Tapi syukurlah apabila rakan jurugambar penulis memberitahu result adik ini awesome. Alhamdulillah! Tahniah diucapkan.

Ya, sungguh berdebar semalam. Sedih atau gembira adik-adik, lagi sedih atau gabra mak bapa yang berada di sisi semasa slip keputusan diambil daripada guru.

Begitulah rutin saban tahun, itulah senarionya. Murid yang hanya mendapat D atau E dalam semua mata pelajaran berasa hampa, kecewa, putus asa. Mereka akan murung, diselubungi rasa rendah diri berpanjangan.

Rakan-rakan yang mendapat keputusan cemerlang disanjung, dipuji ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan.

Bagi yang tidak menyerlah, seolah-olah tidak diberi perhatian. Atau dianggap murid yang tidak ada harapan, masa depan.

Itu belum lagi bila balik ke rumah. Mak bapa tidak akan habis-habis berleter atau marahkan mereka. Ada yang sengaja menyindir dan membandingkan dengan anak-anak jiran yang lebih cemerlang.

Tidak lama kemudian, pasti sepupu-sepapat, mak-mak saudara akan melayangkan pertanyaan dalam grup WhatsApp keluarga “Sofea atau Yasmin dapat berapa?”.

Bila masuk fasa tawaran ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) nanti, lagilah ‘kacau bilau’ dibuatnya. Anak-anak yang gagal mendapat tempat, akan murung atau berkurung dalam bilik.

Di sini sepatutnya peranan guru dan ibu bapa untuk membantu anak-anak ini sekiranya didapati mereka tidak dapat menguasai pelajaran yang diajar kepada mereka.

Pada dasarnya pelajar yang tidak mendapat keputusan cemerlang dalam UPSR bukan bermakna mereka akan gagal sepanjang masa. Masih banyak lagi ujian dan peperiksaan yang akan dilalui sebelum mereka menjejakkan kaki ke menara gading.

Banyak kajian yang dilakukan oleh pakar-pakar pendidikan untuk melihat mengapa murid tidak mendapat keputusan cemerlang. Antaranya faktor lewat berkembang atau late development yang mana ada dalam kalangan murid yang mempunyai kecerdasan baik, tetapi agak lambat pacuannya.

Ada kalanya murid sebegini akan meraih pencapaian cemerlang apabila mereka sampai ke peringkat lebih tinggi. Mungkin semasa berada di sekolah menengah atau pusat pengajian tinggi.

Terdapat juga murid yang menghadapi masalah kesihatan yang tidak serius seperti rabun jauh atau kurang pendengaran. Kadang-kadang mereka tidak memaklumkan masalah ini kepada guru atau ibu bapa.

Faktor latar belakang keluarga turut memberi kesan kepada pencapaian pendidikan murid. Mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah mungkin tidak dapat menyediakan kemudahan yang banyak di rumah seperti tempat belajar yang selesa, kebisingan, kurang kemudahan peralatan tambahan pembelajaran atau peluang mengikuti kelas tuisyen berbayar.

Ada pengkaji mendapati kalangan murid yang pintar atau gifted tidak mendapat keputusan cemerlang dalam ujian atau peperiksaan kerana mereka berasa bosan akibat terlalu lama berada di sekolah rendah. Murid pintar ini kadang kala berasa pengajaran guru terlalu mudah, kurang cabaran dan mengetahui lebih banyak maklumat jika dibandingkan dengan apa yang dipelajari di sekolah.

Akhirnya mereka tidak memberi perhatian yang serius terhadap pengajaran guru dan kurang membuat persediaan untuk menduduki peperiksaan.

Memang diakui, kesan psikologi terhadap murid-murid lepasan UPSR yang gagal mencapai semua A. Tetapi itu bukan pengakhiran masa depan.

Selain UPSR, Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR) juga akan diambil kira iaitu satu laporan menyeluruh terhadap pelajar yang meliputi empat komponen utama.

Empat komponen yang akan menentukan kedudukan seseorang pelajar dalam sistem pendidikan negara itu ialah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi). Pembangunan sahsiah pelajar dititikberatkan kerana setiap pelajar ini adalah unik dan berbeza.

Wahai adik-adikku, tak mustahil tidak berjaya pada masa ini, tidak bermakna kita akan gagal selama-lamanya. Paling penting adalah belajar daripada kegagalan yang lepas. Jangan sekali-kali berputus asa.

Insya-Allah, adik-adik yang kurang berjaya semalam, mampu berjaya selepas ini.

Berpegang teguhlah dengan maksud Al-Quran, Surah ar-R’ad (ayat 11) yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka”.