Apatah lagi pemimpin politik atau public figure. Tetapi nama-nama ini dikatakan begitu terkenal di ‘dunia’ berbeza, iaitu di alam media sosial. Golongan berkenaan dilabelkan sebagai Instafamous atau kelompok individu berpengaruh (Social Media Influencer).

Dalam dunia yang ‘berkiblatkan’ media sosial sekarang ini, kita dianggap ketinggalan pula kalau tidak mengenali mereka.

Hanya mempertaruhkan wajah cantik atau handsome sehingga membuatkan netizen terpersona, maka sekelip mata follower mereka mencanak naik.

Apa sahaja ‘selebriti’ ini pakai, makan, cakap, semua nak tiru. Artis Pop Amerika Syarikat, Andy Warhol melalui petikan popularnya pernah menyatakan: “In the future, everyone will be world famous for fifteen minutes.” Ramalan beliau pada tahun 1969 itu mungkin ada benarnya apabila pada abad ini wujud persekitaran baharu media sosial yang membolehkan sesiapa sahaja boleh jadi terkenal.

Dan dari situlah munculnya Social media influencers. Mereka telah membentuk dan mempengaruhi sikap audiens menerusi blog, vlog, tweets dan apa sahaja yang dikongsi menerusi platform itu.

Menurut satu kajian, rakyat Malaysia merupakan antara pengguna Instagram aktif, meliputi 73 % pengguna. Media sosial dipercayai telah mampu mengubah cara berfikir selain mem­pengaruhi kelang­sungan hidup terutama dalam kalangan anak muda khususnya generasi Z.

Mereka adalah pengguna tegar digital dan media sosial sehingga terlalu berorientasikan kepada individu berpengaruh seperti Instafamous.

Sebab itu ramai usahawan berebut-rebut untuk menggu­nakan mereka ini bagi melariskan perniagaan masing-masing.

Ia dikatakan sebagai salah satu strategi pemasaran utama ketika ini. Mereka percaya kuasa media sosial mampu memberi pulangan berganda.

Oleh sebab itu, para Instafamous ini boleh kaya sekelip mata. Dengan hanya membuat paid review (ulasan barangan berbayar) menerusi akaun media sosial masing-masing, mereka mampu memperoleh pendapatan melebihi lima angka sebulan!

Dan dalam keghairahan masyarakat hari ini untuk mengejar kekayaan cepat dan mudah di samping glamour, ramailah yang bercita-cita untuk menjadi Instafamous.

Jangan terkejut kalau itu menjadi impian budak-budak remaja sekarang. Mereka tidak lagi berminat untuk menjadi doktor, arkitek atau jurutera. Lebih mengejutkan, ada yang memberi alasan tidak perlu lagi nak belajar tinggi-tinggi.

Tak ada ijazah, tak lepas SPM pun tak kesah, cukup dengan hanya famous di media sosial dah mereka juga boleh jadi kaya melebihi orang yang memiliki PhD sekalipun. Benarkah begitu?

Sebelum ini, viral dua budak kembar berstatus Instafamous yang menyalahkan guru-guru dan sekolahnya kerana gagal dalam peperiksaan.

Walaupun memperoleh keputusan buruk 7G dan 2E dalam peperiksaan pertengahan tahun dan masih tidak lepas SPM, mereka berdua mampu memperoleh pendapatan RM12,000 sebulan hanya dengan melakukan paid reviews produk daripada pelbagai jenama syarikat.

Kekayaan mudah Instafamous ini memberi ‘inspirasi’ songsang kepada ramai remaja bahawa mereka tidak perlu lagi ‘pecah kepala’ untuk belajar tinggi-tinggi. Sekolah tak pandai pun boleh hidup senang.

Dalam isu ini, Pensyarah Kanan Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya (UM), Dr. Rosila Bee Mohd. Hussain ada berkongsi pandangannya dengan Cekmek Molek.

Menurutnya, Instafamous adalah kaedah kini yang digunakan remaja untuk ‘mengelak’ daripada terus mengorak langkah mencapai kejayaan melalui pendidikan.

Antara sebabnya, Instafamous dianggap sebagai satu konsep self-branding yang semakin dikejar mereka.

Individu yang mempunyai keupayaan unik dianggap satu keuntungan sebagai selling-point mengikut keperluan atau minat followers mereka.

“Keinginan dan kepercayaan diletakkan untuk menjadi Instafamous mendorong remaja fokus kepada aspek imej semata-mata dan bukan kebijaksanaan ‘sebenar’ dengan berusaha memperoleh kejayaan di masa depan.

“Pendedahan tentang bagaimana seseorang boleh menjana pendapatan melalui Instafamous juga secara tidak langsung ‘diterima’ oleh ramai sekali gus menggalakkan lagi remaja mencari jalan mudah untuk memperoleh pendapatan tanpa perlu memiliki kelayakan khusus.

Kesedaran bahawa tanpa ilmu sebenar tidak membantu mereka berhadapan dengan masyarakat realiti, tidak lagi diutamakan,” katanya lagi.

Walaupun diakui ada sisi baiknya penggunaan media sosial jika dimanfaatkan dengan betul, tetapi masyarakat tidak boleh mengetepikan satu kajian yang dilaksanakan pada tahun 2017 yang telah mendedahkan bahawa Instagram telah disenaraikan sebagai media sosial paling teruk mempengaruhi kesihatan mental remaja.

Oleh itu, dalam mengawal masalah ini, Rosila menggesa pelbagai pihak terutama keluarga, sekolah dan masyarakat untuk memantau penggunaan media sosial anak-anak remaja khususnya yang masih di bangku sekolah.