kontrak sosial namun semua kaum masih berasa tidak cukup atau tidak puas hati. Kenapa keadaan ini boleh timbul?

DR. SIVAMURUGAN: Sudah pasti pembinaannya adalah berpaksikan kepada ‘kontrak sosial’: Agama, bahasa,institusi raja-raja Melayu, kedudukan bumiputera dan kaum lain serta kewarganegaraan. Asas integrasi rakyat Malaysia bersandarkan nilai-nilai yang dipersetujui bersama sepertimana dalam Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan. Perkara 3 (Agama bagi Persekutuan); Perkara 152 (Bahasa Kebangsaan); Perkara 153 (Perezaban kuota mengenai perkhidmatan, permit dan sebagainya, untuk orang Melayu); Perkara 39 (Kuasa memerintah Persekutuan) dan Bahagian III (Kewarganegaraan) mesti diketahui secara menyeluruh dan bukan sekadar kiasan semata-mata.

Misalnya, Perkara 3 menyatakan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi jarang yang mahu memerihalkan bahawa Perkara 3 juga menyentuh bagaimana agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Begitu juga dengan Perkara 153 yang menyatakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini. Perlembagaan dan perpaduan juga bergantung kepada hubungan resiprokal penggubal, pelaksana dan kumpulan sasar jika mahu mantapkan kemuafakatan dalam kalangan ahli masyarakat.

Dalam mengukuhkan kedudukan tadbir urus, formulanya adalah tanggungjawab bersama. Pemikiran kepimpinan perlu ‘mengurus hubungan antara etnik’ sebagaimana yang terbukti daripada formula 4+1 di bawah kontrak sosial agar keadilan sosial terjaga dan diatasi jurang inter dan intra etnik. Ia adalah hubungan emosi antara orang Melayu dan bukan Melayu dalam mencari titik keseimbangan berdasarkan kepada ‘masa depan yang sama’ supaya tidak ada sesiapa yang tertinggal dalam apa sahaja pencapaiannya, yang turut melihat kepentingan keadilan .

Pada waktu sama, yang kaya dan miskin tidak lagi dilihat mengikut garis keetnikan; maka jika seorang jatuh, kesemua kita membantu individu tersebut untuk bangkit semula. Ini boleh membantu meminimumkan keresahan yang kita lihat hari ini.

Bagaimana Profesor melihat peranan pemimpin politik dan media dalam memupuk perpaduan?

DR. SIVAMURUGAN: Media arus perdana mahupun alternatif mesti turut bersama dalam memastikan kemuafakatan, keharmonian dan perpaduan adalah asas kepada kejayaan dan kecemerlangan negara. Pemimpin wajar memaparkan kewibawaan berpusatkan ‘kesederhanaan’ agar fahaman politik tidak sama sekali bersedia berkompromi dengan prinsip maruah diri ‘kepunyaan’ ini. Mereka yang menyoal dan menyingsing dan mengamalkan amalan songsang dari ideologi kebangsaan perlu dihukum dan dipastikan tidak menjadi musuh agama mahupun etnik.

Platform media sosial yang digunakan untuk menular pelbagai berita yang boleh dipersoal kesahihannya termasuk hasutan, khabar angin, provokasi dan cabar mencabar wajar dibendung dari awal; didakwa dan dihukum berat sebagai pengajaran kepada yang lain. Media adalah ejen yang boleh mendidik, sebar dan terokai elemen-elemen pengukuhan dan bukan di sebaliknya. Tindakan kerajaan mengawal kumpulan ekstrem dan radikal dari awal membolehkan negara terus berada dalam landasan betul.

Walaupun tidak dinafikan ‘perpaduan’ ada pasang-surutnya; yang penting adalah ‘kejujuran’ dan ‘kepercayaan’ bahawa sistem yang ada adalah yang terbaik dalam membina kesaksamaan dan mempertahankan hak masing-masing. Dengan peningkatan golongan celik huruf, sudah pasti harapan dan matlamat mereka berbeza dengan golongan merdeka yang melihat bagaimana proses membina negara-bangsa ini berlaku apatah lagi lahirnya kecerdasan artifical (buatan) dengan perubahan teknologi. Pemimpin pula wajar mengetepikan beberapa kepentingan etnik masing-masing; semangat perkongsian hidup sebagai satu keluarga besar; toleransi, hormat-menghormati; saling faham memahami.

Kepelbagaian memberi kekuatan. Prinsip asas negara tidak boleh dikompromi dan generasi baharu perlu sedar kepentingannya. Ini kerana tanggungjawab kewarganegaraan adalah tanggungjawab bersama sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan. Ia bukan Perlembagaan bukan orang Melayu dan ia juga bukan Perlembagaan untuk orang Melayu; Perlembagaan Malaysia adalah untuk keseluruhan warga Malaysia yang bertanggungjawab ke atas tanah airnya.

Politik kesederhanaan menjadi pendekatan yang diguna pakai untuk bebas dan memerintah sendiri tetapi lebih daripada itu, adalah formula pembinaan negara bangsa berasaskan kepada pengurusan hubungan etnik dan pengorbanan serta kompromi tatkala itu membolehkan kita masih merdeka dan pengisian dilakukan sebaik mungkin dalam warisan kesinambungan kepimpinan.