PUTRAJAYA, 28 Ogos -- Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Seri Ismail Bakar dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) baharu menggantikan Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkuat kuasa esok.Ismail, 58, pernah memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha bagi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Pengangkutan, Pengarah Belanjawan Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan dan Penasihat Kanan ibu Pejabat Bank Dunia, Washington DC, Amerika Syarikat.-- fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerahkan watikah pelantikan Ismail ketika pertemuan ringkas di pejabatnya di Perdana Putra, di sini hari ini.

Kontrak perkhidmatan Ali sebagai KSN tamat hari ini selepas berkhidmat selama le­bih enam tahun.

Ismail ketika ditemui berkata, beliau akan melaksanakan a­ma­nat Perdana Menteri de­ngan baik bagi memastikan pe­nyampaian per­khidmatan awam yang cekap kepa­da rakyat.

“Sudah tentunya dalam era ini kita mahu memastikan integriti dan akauntabiliti berada pada tahap terbaik dalam kalangan penjawat awam,” katanya.

Ditanya mengenai prestasi sektor awam ketika ini, beliau berkata secara keseluruhannya ia sangat baik, namun kepercayaan rakyat perlu diraih semula berikutan beberapa insiden membabitkan penjawat awam sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ismail, 58, lulusan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya, Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan Doktor Falsafah dari University of Hull, United Kingdom itu telah 32 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam serta berpengalaman luas dalam bidang pengurusan ekonomi dan kewangan.

Beliau mula me­nyer­tai Per­khidmatan Tadbir dan Diplomatik pada Januari 1986 dan pernah meme­gang jawatan sebagai Ke­tua Setiausaha bagi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Pengangkutan, Pengarah Belanjawan di Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan dan Penasihat Kanan ibu Pejabat Bank Dunia, Washington DC, Amerika Syarikat.

Pada 12 Jun lepas, beliau dilantik sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan menggantikan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah yang telah dipendekkan kontrak perkhidmatannya.