Walaupun negara tersebut menguatkuasa undang-undang antimerokok di tempat awam seperti di kompleks beli-belah dan restoran tetapi mereka juga `mesra perokok’. Tempat merokok banyak disediakan dan berjarak beberapa meter sahaja antara satu sama lain. Oleh kerana ramai sangat merokok di kawasan yang disediakan, zon tidak dibenarkan merokok pun sudah bertukar menjadi seperti kawasan boleh merokok. Kepulan asap terlalu banyak berkumpul dan tak sempat larut di udara, kawasan bebas merokok turut diselubungi asap dari tempat merokok tadi.

Di Malaysia sejak 1 Januari lalu, beberapa lagi tempat diwartakan sebagai kawasan larangan merokok termasuk di restoran. Tindakan itu sangat tepat walaupun agak terlewat. Desakan daripada orang awam bukan perokok sudah lama tetapi baru tahun ini dilaksanakan. Kawasan awam seperti restoran mesti bebas daripada kekotoran dan pencemaran terutamanya pencemaran asap rokok.

Berikutan peraturan itu, para pelanggan tidak boleh lagi menghisap rokok, vape atau shisha ketika berada di meja makan masing-masing. Suasana berkabut dengan bau busuk asap rokok yang memenuhi setiap sudut dan ruang restoran mamak sudah tidak ada lagi. Kalau mahu merokok mereka perlu keluar dan berada pada jarak sekurang-kurangnya tiga meter radius dari kawasan restoran. Merokoklah puas-puas di situ.

Pada hari pertama larangan, ramai si perokok meradang dengan peraturan tersebut. Mereka marah-marah dalam Facebook, Instagram dan Twitter. Peraturan baharu itu tidak adil dakwa mereka. Betullah kalau selama ini mereka bebas membakar berkotak-kotak rokok selama beberapa jam melepak di situ , sekarang tidak boleh lagi. Mahu merokok sila bangun dan pergi jauh-jauh. Ada juga yang keras kepala dan ingkar, buat-buat `tak perasan’ dengan peraturan tersebut. Selamba sahaja mereka merokok walaupun di dinding restoran terpampang papan tanda larangan merokok dan jumlah denda yang boleh dikenakan. Khabarnya ada kes pekerja restoran yang merasa `pelempang sulung’ pelanggan yang marah apabila ditegur jangan merokok.

Tuan punya dan pengusaha restoran seperti dijangka memang tidak bersetuju dengan syarat-syarat baharu ini. Mereka mendakwa langkah sedemikian akan menjejaskan perniagaan kerana 40 peratus pelanggan adalah dalam kalangan perokok. Tauke-tauke restoran itu risau para pelanggan tidak lagi duduk lama-lama selepas ini. Satu lagi alasan yang sukar diterima.

Kepada pengusaha restoran yang berpandangan sedemikian, perlu diingat, para pelanggan memilih restoran untuk menjamu selera berdasarkan kepada beberapa faktor. Antaranya ada pilihan menu yang sedap, harga berpatutan, bersih dan tidak dicemari udara kotor. Selama ini mereka terpaksa kerana tidak ada pilihan. Restoran tersebut mungkin menyediakan menu yang sedap dan harga berpatutan tetapi lantai kotor dipenuhi dengan habuk dan puntung rokok dan kelam dengan asap rokok!

Memasuki minggu kedua larangan tersebut, sudah tidak kedengaran lagi kes-kes merokok dalam restoran tular dalam media sosial. Barangkali si perokok sudah reda dengan peraturan tersebut atau mula merasa tidak selesa apabila diperhati, dipandang-pandang dan dilempari jelingan tajam oleh pelanggan lain jika berbuat demikian. Berbeza sungguh keadaan dibandingkan dengan suasana sebelum 1 Januari 2019. Jangan harap ada pelanggan yang berani menegur kumpulan si perokok di restoran atau di kedai makan ini. Maka bermaharajalelah si perokok tanpa ada belas kasihan ke atas pelanggan lain yang duduk di sebelah termasuk orang tua, kanak-kanak dan bayi. Silap-silap yang menegur diherdik balik! Seperti biasa alasan yang diberikan merokok adalah `hak’ mereka tanpa mempedulikan pelanggan di sebelah yang tidak merokok juga punya `hak’ untuk menikmati suasana makan tanpa diselubungi hembusan, kepulan dan busuk asap rokok.

