Lebih mengukuhkan persepsi apabila berita mengenai tempoh peralihan kuasa antara Dr. Mahathir dan Anwar sering diputarkan biarpun semua pihak sudah sedia maklum terdapat perjanjian hitam putih mengenai peralihan kuasa ini. Mengocakkan lagi keadaan apabila video hubungan sejenis yang dikaitkan dengan seorang menteri kanan Kabinet dan Ketua Angkatan Muda (AMK) Keadilan, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang membuat pengakuan secara terbuka mengenai penglibatannya ditafsirkan sebagai sabotaj dalaman parti bagi menyekat laluan menteri kanan ini sebagai Perdana Menteri.

Benar atau tidak wujudnya berantakan di dalam PH, wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. ASRON MUSTAPHA dan SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH bersama jurugambar ABDUL RAZAK AID dan AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN menemu bual Bendahari Bersatu Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Yang Berhormat (YB) MOHD. SHAID ROSLI yang pernah mencipta kontroversi apabila meminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berundur bagi memberikan laluan kepada suaminya mengambil alih jawatan itu dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang sering dilihat lantang bersuara mempertahankan bosnya di pejabat mereka masing-masing baru-baru ini.

MINGGUAN: Bagaimana hubungan Bersatu dan PKR selepas YB meminta Dr. Wan Azizah berundur baru-baru ini?

MOHD. SHAID: Pada mulanya saya nampak tekanan diberikan kepada Dr. Mahathir dan saya tidak nampak pemimpin daripada Bersatu sama ada majlis pimpinan tertinggi parti, menteri atau pun daripada Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) menyuarakan bantahan. Jadi saya ambil keputusan meminta Dr. Wan Azizah berundur dahulu supaya peralihan kuasa dapat dilakukan.

Setakat ini selepas saya membuat kenyataan itu tiada lagi pandangan dan tekanan daripada Otai Reformasi mahupun kumpulan-kumpulan daripada PKR atau Anwar sendiri.

Apabila YB bersuara dengan menyasarkan Dr. Wan Azizah adakah ini isyarat bahawa Bersatu sudah bersedia dengan cabaran seterusnya?

MOHD. SHAID: Dalam politik apa-apa boleh berlaku, saya nampak pergolakan besar akan berlaku dua atau tiga bulan akan datang. Sewaktu pembentukan PH, Bersatu memang kerdil dan kita hanya menang 13 kerusi parlimen tetapi selepas kemenangan dalam pilihan raya umum (PRU) lalu dan Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri sokongan diterima sama ada dalam PH sendiri mahupun orang luar tidak berbelah bahagi. Atas sebab itu saya berani kata Bersatu sudah bersedia jika perlu berhadapan dengan orang Anwar.

Tidak bimbang jika berlaku perpecahan dalam PH selepas ini?

MOHD. SHAID: Sebagai pemimpin kita kena pandai untuk menyatukan ahli dengan menunjuk contoh yang baik tetapi sekiranya dalam PH sendiri ada usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri maka kita perlu bersedia. Namun, saya yakin kepada kepimpinan Dr. Mahathir yang boleh mengekalkan PH sehingga PRU Ke-15 nanti.

Baru-baru ini negara kecoh dengan penyebaran video seks sejenis melibatkan seorang menteri kanan tetapi ada pihak melihat seperti Perdana Menteri mempertahankan menteri berkenaan, komen YB?

MOHD. SHAID: Kenyataan Dr. Mahathir pada masa ini beliau bukan memihak kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sebenarnya belum ada tindakan atau pengesahan hukuman lagi. Pada pemerhatian saya kalau sudah sahih dan betul-betul berlaku baru Dr. Mahathir akan mengiyakan kalau tidak beliau akan kata tidak tahu.

Dalam isu ini polis sudah mengambil keterangan untuk melakukan siasatan, sebenarnya kes ini mudah sahaja, apabila Haziq kata ada membuat hubungan itu dengan seorang menteri pada tarikh dan waktu sekian-sekian benda ini boleh disiasat dengan melihat kepada kamera litar tertutup (CCTV) hotel tetapi persoalannya kenapa polis mengambil masa lama untuk menyiasat.

Isu ketulenan video kita boleh cerita kemudian. Rakyat hendak tahu benarkah kejadian ini berlaku. Ini kerana apabila kita bercakap mengenai soal kepimpinan kita perlukan orang yang bersih dari segi karakter.

Bagaimana pendirian YB sendiri jika ada pemimpin kerajaan terlibat dalam skandal memalukan ini?

MOHD. SHAID: Sekiranya betul terlibat dan ada bukti dia perlulah memberi laluan dan ruang kepada orang lain. Namun begitu, benda itu juga terpulang kepada individu itu sendiri, kalau rasa normal bagi dia dan hendak teruskan kerjayanya kita tidak boleh halang tambahan pula negara kita mengamalkan demokrasi.

Jika di masa akan datang rakyat terus memilih dia kita tidak boleh buat apa-apa, sama juga macam Anwar walaupun didapati bersalah dan dihukum dalam kes kedua apabila keluar beliau masih dipilih rakyat. Kalau masyarakat melihat ini sebagai satu fitnah dan rancangan jahat maka mereka akan memilih semula Mohamed Azmin pada masa akan datang. Itu hak rakyat.

Ada yang melihat karakter Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri keempat berbeza dengan sekarang.

