Mana mungkin perbincangan boleh dilakukan de­ngan baik untuk mencari titik pertemuan yang betul jika terlalu taksub dengan politik kepartian. Kita boleh lihat bagaimana golongan ini berhujah. Hanya mereka yang berilmu sahaja dan memiliki kepakaran mampu memberi pandangan yang baik. Malah, mereka yang kurang berilmu juga boleh mencari ilmu sedemikian dengan bertanya kepada mereka yang mahir dan pakar. Bukannya dengan membuat telahan sendiri yang menyesatkan orang lain.

Mereka yang tidak memiliki ilmu tidak boleh hanya berlegar dengan pandangan berdasarkan tafsiran sendiri. Lebih teruk lagi jika tafsiran itu hanya untuk melindungi kepentingan masing-masing. Ini umpama menegakkan benang basah. Lebih malang, seseorang yang berilmu sanggup menyembunyikan kebenaran hanya berasakan hujah orang lain tidak selari dengan selera dirinya. Tidakkah ini mengundang kebatilan dalam masyarakat?

Sikap sebeginilah perlu diubah. Kebenaran perlu dite­gakkan manakala kebatilan perlu disanggah dengan fakta sebenar. Tidak harus gentar menyatakan kebenaran kerana itulah yang diajar agama Islam. Cuma caranya perlu dengan berhemah menunjukkan akhlak seseorang. Ini bagi menyanggah kebatilan yang boleh merosakkan masyarakat. Perbincangan sesuatu isu atau perkara perlu dibuat berdasarkan ilmu dan fakta serta gambaran sebenar. Dengan itu, banyaklah isu dapat diselesaikan berdasarkan ilmu yang cukup mendalam. Isu-isu ini bukan setakat melibatkan isu kecil sahaja tetapi juga melibatkan isu besar yang memerlukan golongan ilmuwan dan bijaksana untuk memperkatakan tentang kebenaran.

Malang sekali, masih ada pihak yang membicarakan sesuatu isu berdasarkan fahaman yang salah sehingga boleh memesongkan pihak lain. Pihak yang mudah dipesongkan ialah golongan yang kurang berilmu atau tidak memahami sesuatu isu. Maka, diambilnya bulat-bulat hujah bagi sesuatu isu untuk menonjolkan bahawa dirinya mampu juga membicarakan sesuatu isu tersebut. Walhal, bagi mereka yang berilmu pastinya mengetahui sejauh manakah hujah tersebut berdasarkan fakta ilmu bukannya direka-reka bagi mempertahankan diri.

Asasnya cukup mudah. Ilmu menunjangi kebenaran. Kebenaran pula memerlukan fakta. Fakta pula tidak wajar dipesong dengan perkara-perkara yang boleh mengelirukan orang lain. Sebab itulah, seseorang yang berilmu dan mengamalkannya tidak sesekali sanggup memesong ilmunya. Golongan sebeginilah yang perlu dibawa ke hadapan dalam masyarakat agar masyarakat kita meneladani tentang betapa pentingnya ilmu di dada.

Usah sampai kerana ketaksuban menyebabkan mata tidak mampu melihat kebenaran, manakala mulut pula terkunci rapi untuk menyanggah kebatilan. Banyak lagi isu yang perlu diperjelaskan agar kebenaran dapat ditegakkan. Misalnya, kita membicarakan tentang agenda ekonomi. Kita perlu bercakap apakah yang sebenarnya berlaku melibatkan ekonomi rakyat Malaysia. Apakah adanya kesaksamaan ekonomi antara masyarakat yang mana kek ekonomi telah diagihkan untuk seluruh masyarakat secara adil? Atau apakah faktor-faktor penyumbang terhadap kos sara hidup ini?

Dalam hal ini, ilmuwan amat diperlukan untuk memberikan pandangan yang benar, saksama dan seimbang demi membantu rakyat Malaysia. Misalnya, kenapakah harga barangan dan perkhidmatan semakin meningkat tinggi berbanding gaji yang diperoleh sejak kebelakangan ini? Persoalan-persoalan sebegini perlu dijawab dengan berdasarkan fakta. Ini bagi membolehkan isu kos sara hidup ini benar-benar ditangani dengan baik. Dalam hal ini, kita perlu membicarakannya bermulanya daripada pembuatan produk tersebut.

Bermula daripada bahan mentah dan kos-kos yang terlibat. Misalnya, kos overhead yang semakin tinggi yang terpaksa ditanggung oleh pihak pengeluar. Kenapakah kos-kos ini semakin tinggi? Inilah yang perlu diketahui puncanya bagi membolehkan strategi-strategi berkesan dapat mengurangkan kos pengeluaran. Akhirnya pihak pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan.

Di samping itu, tidak boleh disangkal lagi tentang sikap tamak segelintir peniaga. Selain penguatkuasaan yang benar-benar berkesan, budaya menjalankan perniagaan secara beretika dan berakhlak perlu diterapkan dalam kala­ngan peniaga agar pengguna tidak ditindas. Faktor-faktor lain ketamakan ini berpunca daripada monopoli perniagaan. Kita perlu bercakap tentang monopoli yang lebih menyeluruh sehingga menyebabkan segelintir peniaga mampu melaksanakan amalan kartel yang menindas pengguna. Kajilah setiap rantaian bara­ngan dan perkhid­matan, apakah kartel ini telah benar-benar dipecahkan agar dapat mengurangkan peniaga yang menindas pengguna. Rakyat menantikan episod membela nasib mereka agar monopoli atau kartel ini benar-benar dipecahkan demi kesejahteraan mereka.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).