Institusi Raja Berperlembagaan bukan sahaja menzahirkan sistem beraja yang masih terpelihara dan diamalkan tetapi menjadi identiti atau jati diri negara yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Institusi Raja Berperlembagaan menjadi teras kepada amalan bernegara apabila institusi yang luhur dan unggul ini dipasakkan dalam beberapa peruntukan dalam Perlembagaan. Kedudukan dan peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara termaktub dalam Perkara 32, Perlembagaan Malaysia.

Rakyat Malaysia sangat bertuah kerana telah menyaksikan satu peristiwa penting dan bersejarah apabila Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ditabalkan pada 30 Julai yang lalu.

Istiadat pertabalan ini memberikan makna yang besar dan menjadi acara rasmi kerajaan sehingga diberikan cuti umum. Rakyat berpeluang mengikuti istiadat ini secara langsung melalui kaca televisyen dan media sosial serta menyantuni proses pertabalan yang gilang gemilang mengikut warisan Kesultanan Melayu yang pastinya menarik minat mereka.Antara yang menarik, dalam istiadat pertabalan ini, rakyat dapat menyaksikan singgahsana tempat bersemayam kedua-dua paduka ayahanda ketika ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh dan kelapan digunakan kembali dengan persiapan rapi oleh pihak Istana Negara selama lebih dua bulan.

TERAS PERLEMBAGAAN

Istiadat pertabalan ini diharapkan tidak menjadi sekadar satu upacara yang muluk tetapi dapat memberikan impak yang besar kepada rakyat khususnya generasi muda. Dalam konteks yang lebih luas, kesedaran dan kefahaman tentang institusi beraja mestilah dipupuk dalam kalangan rakyat Malaysia pada usia muda melalui wahana pendidikan. Anak-anak muda kita hendaklah diperkenalkan dan diserasikan dengan institusi beraja agar wujud rasa hormat dan kasih sayang kepada tiang seri negara ini.

Ungkapan raja dan rakyat berpisah tiada sememangnya tepat dengan hakikat institusi raja yang selama ini kita dukung dan sanjung. Tembok yang memisahkan antara raja dengan rakyat tidak boleh terlalu tinggi sehingga wujud jurang, sekali gus menjarakkan hubungan akrab antara kedua-dua pihak. Hakikatnya, raja dan rakyat memerlukan antara satu sama, umpama aur dengan tebing.

Kita mesti menerima hakikat bahawa institusi raja bukan sahaja perlu dihormati oleh orang Melayu tetapi seluruh rakyat Malaysia. Malangnya, perkembangan semasa memperlihatkan wujud segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab cuba menyanggah kerelevanan dan menggugat institusi Raja dengan mengambil kesempatan daripada hak dan kebebasan bersuara.

Umpama ‘hujan jatuh ke pasir’, tindakan ini sangat tidak wajar dan tidak membawa sebarang makna kerana institusi raja bukanlah satu institusi yang diada-adakan tetapi menjadi teras kepada keutuhan Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara. Pemikiran yang menolak institusi beraja ini boleh meruntuhkan peradaban negara. Institusi ini merupakan salah satu tonggak tatanegara atau politik sejak zaman berzaman.

Institusi raja mempunyai peranan yang tersendiri dalam konteks peradaban dan pembangunan masyarakat. Misalnya, Yang di-Pertuan Agong boleh menyampaikan amanat kepada rakyat tentang pengukuhan negara bangsa dan penyatuan rakyat demi kesejahteraan bersama. Titah Diraja di Parlimen misalnya akan menjadi acuan dalam penggubalan dasar nasional, memberi petunjuk kepada pembangunan ekonomi negara dan merupakan garis panduan dalam penggubalan atau pindaan undang-undang.

Tekad Yang di-Pertuan Agong untuk melihat penyatuan kaum boleh menjadi sumber inspirasi untuk kita terus menjalin dan memperkukuh perpaduan nasional. Kedudukan Yang di-Pertuan Agong yang mengatasi tembok politik boleh menjadi wahana penyatuan agar rakyat boleh hidup bersama-sama tanpa dibatasi perbezaan dan fahaman politik yang semakin tidak keruan.

LAMBANG RAJA MODEN

Titah baginda, “semua pihak agar jangan sekali-kali cuba mencetuskan api perselisihan dengan membangkitkan perkara yang boleh menggugat dan meruntuh keharmonian negara” perlu dijadikan pedoman, panduan dan peringatan yang jelas dalam konteks “kesatuan dalam kepelbagaian” di negara ini. Seharusnya sikap “serempun bak serai, sesusun bak sireh” perlu dijadikan amalan kehidupan rakyat jelata.

Titah baginda lagi, “bermain dengan api bukan hanya membakar diri sendiri, malahan turut membakar seluruh kampung halaman” meskipun berkias, sarat dengan makna bahawa akibat buruk yang boleh membawa keruntuhan sebuah negara bangsa akhirnya. Pendek kata, “sama lebur, sama binasa”.

Sesungguhnya, rakyat Malaysia meletakkan harapan yang tinggi kepada institusi raja di negara ini. Kedudukan dan peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara juga sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sememangnya dijadikan sandaran rakyat untuk memayungi kedaulatan dan melindungi keselamatan negara. Sesungguhnya, Yang di-Pertuan Agong merupakan inspirasi kepada rakyat agar hidup dalam rukun dan damai.

Dalam era demokrasi dan penyertaan politik rakyat yang semakin terbuka, institusi raja bukan sekadar simbol semata-mata. Hal ini demikian kerana institusi tersebut sebenarnya boleh memainkan peranan kritikal dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat, memacu pembangunan negara dan memperkukuh peradaban bangsa. Pada masa sama, institusi raja juga dilihat boleh menyantuni perubahan semasa agar terus relevan dan dihormati rakyat jelata. Ibarat kata “kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan”.

Istimewanya, keperibadian tinggi dan sikap mesra Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang banyak dikongsikan dalam media terutama media sosial, pastinya meruntun hati dan jiwa rakyat Malaysia untuk terus menyanjung tonggak negara ini. Baginda berdua merupakan lambang raja moden yang dekat di hati rakyat jelata. Kita yakin, sandaran dan harapan rakyat kepada institusi raja boleh diperkukuhkan ke tahap yang lebih tinggi dengan ketinggian peribadi dan sikap mudah mesra yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berdua ini. Daulat Tuanku.

DATUK MOHD. NIZAR SUDIN ialah ­penganalisis politik dan ­pensyarah kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra ­Malaysia (UPM).