Ketika ditemui wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI di rumahnya di Rembau, Negeri Sembilan, Jumaat lalu, calon Parlimen Rembau itu memberitahu, tindakan DAP itu seolah-olah memberikan gambaran bahawa parti itu sudah tenggelam namun hakikatnya DAP yang menguasai segala keputusan dalam pakatan pembangkang.

Sehubungan itu, beliau meminta pengundi Melayu supaya tidak terpesona dengan “tangisan” dan sentimen yang dimainkan oleh Dr. Mahathir kerana bahaya yang lebih besar ialah matlamat utama DAP.


MINGGUAN: Tun Dr. Mahathir pernah mengkritik pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi malah YB sendiri turut menjadi sasaran serangan Dr. Mahathir pada masa itu. Selepas itu, Dr. Mahathir ‘menyerang’ pula pentadbiran Najib. Bagaimana YB melihat karakter Dr. Mahathir?

KHAIRY: Dr. Mahathir tidak boleh menerima orang lain yang tidak mengikut telunjuk dia. Sebab itulah apa yang ramai sebut selama ini bahawa beliau tidak sepatutnya bersara, sebaliknya terus pegang jawatan Perdana Menteri telah menjadi kenyataan.

Beliau hendak balik menjadi Perdana Menteri sebab tidak ada sesiapa yang dia percaya. Beliau tidak percaya dengan Pak Lah (Abdullah) sebab Pak Lah tak nak ikut cakap dia. Beliau tolong naikkan Najib dan apabila Najib sendiri pun tidak ikut cakap dia, akhirnya dia buat keputusan bahawa “saya tidak akan ambil risiko untuk ambil seorang lagi yang tidak akan ikut cakap saya.”

Sepatutnya dia boleh sokong Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Perdana Menteri, tetapi beliau tidak percaya kepada mereka. Beliau cakap dalam perjanjian awal dengan PKR bahawa selepas beberapa bulan, dia akan serahkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tetapi cerita beberapa bulan sudah jadi dua tahun dan sekarang sudah jadi tiga tahun. Jadi, nampak sangat ini adalah pemimpin yang mahu dia sendiri sahaja memimpin negara. Kita tidak ragui jasa Dr. Mahathir kepada negara.

Itu semua terpahat dalam sejarah. Tetapi ada sebab saya tidak setuju dengan Dr. Mahathir ini, dalam banyak kebaikan yang dibawa kepada negara, ada banyak juga keburukan yang ditinggalkan beliau.

Kalau kita cakap tentang negara yang mengamalkan kronisme, itu semua zaman beliau. Bukan saya cakap tetapi Anwar yang cakap. Kalau kita cakap soal orang-orang kanan yang dikatakan paling rasuah dalam negara, itu bukan saya cakap tapi Anwar cakap pasal Tun Daim Zainuddin.

Bila kita cakap soal keruntuhan institusi negara seperti kehakiman, demokrasi dan media, berapa banyak suratkhabar yang disekat dan berapa ramai ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di zaman Dr. Mahathir.

Jadi senanglah, sekarang ini beliau menangis di dalam video, minta maaf dan katakan dia hendak perbetulkan kesilapan yang telah dibuat dahulu. Bagi saya sudah terlalu lewat. Jangan berlakonlah. Sebab dia bukan hendak sangat perbetulkan kesilapan dahulu. Dia hendak kuasa sahaja.

Saya rasa kalau Najib ikut cakap beliau dan bina jambatan bengkok di Tambak Johor dan kalau Najib ikut cakap dia dalam apa-apa yang dia hendak dahulu termasuk Proton dan sebagainya, saya rasa tak adalah dia menangis kata hendak perbetulkan kesilapan. Ini bukan tentang prinsip tetapi kuasa.

Saya harap kita jangan hanyut dengan nostalgia dan emosi. Saya akui orang yang saya kenal pun bila tengok video itu, hanyut juga. Kita akui jasa beliau tetapi banyak juga kelemahan yang ditinggalkan Dr. Mahathir.

