Annuar menegaskan, untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada parti itu, semua ahlinya mesti menjadi panglima perang - bukan sekadar penumpang yang akan meninggalkan parti apabila berdepan dengan kesusahan.

Dalam pertemuan dengan wartawan Utusan Malaysia, SAFINA RAMLI, Annuar berkongsi misi dan harapannya menjelang pemilihan parti itu Sabtu ini.

 

UTUSAN: Kenapa Tan Sri bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO?

ANNUAR: Sebenar­nya bertanding Timbalan Presiden tidak pernah terlintas di fikiran saya. Saya fikir ini sudah jadi satu tanggungjawab untuk berikan pilihan kepada ahli parti bagi jawatan nombor dua kerana saya masih ahli Parlimen, masih ahli Majlis Tertinggi dan saat parti menempuh kesukaran, saya harus tawarkan diri.

Apakah bentuk barisan ke­pimpinan yang diharapkan selepas pemilihan 30 Jun nanti?

Bakal saf pimpinan yang tawarkan diri hendaklah dipilih dalam kalangan pejuang parti yang sanggup bukan nak jadi penum­pang, jangan bawa penumpang dalam saf ini. Kita nak orang yang sanggup berjuang. Kita kena jelajah negara, berpidato sana sini, perjumpaan aktif dalam Parlimen dan luar. Saf kena ada ketua yang tegas, bijaksana berani dan dihormati. Yang lain kerja dalam satu pasukan, setiap orang kena jadi panglima bukan penumpang dalam gerakan.

Ada mendakwa pemilihan par­ti ini salah satu sebab untuk pemimpin yang tidak dipilih perwakilan untuk keluar dari UMNO. Adakah akan ada adegan keluar parti beramai-ramai selepas ini?

Saya mendoakan jangan ada begitu. Setiap pemimpin kena bertanya hati sendiri kalau kita berjuang secara ikhlas, jangan kita berjuang soal menang atau kalah. Kena tanya kenapa pilih UMNO. Kalau yang masih duduk dalam UMNO kerana nak­kan projek, sekarang tak ada projek. Kalau ber­juang dalam UMNO kerana mahukan pangkat, nakkan kuasa, sekarang tak ada kuasa lagi.

Ada gesaan supaya UMNO dibuka kepada ahli dari pelbagai kaum, adakah Tan Sri setuju?

Idea ini bukan satu benda baharu, jadi kalau sekarang ia nak dibincangkan balik bagi saya kita boleh bincangkan dan saya tidak menolak kemungkinan itu boleh dilakukan. Cuma, jangan terburu-buru. Kena cermat, fikirkan dengan mendalam. Apa yang penting ialah dasarnya, dasar UMNO yang saya harap tidak akan berubah sampai bila-bila ialah komitmen kita berdasarkan kepada perintah Allah kepada kita, yakni kita wajib uruskan kaum dan bangsa Malaysia supaya menjadi bangsa yang dihormati dari usaha kita sendiri.

Kalah dan menang adat ber­tanding. Andai Tan Sri tidak dipi­lih, apa peranan yang akan dimainkan untuk membantu parti?

Saya akan terus mainkan pe­ranan atas apa sahaja jawatan yang ada pada saya iaitu sebagai ahli Parlimen, saya sedar saya bukan calon kegemaran. Saya tidak pernah bersiap sedia untuk bertanding jawatan ini. Jika ditakdirkan Allah kalau dipilih, maka saya terpilih. Tidak pernah dalam politik saya mengejar jawatan.

Tentang dakwaan politik wang dalam pemilihan UMNO kali ini, adakah masih wujud lagi amalan sebegini?

Banyak berkurangan berban­ding dengan dahulu kerana sistem telah berubah kerana yang membuat pemilihan sekarang ramai, jumlah yang banyak. Kalau dah mula berkempen dan berpuak, penyakit ini akan masuk. Sebab itu saya tidak masuk ke dalam zon itu. Saya reda tidak ada apa jawatan pun, tetapi kecintaan saya kepada parti tetap ada.

Keputusan pemilihan sayap jelas memperlihatkan ahli parti menolak pemimpin daripada kem-kem terdahulu, seperti contohnya, Khairul Azwan Harun yang dikaitkan dengan kem Khairy Jamaluddin tidak dipilih sebagai Ketua Pemuda, adakah perkara yang sama akan berlaku ketika pemilihan nanti?

Siapa sahaja yang menang walaupun hanya satu undi, semua sekali kena berada di belakang ketua, kita ada urusan besar, tak perlu labelkan itu, ini. Makin ulas jadi negatif, singgung perasaan orang, ikut sistem kita pilih.Yang penting kita beri isyarat yang baik diterima rakyat Malaysia. Para akhir lagu UMNO, UMNO untuk rakyat Malaysia. UMNO bukan untuk orang Me­layu sahaja, untuk rakyat Malaysia. UMNO perlu ke depan, sebab UMNO itu kapal. Yang kelasi dan sebagainya yang nak tinggalkan kapal teruskan tetapi kapal perlu terus belayar. Mana yang bocor kita baiki.