MOHD. SHAID: Suasananya berbeza, ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat beliau berada dalam parti yang kuat, mempunyai penyokong yang ramai dan waktu itu beliau juga tegas dalam membuat sebarang keputusan sehingga orang menggelarkan beliau sebagai diktator, zalim dan sebagainya.

Sebagai pemimpin yang boleh menerima pendapat, beliau cuba mengubah keterampilannya sebagai Perdana Menteri ketujuh dengan tidak terlalu bersikap diktator dan zalim tetapi ini tidak bermakna apabila orang itu berlembut kita boleh memberikan tekanan kepadanya.

Beliau merupakan pemimpin yang hebat dan boleh membentuk kerajaan walaupun tanpa PKR, Amanah dan DAP contohnya. Beliau mahir dan dengan kuasa yang ada sebagai Perdana Menteri dan beliau boleh bentuk atau tukar kepada kerajaan yang mana menyokong dan memberi manfaat kepada Malaysia. Itu kelebihan yang ada pada Dr. Mahathir.

Kenyataan ini seperti ada maksud tersirat.

MOHD. SHAID: Saya hanya sebut jangan bermain dengan Dr. Mahathir sebab beliau berpengaruh, sebelum ini siapa sangka kita daripada parti yang kecil boleh menjadi Perdana Menteri dan menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional (BN). Malah, selepas beliau menjadi Perdana Menteri semua parti komponen dalam BN meletakkan jawatan termasuk MCA dan MIC namun dipujuk masuk semula.

Jadi di sini, parti yang tidak bersama BN akan bersama dengan siapa? Itu persoalannya, sebab itu saya kata Dr. Mahathir sudah bersedia sekiranya berlaku apa sahaja, ini bermakna sokongan untuk beliau sudah kuat dan tidak perlu bergantung kepada PH yang mana sekiranya tidak mahu memberikan kerjasama, beliau bersedia dengan apa juga keadaan dan tidak mustahil apa sahaja boleh berlaku dalam politik.

Kenyataan YB ini seperti mengesahkan khabar angin sebelum ini bahawa Dr. Mahathir akan masuk semula UMNO.

MOHD. SHAID: Masuk semula tidak mungkin, sebab saya pernah tanya dengan beliau dan sebelum menang PRU lalu pun kita pernah tanya sebab Dr. Mahathir sangat sayangkan UMNO. Kita beri tekanan kepada Dr. Mahathir untuk bubarkan UMNO tetapi Dr. Mahathir tidak bubar. Waktu itu semua tertanya-tanya tindakan beliau sebab kita sayangkan parti kita dan pada masa sama, Dr. Mahathir juga pengasas UMNO baharu jadi untuk menjalinkan kerjasama semula tidak mustahil dalam politik kerana sebelum ini pun beliau pernah membenci DAP dan tidak pernah terfikir untuk bekerjasama dengan DAP.

Dalam politik ia melibatkan nombor, jika ada nombor mencukupi sesiapa juga boleh berkuasa jadi kalau UMNO ada nombor ia juga tidak mustahil tetapi bukan untuk bergabung, hanya bersama. Pas dan UMNO sendiri pernah berpecah dan Pas kata UMNO penipu tetapi akhirnya mereka bergabung, kenapa? Sebab politik.

Maksudnya alternatifnya bukan lagi parti tetapi gabungan ahli parlimen, adakah ini salah satu pilihan yang dipertimbangkan kalau berlaku kemungkinan ini?

MOHD. SHAID: Sebelum ini memang betul ada cadangan untuk membawa undi tidak percaya dan sebagainya jadi ketika itu apabila individu-individu itu mencari ahli parlimen untuk membuat usul tidak percaya individu-individu itu memaklumkan kepada Dr. Mahathir jadi kita sedia maklum bahawa orang-orang itu ialah orang UMNO.

Dan atas dasar itu Dr. Mahathir merasakan tidak perlu mengharamkan UMNO. Kalau dalam UMNO sendiri bermasalah mereka boleh menyertai Bersatu, itulah yang berlaku di Sabah dan Sarawak.

Malah, dalam kalangan pemimpin UMNO, Dr. Mahathir masih dianggap hero. Sekarang kalau Dr. Mahathir ajak sesiapa untuk ikut, orang itu akan ikut tetapi sekarang situasi masih dalam kawalannya tetapi jika ada tekanan daripada individu yang tamak kuasa beliau boleh mencari pengaruh dan alternatif lain.

Dakwaan Bersatu terlalu bergantung kepada Dr. Mahathir.

MOHD. SHAID: Pemimpin silih berganti itu perkara biasa yang penting parti itu sendiri, parti ini ditubuhkan untuk menjaga kebajikan Melayu, apabila Dr. Mahathir berada dalam kelasnya yang tersendiri memang susah hendak cari orang menggantikan tempatnya untuk menerajui parti.

Jadi, siapakah selayaknya menggantikan tempat Dr. Mahathir. Terutamanya dalam PH?

MOHD. SHAID: Kalau tanya pada saya sudah pasti saya akan memihak kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir, kita tidak nampak sebarang kes sama ada integriti atau skandal menyelubungi beliau. Malah, Mukhriz juga pernah menjadi Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dahulu dan berpengalaman sebagai Menteri Besar Kedah.

Di PKR pula selain Mohamed Azmin dan Anwar tiada pemimpin lain yang pernah memegang jawatan utama dalam negara. Jika memilih antara Mohamed Azmin dan Mukhriz sudah pasti saya memilih Mukhriz kerana beliau tidak terpalit dengan sebarang isu integriti atau moral.