Kali terakhir lebihan paling rendah dipunyai Malaysia direkodkan pada suku kedua tahun 2016 dengan nilai sebanyak RM3.1 bilion. Lebihan rendah ini direkodkan berdasarkan nilai eksport bersih bagi barangan telah berkurangan disebabkan jumlah import yang meningkat sebanyak RM9.9 bilion kepada RM176.4 bilion berbanding nilai pada suku pertama 2018 iaitu sebanyak RM166.4 bilion.

Eksport Malaysia dilihat telah meningkat secara sederhana daripada RM202.1 bilion kepada RM202.4 bilion rekod pada suku tahun semasa. Rekod menunjukkan defisit yang lebih besar dalam pendapatan primer disebabkan pembayaran dividen yang lebih tinggi kepada pelaburan asing sekali gus menyebabkan lebihan negara menjadi lebih rendah.

Adakah suatu keperluan untuk rakyat memahami BOP ini? Usah khuatir, kita tidaklah perlu memahami BOP ini persis bak pakar ekonomi. Cukuplah sekadar memahami apa kaitannya dengan keadaan ekonomi semasa negara.

Sudah pasti, sebagai rakyat dan pengguna, kitalah yang perlu berhadapan dengan segala bentuk tekanan ekonomi yang berlaku ke atas negara kita. Malah kita jugalah yang perlu mengeluarkan wang untuk berbelanja membeli itu dan ini.

Imbangan pembayaran atau BOP yang wajar kita fahami ini merupakan satu penyata kewangan yang merekodkan semua nilai urusniaga dan aliran wang yang berlaku di antara Malaysia dengan negara lain di seluruh dunia dalam satu tempoh masa tertentu. Laporan BOP akan memaparkan segala penerimaan kewangan di bahagian kredit manakala segala pembayaran pula dicatat di bahagian debit.

BOP boleh dibahagikan kepada 3 akaun iaitu imbangan akaun semasa, imbangan akaun modal dan imbangan akaun kewangan. Imbangan akaun semasa merekodkan semua jumlah import dan eksport barangan, perkhidmatan, pendapatan primer dan pendapatan sekunder.

Pendapatan primer terdiri daripada pampasan pekerja seperti upah, gaji dan faedah lain yang diperoleh oleh warganegara asing yang bekerja di Malaysia dan warganegara Malaysia yang bekerja di luar negara. Selain itu ia juga merupakan pendapatan pelaburan iaitu keuntungan dan dividen daripada pelaburan yang dibayar kepada pelabur asing yang melabur di Malaysia dan pendapatan yang diterima oleh warganegara Malaysia yang melabur di luar negara.

Pendapatan sekunder merupakan semua pendapatan yang berbentuk bayaran pindahan iaitu urus niaga yang tidak memerlukan balasan. Sebagai contoh ialah biasiswa, bantuan, kiriman wang dan derma.

Imbangan akaun modal akan merekodkan semua aset bukan kewangan dan pemindahan modal. Akaun kewangan pula memaparkan pelaburan langsung, pelaburan portfolio, aset rizab dan pelaburan lain. Imbangan akaun kewangan inilah yang merekodkan aliran keluar masuk modal bagi sesebuah negara.

Apabila baki BOP negara berada pada nilai positif, ini bermaksud adanya lebihan. Baki negatif pula menunjukkan negara mengalami nilai defisit. BOP amat penting dalam membantu pucuk pimpinan negara menentukan dasar perdagangan, perindustrian dan ekonomi negara di samping membantu ahli ekonomi dan penganalisis memahami kekuatan ekonomi negara berbanding negara lain di dunia ini.

Sudah tentulah lebihan akan menguntungkan negara kerana negara boleh menambah rizab pertukaran asing negara. Apabila berada dalam keadaan defisit amatlah merugikan negara kerana ia menyebabkan negara kekurangan rizab pertukaran wang asing, menjejaskan kestabilan nilai mata wang dan mengurangkan kegiatan ekonomi negara. Keadaan defisit juga menyebabkan kerajaan terpaksa campur tangan melalui kawalan langsung terhadap ekonomi.

Laporan perkembangan ekonomi suku tahun kedua 2018 telah menunjukkan peningkatan jumlah import mengatasi jumlah pertumbuhan eksport. Lebihan akaun barangan menyusut kepada RM26.1 bilion berbanding suku pertama bernilai RM35.7 bilion. Defisit akaun perkhidmatan pula diperhatikan lebih besar dengan nilai RM6.2 bilion berbanding nilai defisit RM5.8 bilion pada suku pertama. Faktor utama hal ini terjadi adalah disebabkan pembayaran bersih yang lebih tinggi kepada penyedia perkhidmatan asing dalam segmen pembinaan dan pengangkutan.