 

Bagaimana YB melihat tindakan DAP tidak menggunakan logo roket sebaliknya logo PKR dalam PRU-14?

KHAIRY: Saya tidak percaya kuasa di sebalik tabir pembangkang adalah Dr. Mahathir tetapi beliau adalah orang yang diletakkan di depan sahaja. Kalau dalam bahasa Inggeris, disebut figure-head (boneka). Beliau berumur 93 tahun. Ajal di tangan Tuhan tetapi kalau ikut norma semula jadi, umur 93 tahun tidak akan tahan 20 tahun lagi. Kalau 10 tahun lagi pun, luar biasa.

Jadi bagi saya yang tunggu untuk beliau, tidak ada lain adalah DAP dan perkara ini telah disahkan oleh Dr. P. Ramasamy dan ‘Superman DAP' Hew Kuan Yau. Semua sudah cakap bahawa sebenarnya bukan Dr. Mahathir yang menggunakan DAP tetapi DAP yang menggunakan Dr. Mahathir sebagai ‘kuda tunggangan’.

Ini saya tidak boleh terima. Saya masuk UMNO untuk kita membantu orang Melayu dan membangunkan Malaysia yang majmuk ini. Tetapi dari awal lagi saya melihat yang menghalang kita adalah parti DAP yang tidak boleh menerima perjanjian asas negara kita dan mempertikaikan kedudukan orang Melayu.

Bagi saya sangat bahaya apabila pada pilihan raya kali ini, satu muslihat besar sedang berlaku apabila DAP sanggup untuk ‘tanamkan’ benderanya sendiri buat sementara waktu supaya orang Melayu tidak marah apabila nampak lambang roket. Dalam tempoh enam hari kita berkempen, saya tidak nampak satu kenyataan besar dikeluarkan oleh Lim Kit Siang ataupun Lim Guan Eng.

Kalau orang Melayu masih lagi ingat, ini strategi komunis dahulu. Komunis tidak akan muncul di tempat-tempat awam dan khalayak. Komunis akan bersembunyi di rumah-rumah penyokong mereka dan orang yang bersimpati dengan mereka. Mereka hanya akan muncul pada serangan hendap yang dibuat kepada pasukan keselamatan kita.

Sama seperti yang berlaku sekarang. DAP tidak muncul kerana mereka hendak orang Melayu melihat bahawa yang cakap ini adalah Dr. Mahathir dan bendera yang digunakan adalah bendera PKR iaitu parti diketuai Anwar yang juga orang Melayu.

Maksudnya, orang Melayu rasa DAP tidak ada dan ia adalah parti yang sudah tenggelam. Tetapi jangan percaya kepada muslihat tersebut.

Kita semua tahu yang di belakang tabir, yang menguasai segala keputusan dan hala tuju pembangkang adalah DAP. Oleh itu jangan sesekali kita terpesona dengan lakonan Dr. Mahathir.

Bagaimana YB melihat faktor Dr. Mahathir mampu membawa ‘tsunami Melayu’ yang diharapkan oleh DAP?

KHAIRY: Mereka (DAP) amat mengharapkan sokongan pengundi Melayu berubah daripada BN kepada pembangkang. Mereka pun tahu hanya dengan perubahan sokongan Melayu sahajalah, mereka boleh menawan Putrajaya.

Sebab itu dalam hari-hari terakhir ini, kita perlu memberikan penjelasan yang cukup teliti bahawa undi untuk Dr. Mahathir adalah undi untuk DAP, undi untuk PKR adalah undi untuk DAP dan undi untuk pakatan pembangkang adalah undi untuk gagasan Malaysian Malaysia dan kesamarataan.

