Ini kerana jika 30 tahun lalu dasar pendidikan ialah untuk menyediakan modal insan untuk bersaing sesama manusia tetapi untuk berdepan dengan tempoh yang sama di masa akan datang, manusia perlu bersaing dengan mesin (komputer) atau robot.

Pengumuman yang dibuat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengenai keutamaan kerajaan untuk menyusun semula sistem pendidikan perlu dilihat sebagai pandangan jauh kerajaan dalam menyediakan anak-anak ba­ngsa mendepani revolusi industri yang lebih hebat di masa akan datang.

Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, ia akan hanya akan dilakukan jika rakyat terus memberi mandat kepada kerajaan sedia ada untuk terus memerintah. Dalam satu majlis di ibu negara baru-baru ini, beliau menegaskan, kerajaan yang bertanggungjawab perlu membuat persediaan bagi mewujudkan set kemahiran baharu dalam kalangan rakyat bagi mendepani cabaran kesan daripada Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri ini sebenarnya senada dengan apa yang diperkatakan oleh Penasihat Ekonomi Digital Malaysia, Jack Ma pada Forum Ekonomi Dunia yang berlangsung di Davos, Switzerland bulan lalu.

“Jika tidak mengubah cara kita mengajar (membina modal insan untuk hari esok), kita akan berdepan dengan masalah dalam tempoh masa 30 tahun akan datang kerana apa yang diajarkan hari ini adalah sesuatu yang berpandukan pengetahuan (silam) yang berusia 200 tahun.

“Kita juga tidak boleh mengajar anak-anak untuk bersaing dengan mesin (komputer) kerana mereka ini (mesin-komputer) ­lebih bijak. Oleh itu, kita perlu me­ngajar anak-anak sesuatu yang unik yang tidak boleh disaingi oleh mesin,” katanya yang juga Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba.

Apa yang dikatakan oleh ­ke­­­dua-dua pemimpin dalam lapangan masing-masing seharus­nya dijadikan sebagai ‘pembuka mata’ kepada para pelaksana untuk membuat persiapan dari sekarang dalam usaha menyediakan insan-insan berpengetahuan berdepan dengan cabaran dan keperluan 30 tahun akan datang.

Di mana kita ketika itu bukan persoalannya tetapi bagaimana anak-anak bangsa ketika itu menyeberangi arus dan badai yang melanda seharusnya difikirkan. Teringat kepada situasi pada satu ketika dulu apabila pengkritik yang gemar membidas dasar-dasar pendidikan yang didakwa kerap berubah-ubah dan ini menyulitkan pelaksana menjalankan tanggungjawab mereka.

Jawapan kepada pengkritik ini ialah sebagaimana yang dikatakan oleh pemimpin di atas, untuk menyediakan asas bagi keperluan masa depan yang kerap berubah-ubah, sudah tentu dasar juga perlu kerap ditukar agar ia kekal relevan.

Bagi yang berkelapangan, me­reka boleh melayari laman-laman sesawang yang ‘berkenalan’ de­ngan seorang ahli fizik Amerika berketurunan Jepun, Michio Kaku. Beliau banyak bercakap mengenai kebarangkalian mengenai masa depan pada forum-forum bertaraf antarabangsa dan ada antara yang dikatakannya boleh mencetuskan kebimbangan mengenai bagaimana kecerdasan buatan (AI) mula menguasai manusia.

Bayangkan jika kita boleh melayari internet dengan ha­nya mengelipkan mata melalui pemakaian kanta sesentuh atau apa juga peranti yang bakal di­cipta. Bagaimana perkara ini boleh mempengaruhi dunia akademik yang mana mahasiswa di universiti tidak lagi memerlukan lagi menyalin atau membuat nota. Malah tahap kebijaksanaan dan keupayaan manusia untuk mengakses maklumat akan mencapai satu peringkat yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.

Kini, ia mungkin hanya cakap-cakap tapi bukan sesuatu yang mustahil dalam tempoh tidak lama dari sekarang menjadi ke­nyataan. Ramai antara kita mungkin mengenali Asimo, robot yang dikeluarkan oleh syarikat Jepun, Honda dalam tahun 80-an dan ia kini semakin ‘bijak’. Robot ini diprogramkan untuk melakukan aksi semacam manusia dan sejak dibangunkan ia terus diperkayakan dengan keupayaan AI

Dalam masa 10 atau 20 tahun lagi, Asimo tentunya akan bertambah bijak dengan input-input baharu diperkayakan ke dalam memorinya. Mungkin juga kita perlu mengimbas semula filem I, robot yang dibintangi oleh Will Smith pada tahun 2004.

Filem futuristik ini mengenai kewujudan robot untuk membantu manusia tetapi ada dalam kala­ngan mereka diprogramkan untuk melakukan sebaliknya. Walau apa pun, dunia nampaknya seakan sedang bersiap sedia untuk berdepan situasi manusia dan mesin (robot-komputer) akan bekerja bergan­ding tangan. Revolusi telefon pintar berlaku dengan pantas.

Kemunculan situasi yang ma­na manusia dan robot melalui penzahiran teknologi-teknologi AI yang semakin canggih juga pantas dan jurang yang ada sentiasa merapati kita. Masanya akan tiba dan apakah persediaan kita?

Menyediakan anak bangsa bagi menghadapi keperluan tenaga kerja 30 tahun akan datang bukan mu­dah kerana berdasarkan ramalan atau jangkaan masa depan, walaupun bersifat fiksyen, ia mu­ngkin benar atau tidak.