Abang hensem tanya kenapa jeling? Katanya, bukan apa, cuma fikirkan anak yang bakal dilahirkan nanti tentu sekali perlukan macam-macam kos. Kos pamperslah, barut, kain bedung, baju lengan pendek, sarung kaki, sarung tangan. Itulah, inilah sampaikan kalau nak kira antara 20 hingga 40 lah barang keperluannya.

Abang hensem setuju sangat. Lampin pakai buang sahaja harganya pun ikut saiz. Kalau yang elok sikit antara RM36 - RM50, tak melecet punggung bayi boleh pakai hingga setengah hari,

Mana yang masuk anak ketiga nasib baiklah sebab ada pakaian abang atau kakaknya. Anak pertama? Macam-macam, itu belum lagi dengan kenduri-kendaranya dan pose yang dirakam peringkat 10 hari, 30 dan 60 hari bayi. Ini semua akan masuk Instagram, WhatsApp dan bagai.

Cuma abang hensem nak berpesan sikit, belanja biar berhemat. Disebabkan pembaziran yang tak perlu ini bergaduh laki bini.

Hidup dalam ekonomi sekarang ni kena berjimat cermat dik. Tapi, kualiti tetap nombor satu.

Biasanya disebabkan nak kejar yang terbaik, sanggup si suami kerja sampai tak ingat dunia. Pagi kerja di pejabat kerajaan, malam pula kerja syif jadi jaga (pak guard). Ya lah, rumah kalau bukan milik sendiri, sewanya paling rendah dalam bandar mahu cecah RM800 sebulan. Abang hensem pun diberitahu ada 960,000 atau 60 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam masih tidak memiliki rumah. Daripada jumlah itu, 75 peratus berumur 40 tahun dan ke bawah.

Rekod Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Julai lalu mendedahkan kerja syif dalam sektor kesihatan awam menyumbang kepada kadar perceraian paling tinggi berbanding sektor pekerjaan awam lain.

Kerja sehingga tiga syif menyebabkan tahap kepercayaan terhadap pasangan sema­kin me­nipis sehingga menjurus kepada perceraian.

Sudahlah kena kerja syif, elaun pula tidak dibayar sebaliknya diganti dengan cuti ganti. Buat apa cuti ganti, cuti yang dulunya pun belum ambil.

Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pula menerusi Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) pada Ogos lalu mendapati kecurangan kini ber­ada pada tangga kedua selepas tiada persefahaman yang menjadi punca utama perceraian.

KPKM-5 mendapati, 56.2% lelaki yang dikaji mengakui tiada persefahaman menjadi punca perceraian manakala 11.8% lagi bercerai kerana isteri berlaku curang.

Dalam kalangan wanita pula, 20.5% mengakui percerai­an yang dialami mereka disebabkan kecurangan suami, sementara 38% disebabkan tiada persefahaman.

Bila abang hensem merujuk statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kes perceraian membabitkan pasangan bukan Islam tahun lalu rupa-rupanya mencatat angka yang tinggi di bandar-bandar besar. Iaitu, sebanyak 9,900 kes dengan tiga negeri mencatatkan kes tertinggi iaitu Johor (1,814), Kuala Lumpur (1,745) dan Sarawak (1,169). Sehingga 30 Jun tahun lalu, 3,069 kes perceraian didaftarkan.

Bagi pasangan beragama Islam pula, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia merekodkan 48,077 kes perceraian sehingga Oktober 2016 manakala 63,463 perceraian berlaku sepanjang 2015.

Eh! melalut pula abang hensem dengan kes-kes cerai ini, sedangkan matlamat utama tadi nak bertazkirah sikit dengan pasangan muda yang baru nak mulakan hidup berumahtangga.

Dan teringat abang hensem dengan pembentangan Bajet 2018 seminggu sahaja lagi, yang ingin juga abang hensem kongsi beberapa idea yang terpapar dari galeri idea bajet2018.najibrazak.com. Mudah-mudahan dije­nguk dan diambil tindakan oleh kerajaan.

Antaranya:


* YUSRI YUSOFF

MOHON DILANJUTKAN CUTI KERANA ISTERI BERSALIN BAGI SUAMI DARI tujuh KE 30 HARI.

Hal ini kerana masa tujuh hari diberikan untuk me­nguruskan hal-hal keluarga tidak mencukupi. Isteri masih belum kuat untuk uruskan anak-anak serta bayi yang baru dilahirkan.


AMIR HUSSIN

ORANG KERJA KAMPUNG TIADA SLIP GAJI

Majoriti penduduk kampung yang kerja tidak berslip gaji. Barangan dan perkhidmatan selalu berlaku kenaikan harga. Pekerja sektor kerajaan diberi bonus dan kenaik­an gaji sedangkan penduduk kampung yang bukan dari golongan penerima bantuan RISDA dan lain-lain bantuan, bagaimana nasib mereka untuk masa akan datang?


KEMEIN GONTOL @ GODOONG

CUTI KHAS MENJAGA ANAK (PENYAKIT KANSER) 
DI HOSPITAL

Ibu bapa (penjawat awam/swasta) yang mempunyai anak penghidap kanser terpaksa ambil cuti tanpa gaji atau berhenti kerja kerana jaga anak yang menjalani rawatan (kemote­rapi). Ibarat sudah jatuh, ditimpa tangga. Saya cadangkan pemberian Cuti Khas Bergaji Penuh kepada yang berkenaan atau pihak kerajaan merancang dan melaksanakan meka­nisme untuk meringankan beban pihak berkenaan.

Bab syor yang akhir daripada saudara Kemein yang abang hensem tak bisa menyeka air mata ini.

Jadi, pasangan muda atau mereka yang bakal menimang cahaya mata beringatlah. Bijaksanalah berbelanja.

Hidup mesti digembirakan. Sekali-sekali ikutlah akak cun tengok bola.

Abang hensem bukan macam akak cun minat pasukan dari EPL. Apa! pasukan mana yang abang hensem minat? Barca...lah.