Kalau orang Melayu sedar akan perkara ini, dalam dua tiga hari yang ada, saya percaya perubahan sokongan itu tidak akan berlaku. Hari ini kebanyakan orang Melayu masih bersama dengan kita. Tengoklah apa pun bancian termasuk oleh Merdeka Center, kita masih lagi majoriti.

Tetapi saya risau pembangkang dan Dr. Mahathir akan bermain dengan sentimen. Tolak ke tepi sentimen tersebut tetapi ingat sentimen yang lebih besar iaitu kebimbangan kita tentang DAP dan kemarahan orang Melayu sekiranya DAP berkuasa atau di sebalik tabir pun.

Kewujudan media sosial sepatutnya membuatkan orang lebih matang dan mudah mendapat maklumat tetapi yang berlaku adalah sebaliknya terutama menjadi platform penyebaran fitnah termasuk dalam isu pada hari penamaan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau. Apa komen YB?

KHAIRY: Ini merupakan satu fenomena yang agak bahaya. Walaupun kita sudah ada Akta Antiberita Tidak Benar dan sebagainya, ia tidak cukup cepat untuk menangani fitnah tersebut.

Saya ambil contoh di kawasan saya sendiri, isu berkaitan calon di DUN Rantau. Saya terpaksa saman Mohd. Rafizi Ramli. Kalau tidak, dia akan mengulangi fitnah yang mengatakan bahawa saya dan Datuk Seri Mohamad Hasan bersekongkol dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bila saya sudah hantar surat saman fitnah, dia sudah mula berhenti melakukan tuduhan tersebut tetapi saya akan teruskan dengan saman fitnah itu.

Dia kata bahawa calon itu pergi ke pejabat SPR sehari sebelum penamaan calon untuk minta tag (pas calon). Pegawai pengurus pilihan raya buat laporan polis. Berdasarkan kamera litar tertutup (CCTV), langsung dia tidak pergi untuk minta tag.

Pasal apa, satu Malaysia semua calon boleh dapat tag? Najib boleh pakai tag, Dr. Mahathir boleh pakai tag, Azwan Ali boleh pakai tag tetapi dia ini tidak boleh dapat tag. Sama ada betul atau tidak keputusan SPR, biar mahkamah tentukan. Saya tidak mahu cakap bagi pihak SPR tetapi jangan cakap saya terlibat.

Pengurus pilihan raya adalah pegawai daerah. Seorang lagi pegawai sementara yang dilantik oleh SPR, kebetulan ahli UMNO, dahulu ketua penerangan Pemuda. Tetapi pegawai kerajaan bebas menjadi ahli parti. Kenapa hendak kaitkan dengan saya pula?

Saya kenal dengan dia macam itu sahaja. Bukan budak saya pun. Tetapi dikaitkan dengan menunjukkan gambar. Walaupun kita sudah keluarkan penafian tetapi orang hendak percaya. Sebab orang hendak kata bahawa SPR adalah tali barut BN. Sebab itu walaupun mungkin terlewat kerana saman fitnah saya akan didengar di mahkamah selepas pilihan raya selesai, saya hendak bawa juga Mohd. Rafizi ke mahkamah. Saya hendak ajar. Dia tidak boleh sewenang-wenangnya menipu.

Berbalik kepada soalan tadi, saya melihat media sosial adalah satu medium yang melancarkan penyebaran fitnah. Jadi kita kena betul-betul lawan di media sosial dan beritahu rakyat jangan senang-senang percaya dengan apa yang mereka baca. Saya percaya isu DUN Rantau ini sengaja diperbesar-besarkan kerana mereka mahu membina momentum fitnah ke arah 40,000 Bangladesh siri kedua.

Bila berlakunya tuduhan fitnah itu, mungkin pada malam terakhir, mereka akan kata betullah Tian Chua tidak dapat bertanding, kes yang berlaku di Rantau dan apa jua naratif baharu mereka. Kita perlu beritahu kepada rakyat bahawa ini tidak benar.