`Keberanian’ Kementerian Kesihatan menguat kuasa peraturan ini mendapat pujian banyak pihak. Setelah kegagalan kempen antirokok sejak sekian lama, peraturan yang dikuatkuasakan ini jelas memperlihatkan iltizam kerajaan untuk memastikan tempat-tempat tumpuan awam bebas daripada asap rokok. Golongan majoriti yang tidak merokok merasa terbela dengan peraturan ini. Alasan pelanggan akan berkurangan dan menjejaskan perniagaan mereka tidak boleh diterima.

Seperti kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, kalaupun berlaku itu hanyalah fenomena sementara. Menurutnya, keadaan akan kembali seperti sediakala tidak lama lagi malah ada restoran yang menerima lebih ramai pelanggan sejak peraturan ini diperkenalkan. Para pelangan mula selesa untuk membawa ahli keluarga mereka makan di luar kerana semua restoran sudah bebas daripada asap rokok.

Oleh kerana peraturan ini dikuatkuasakan pada semua restoran di seluruh negara, mahu tidak mahu semua pelanggan kena menerima hakikat bahawa merokok tidak lagi dibenarkan dalam kawasan restoran. Percayalah lama kelamaan mereka akan hadam dengan peraturan ini. Beredar ke kawasan berjarak sekurang-kurangnya tiga meter dari tempat makan untuk merokok akan menjadi amalan para perokok tidak lama lagi. Banyak negara sudah melaksanakan peraturan yang sama sama. Kecohnya pada peringkat permulaan sahaja, selepas itu mereka jadi `alah bisa tegar biasa’.

Beberapa hari lalu, tular satu cerita para pengusaha restoran mengadu, oleh kerana merokok hanya dibenarkan tiga meter dari kawasan restoran ada segelintir pelanggan mengambil peluang keluar merokok dan terus balik ke rumah tanpa menjelaskan bayaran makanan. Jika benar itu berlaku, perbuatan ini sangat tidak baik dan restoran terlibat perlu menguat kuasa peraturan bayar dahulu baru makan. Tidak mustahil juga cerita-cerita sedemikian sengaja diada-adakan bagi menunjukkan bahawa peraturan tersebut menjejaskan perniagaan.

Ada juga yang meminta agar larangan tersebut dilonggarkan mulai pukul 10 malam hingga 6 pagi. Alasannya ketika itu sudah tidak ramai pelanggan yang datang bersama keluarga keluar makan. Juga satu permintaan yang tidak perlu dilayan sama sekali. Kerajaan tidak perlu tunduk kepada desakan sedemikian. Sekali berjalan, jangan undur lagi. Apa yang patut kerajaan lakukan sekarang ialah menambah dan memperluaskan lagi kawasan larangan merokok.

Begitulah juga dengan cadangan untuk mempertimbangkan tempat khas buat perokok seperti mana yang dilakukan di beberapa negara maju seperti Jepun dan Korea Selatan selepas enam bulan penguatkuasaan berjalan. Penulis percaya ramai yang tidak akan bersetuju dengan cadangan ini. Sekiranya dilaksanakan, tindakan ini dilihat sebagai satu langkah mengundur. Selama ini kerajaan tidak pernah menghalang hak merokok bagi perokok. Mereka masih lagi boleh merokok dan rokok pun tidak diharamkan, malah stok rokok haram yang masuk ke negara ini pun bukan sedikit. Pandai-pandailah mereka mencari ruang untuk merokok, tak perlulah kerajaan bersusah payah menyediakan satu tempat khas kepada golongan ini.

Peraturan yang sedang dilaksanakan sekarang perlu dikekalkan. Orang ramai gembira dengan apa yang sedang berjalan kerana mereka sudah menanti begitu lama. Bak kata seorang warga Twitter, dia merasa amat lega menjamu selera di restoran mamak sejak 1 Januari lalu dan kelegaan itu umpama memandu kenderaan untuk balik beraya di Kelantan tanpa menempuh azab jalan raya yang sesak!