Di dalam laporan ekonomi itu juga menunjukkan defisit akaun pendapatan primer negara meningkat kepada RM11.2 bilion berbanding defisit RM10.2 bilion yang dicatatkan pada suku pertama tahun 2018. Defisit ini direkodkan kerana pendapatan dividen yang lebih tinggi oleh pelabur portfolio asing dalam firma awam yang disenaraikan. Keadaan ini adalah berikutan keuntungan keseluruhan yang mampan bagi semua syarikat MNC yang melabur di negara ini.

Selain itu akaun pendapatan sekunder pula menunjukkan jumlah defisit yang sama iaitu RM4.7 bilion dan nilai ini sama dengan yang direkodkan pada suku pertama 2018 iaitu defisit RM4.7 bilion. Ini bermakna pengiriman wang keluar secara berterusan telah dibuat oleh pekerja asing yang berada di Malaysia ke negara asal mereka.

Apakah kesan yang boleh terjadi andainya BOP ini sentiasa dalam keadaan defisit atau negatif? Antara kesan berpotensi untuk berlaku adalah negara akan kehabisan rizab asing. Sebenarnya, apabila jumlah aliran wang keluar lebih daripada jumlah aliran wang masuk menunjukkan rakyat tempatan lebih banyak menggunakan rizab asing untuk membeli barang atau menggunakan perkhidmatan negara luar. Jika keadaan ini berterusan, sudah pasti, lama kelamaan akan ada potensi untuk negara kita kehabisan stok rizab ini. Ini juga akan menyebabkan negara tidak mempunyai keupayaan untuk mengimport terutamanya barangan keperluan.

Kesan lain adalah negara mungkin terpaksa meminjam daripada negara luar. Apabila stok mata wang asing berkurangan, kerajaan terpaksa meminjam dari badan kewangan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa, Bank Dunia, Tabung Pembangunan Asia dan sebagainya. Jika keadaan ini berlaku, sudah pasti akan meningkatkan jumlah hutang negara. Selain daripada itu negara juga akan dibebani dengan sejumlah kadar faedah yang perlu dibayar bersama hutang yang diambil.

BOP negatif atau defisit juga akan memburukkan kadar pertukaran mata wang asing. Permintaan terhadap mata wang asing yang tinggi dan stok mata wang asing yang berkurangan akan menyebabkan kerugian kepada kadar pertukaran mata wang asing. Situasi ini akan menyebabkan rakyat tempatan lebih banyak mengimport atau menggunakan barang import. Sekiranya hal ini berlaku, sudah pasti akan menyebabkan mata wang tempatan akan turun nilai berbanding mata wang asing. Kenaikan nilai mata wang asing akan menyebabkan harga barang-barang import menjadi lebih mahal dan boleh menyebabkan masalah inflasi dalam negara.

Kesan buruk seterusnya adalah terhadap permintaan modal insan dalam negara. Import barang luar yang tinggi juga menyebabkan kurangnya permintaan terhadap barang tempatan. Oleh itu, pengeluaran barang domestik sudah pasti akan terjejas. Ini juga bakal memberikan tekanan kepada pengeluar tempatan yang akhirnya akan mengurangkan tenaga pekerja mereka sekali gus menambah kepada masalah pengangguran dalam negara.

Kesan buruk yang berterusan ke atas BOP dan import yang tinggi bakal menyebabkan mata wang tempatan akan turun nilai. Harga barang import akan meningkat. Ini juga bakal menimbulkan masalah inflasi domestik atau dalam negara. Masalah inflasi dalam negara akan menyebabkan rakyat terus menggunakan barangan luar negara kerana barang import secara relatifnya akan menjadi lebih murah.

Pelabur juga akan kurang berminat melabur dalam negara dan suasana ini akan menyebabkan aliran masuk wang masuk ke dalam negara terjejas sekali gus menjejaskan BOP sedia ada.

Justeru, peningkatan BOP iaitu pada kadar positif amat diperlukan Malaysia pada masa ini. Sebagai rakyat, di pihak kita perlulah lebih bijak berbelanja dan kawal perbelanjaan isi rumah kita.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.