Daripada ucapan menteri, sebagai warga pendidikan kita harus sedar bahawa apa yang berlaku di sekolah akan memberikan impak kepada pendidikan tinggi kerana yang akan menyambung pengajian mereka di institusi pendidikan tinggi (IPT) adalah lepasan sekolah. Apa yang berlaku di peringkat pendidikan tinggi perlu diberi perhatian oleh sekolah kerana mereka perlu menyediakan murid untuk sebarang perubahan yang berlaku dalam pendidikan tinggi. Pendidikan adalah proses yang berlaku sepanjang hayat, oleh itu kementerian sentiasa perlu bersiap siaga menyediakan pelbagai kemudahan dan kepakaran bagi memberi peluang kepada setiap individu untuk menikmati akses kepada pendidikan berkualiti tidak kira siapa mereka, dari mana mereka datang atau tahap pengetahuan yang mereka ada kerana selaras dengan aspirasi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2014: Education for Sustainable Development - setiap manusia perlu peluang mendapatkan ilmu, kemahiran, sikap dan nilai yang diperlukan untuk membentuk masa hadapan yang lestari.

Seruan Menteri Pendidikan agar semua warga pendidik kembali kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) memang amat tepat pada masanya. Jika dikaji dengan mendalam, aspirasi FPK mendahului Sustainable Development Goals UNESCO 2014, Education for All yang diwartakan pada 2000 mahupun The Four Pillars of Education dalam Delor’s Report 1996 yang diperakui UNESCO juga. Semua warga pendidikan seharusnya bersedia sebagai satu pasukan untuk mengubah paradigma dan cara bekerja dalam mendepani kepesatan teknologi yang dijenamakan sebagai Revolusi Industri 4.0.

NEGARA MAJU

Menjelang tahun hadapan, negara akan mencapai Wawasan 2020, satu visi untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang 2020 dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian serta didukung oleh nilai etika paling tinggi. Visi ini adalah selari dengan FPK yang meletakkan keseimbangan dan kesejahteraan diri sebagai teras masyarakat yang dapat menyumbang kepada negara.

Dalam merealisasikan hasrat murni yang telah diperjelaskan dalam Amanat Menteri Pendidikan 2019, satu cabaran yang perlu ditangani oleh Kementerian Pendidikan ialah memastikan mereka yang akan melaksanakan aspirasi kementerian bersedia untuk berubah selaras dengan kepesatan ledakan teknologi. Peraturan dan pekeliling sedia ada perlu dikaji semula agar tidak mengekang usaha pantas untuk memartabatkan pendidikan negara. Satu contoh yang ketara untuk menyahut seruan menteri bagi pengantarabangsaan IPT dan menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan, kementerian sendiri perlu melihat semula peraturan berkenaan mobiliti inbound dan outbound bagi mempermudah urusan pensyarah memberikan khidmat ke luar negara serta cendekiawan dari luar berkongsi kepakaran mereka di negara ini. Kementerian juga perlu berganding bahu mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Imigresen dan agensi berkaitan bagi memastikan urusan pelajar antarabangsa dipermudahkan dan pengalaman mereka belajar di negara ini menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan bagi mereka. Apabila mereka melalui suasana pembelajaran yang bermakna di negara ini, sudah tentu mereka akan menghargai pengalaman ini dan akan memberikan kempen percuma terhadap pendidikan negara ini di negara asal mereka. Usaha ini akan menjadikan pendidikan tinggi di Malaysia kekal relevan dan dihormati serta menjadi rujukan di peringkat global.

CABARAN

Satu lagi cabaran yang sentiasa dihadapi kementerian adalah memastikan penyampaian maklumat yang tepat dan meluas, serta mesej yang mudah difahami oleh semua peringkat pelaksana. Pelbagai usaha telah dijalankan oleh kementerian sama ada melalui media elektronik, cetak ataupun sosial dan juga interaksi secara bersemuka, namun salah faham dan ketirisan maklumat tetap berlaku. Begitu juga dengan kesinambungan pendidikan dan sinergi yang perlu diperkukuh antara pendidikan asas dan pendidikan tinggi. Setiap perkara yang dilaksanakan di kedua-dua sektor ini akan mempunyai impak jangka pendek dan jangka panjang dalam pelaksanaan inisiatif pendidikan. Sebagai contoh, apakah impak pemansuhan Seksyen 15(2)(c) dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti yang diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat pada 12 Disember lalu? Kepada pelajar universiti, mereka akan mempunyai lebih kebebasan untuk bersuara dan berpolitik di kampus tetapi kepada murid sekolah, apakah implikasi jangka panjang? Kita jangan lupa bahawa yang akan menjadi pelajar di universiti masih berada di sekolah sekarang. Untuk berpolitik di kampus, pelajar perlu mempunyai kematangan, toleransi tinggi, kemahiran komunikasi dan kemahiran memimpin yang perlu dipupuk sejak dari bangku sekolah lagi.

DR. HAYATI ISMAIL ialah Pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Pengarah Pusat Komunikasi Strategik (StraComm), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).