AKHBAR Oriental Daily bertarikh 11 Mei 2018 memaparkan tulisan Chuang Jen Kiat melalui ruangan Kolum ODN yang mempersoalkan kemam­puan kerajaan Pakatan Harapan perbaiki negara.

Memulihkan perundangan negara amat penting kerana mahkamah sepatutnya dibiar membuat keputusan secara bebas, memberikan keadilan dan kebenaran kepada rakyat.

Artikel ini disiapkan pada pukul 4 petang 10 Mei 2018 ketika Pakatan Harapan masih belum menjadi kerajaan secara rasmi.

Persoalannya, ke mana hala tuju negara kita? Sehingga hari ini masih belum ada jawapan tepat tetapi yang lebih jelas kita dalam proses perubahan.

Penyerahan kuasa kali ini akan menjadi teladan pada masa akan datang. Sekalipun berlaku tukar kerajaan sekali lagi kelak, tradisi bergilir memerintah boleh menjadi satu tradisi baharu.

Adakah manifesto Pakatan Harapan akan dapat dilaksanakan kesemuanya? Contohnya, hapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST), penambahbaikan infrastruktur awam dan perubahan polisi?

Sejauh mana akan direalisasikan oleh kerajaan baharu ini? Walaupun dilihat usaha hapuskan pelbagai polisi itu nampak mudah tetapi sebenarnya akan berdepan pelbagai kesukaran.

Kita lihat selepas penghapusan GST kelak, adakah akan berlaku kucar-kacir ataupun tidak.

Dari saat ini sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang, jika kerajaan Pakatan Harapan tidak dapat merealisasikan apa yang dijanjikan dalam manifesto mereka, mereka masih boleh menang PRU-15 selagi azam mahukan perubahan itu masih ada.

Tetapi ada sesetengah perubahan politik perlu diselesaikan dalam waktu penggal pertama untuk pastikan mereka terus mendapat sokongan rakyat untuk terus memerintah.

Ini termasuk mengubah sistem pilihan raya, hadkan kuasa perdana menteri dan kembalikan hak kebebasan perundangan.

Selama ini Pakatan Harapan bantah persempadanan semula kawasan undi serta pelbagai ketidakadilan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), semua itu perlu dibersihkan dalam masa lima tahun pertama mereka.

Sistem kerajaan perlu lebih ringkas, hadkan kuasa perdana menteri termasuk penggal jawatan serta pecahkan kuasa ke kementerian ataupun jabatan lain perlu dilaksanakan dengan segera.

Perubahan seperti ini akan memberi impak yang besar kepada masyarakat dan ekonomi. Jika benar Pakatan Harapan mampu laksanakan perubahan politik dan ekonomi, ramai rakyat miskin negara kita dapat dibela.

Ini juga supaya pelbagai polisi tidak lagi condong kepada memberi kekayaan kepada pemimpin politik.

Bagaimanapun, tindak tanduk kerajaan Pakatan Harapan akan diperhatikan dengan teliti oleh rakyat. Ini adalah cabaran pertama yang akan dihadapi selepas mereka pegang tampuk kepimpinan.

Pada masa sama, mereka perlu pastikan rakyat faham Malaysia hari ini sudah masuk zaman pentadbiran berdasarkan perundangan, tidak lagi mengharapkan rasuah ataupun gunakan saudara-mara ikut pintu belakang.

Sebenarnya, ke manakah hala tuju Malaysia selepas ini? Sehingga hari ini masih lagi tanda tanya. Mampukah kerajaan Pakatan Harapan lakukan perubahan dan elak negara ini daripada terus tenggelam? kita tunggu dan lihat.

Hargai PACA dan 
jangan lupa diri

AKHBAR Sinchew Daily bertarikh 15 Mei 2018 pula memaparkan tulisan How Ping Seng dalam ruangan Sudut Pendapat yang mahu kerajaan baharu hargai Ejen Pusat Mengundi dan Mengira Undi (PACA) dan jangan lupa diri selepas menjadi pemerintah.

Tarikh 9 Mei 2018 membuka lembaran baharu dalam sejarah Malaysia. Rakyat berjaya menggunakan undi dalam tangan mereka untuk menamatkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama 61 tahun.

Tidak kira apa cara parti pemerintah dahulu gunakan untuk menang, akhirnya rakyat yang menentukan mandat. Ini akan menjadi asas penting titik permulaan dwikuasa.

Pemimpin Pakatan Harapan juga perlu sedar sambutan PACA kali ini bertambah.

Sebelum ini orang ramai tidak faham fungsi PACA, ditambah dengan pelbagai kerisauan dan keraguan, masing-masing menolak kewujudan PACA tetapi PRU kali ini agak berbeza.

Fungsi sebenar PACA selain daripada mengawasi keseluruhan perjalanan undian dan perjalanan mengira undi, mereka juga perlu berani persoalkan jika ada perkara mencurigakan.

PACA juga perlu memahami undang-undang PACA dan PRU supaya apabila ada keraguan dan kesilapan oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mereka boleh menasihati.

Di kawasan pedalaman se­perti di Jerantut, Pahang masih kekurangan PACA, ramai orang luar yang datang membantu termasuk penulis sendiri.

Apabila tiba di kawasan tersebut, PACA berada di barisan hadapan untuk mengawasi proses mengundi dan pengiraan undi dilaksanakan secara adil dan tertib.

Setelah mendapat latihan beberapa kali, PACA Pakatan Harapan bersemangat dan profesional seperti PACA parti lain untuk menjaga undi yang dibuang pe­ngundi.

Walaupun PACA Pakatan Harapan tidak mendapat bayaran yang lumayan, mereka tekun menjalankan tugas dan kerajaan perlu beri sedikit pengiktirafan kepada mereka.

Hari ini MCA sudah menjadi parti pembangkang, secara ikhlas penulis berharap tinggalkan yang lama dan bina yang baharu. Imbas kembali kesilapan diri, secara jujur dan insaf bukannya terus menerus menolak tanggungjawab itu kepada pengundi.

Rakyat juga jangan terlalu perlekehkan MCA, berilah ruang dan masa kepada MCA supaya boleh hidup kembali, sudah tentu sebuah politik dwikuasa perlu ke­seimbangan dengan adanya parti pembangkang membantu rakyat mengawasi dan mengimbangi kerajaan yang memerintah, supaya Pakatan Harapan tidak lupa diri sehingga menjadi BN 2.0 pula kelak.

Ini semua baru permulaan. Hakikat dan tujuan sebenar kita ialah tinggalkan rasuah, perjalanan kita masih jauh lagi. Kembali kepada sistem demokrasi untuk tenteramkan jiwa rakyat.